Mahkamah Jenayah Antarabangsa Buka Kertas Siasatan Jenayah Perang Gaza-Palestin
Ketua Pendakwanya Fatou Bensouda berkata ICC sedang melihat dengan serious konflik di antara tentera Israel dan pejuang Palestin itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berkata ia akan memantau perkembangan terbaru konflik di Semenanjung Gaza antara tentera Israel dan pejuang Palestin bagi melihat jika ada berlaku jenayah perang.
Ketua Pendakwanya Fatou Bensouda berkata ICC sedang melihat dengan serious konflik di antara tentera Israel dan pejuang Palestin itu.
“Kita sedang memantaunya dengan serius dan saya ingin mengingatkan bahawa kertas siasatan telah pun dibuka dan evolusi kejadian yang berlaku itu akan diperhalusi dengan lanjut,” katanya sebagaimana dipetik oleh agensi media antarabangsa, Reuters.
Konflik terbaru di antara pejuang-pejuang Palestin dengan tentera Israel berlaku apabila pasukan polis negara itu bertindak ganas dan menceroboh Masjid Al-Aqsa ketika umat Islam sedang menunaikan solat sunat Terawih.
Ketegangan antara kedua pihak juga berlaku apabila mahkamah Israel memerintah beberapa penduduk di Sheikh Jarrah, timur Baitul Maqdis mengosongkan kediaman yang mereka telah duduki sejak berdekad lamanya.
Keganasan oleh tentera Israel terhadap Masjid Al-Aqsa itu telah mengundang reaksi balas daripada pejuang-pejuang Palestin yang telah melancarkan kira-kira 2,000 bedilan roket ke atas bandar-bandar utara Israel sehingga kini.
Sehingga hari ini, serangan roket daripada Semenanjung Gaza telah mengorbankan sembilan penduduk Israel dan mencederakan puluhan yang lain.
Manakala serangan-serangan udara Israel setakat ini telah mengorbankan 117 penduduk Palestin termasuk 30 kanak-kanak manakala ratusan yang lain cedera.
Pada Mac lepas, ICC berkata ia akan membuka kertas siasatan bagi menyiasat dakwaan-dakwaan jenayah perang sama ada dilakukan oleh tentera Israel atau pejuang Palestin semasa konflik yang berlaku di antara mereka pada 2014.
Israel menuduh ICC bertindak berat sebelah apabila membuka kertas siasatan itu.
Comments are closed.