Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Malaysia Hargai Hubungan Diplomasi, Pertahanan Dengan China – Menteri Pertahanan

Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin telah menerima kunjungan hormat General Liu Zhenli, Chief of Joint Staff, Department of Central Military Commission People’s Republic of China di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur.

0 601
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin telah menerima kunjungan hormat General Liu Zhenli, Chief of Joint Staff, Department of Central Military Commission People’s Republic of China di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur.
Malaysia menurut beliau dalam kenyataan media sosialnya hari ini,  menghargai hubungan diplomasi dan pertahanan dua hala yang sudah lama wujud dengan China.
“Kementerian Pertahanan percaya bahawa hubungan baik ini akan terus diperkukuh berlandaskan rasa hormat dan persefahaman antara keduanya.”
“Pertemuan itu tadi telah membincangkan tentang pelbagai perkara. Ini termasuklah dalam soal pengukuhan kerjasama antara dua negara, eksesais ketenteraan, forum antarabangsa, begitu juga industri pertahanan.”
“Kedua-dua buah negara sebelum ini telah mengadakan dialog dua hala berkenaan pengurusan isu maritim di Laut China Selatan.”
Khaled Nordin
(kredit FB Khaled Nordin)
Menteri Pertahanan berkata, pendekatan diplomasi seperti ini akan diteruskan bagi memastikan isu seumpama ini dapat ditangani dengan baik.
Terdahulu, Liu turut membuat kunjungan hormat ke atas Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman di Wisma Pertahanan, di sini hari ini untuk memperkukuh hubungan diplomatik serta kerjasama pertahanan kedua-dua negara.
Menurut kenyataan Markas Angkatan Tentera pertemuan itu mencerminkan hubungan erat yang sedia terjalin antara kedua-dua negara dalam usaha memastikan kestabilan dan keselamatan serantau.
“Semasa pertemuan, kedua-dua pihak bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu berkaitan keselamatan serantau, pertukaran maklumat ketenteraan dan kerjasama dalam bidang latihan serta operasi bersama,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan sesi kunjungan hormat Liu ke atas Mohammad dimulakan dengan Pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama (KKU) daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dengan kekuatan tiga pegawai dan 103 anggota yang diketuai Mejar Adibadiuezshah Ahmad.
Turut hadir Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain.
Jeneral Liu mula berkhidmat sebagai Chief of Joint Staff Department of Central Military Commission People’s Republic of China sejak September 2022.
Beliau dilahirkan di Daerah Luancheng, Wilayah Hebei, China.
Jeneral Liu menyertai PLA pada September 1983 dan menjadi ahli Parti Komunis China pada April 1984 serta merupakan lulusan Universiti Pertahanan Negara PLA.
Pada tahun 1986, Liu terlibat dalam konflik Sino-Vietnam (1979–1991), di mana beliau dan pasukannya berjaya mempertahankan posisi mereka daripada 36 serangan berturut-turut oleh Tentera Vietnam.
Khaled Nordin
(kredit FB Khaled Nordin)
Dilantik pada Disember 2015 sebagai Ketua Staf pertama bagi Tentera Darat PLA yang telah disusun semula dan berkhidmat sebagai Komander Tentera Darat PLA dari Jun 2021 hingga September 2022.
Memegang jawatan ini sejak September 2022, menggantikan Li Zuocheng.
Menurut South China Morning Post, sebagai Ketua Staf Jabatan Staf Bersama CMC, Jeneral Liu memainkan peranan penting dalam perancangan operasi dan strategi ketenteraan China.
Beliau juga terlibat dalam komunikasi ketenteraan peringkat tinggi antara China dan negara lain.
Jeneral Liu adalah ahli Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China ke-19 dan pernah menjadi delegasi kepada Kongres Rakyat Kebangsaan ke-12.
Dengan pengalaman tempur yang luas dan pelbagai jawatan kepimpinan dalam PLA, Jeneral Liu Zhenli dianggap sebagai salah satu tokoh utama dalam struktur ketenteraan China masa kini. — DSA

Leave A Reply

Your email address will not be published.