Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

LTAT Terdedah Kerugian Besar Sekiranya Projek LCS Tidak Diteruskan

LTAT terdedah kepada potensi kerugian yang besar menerusi pegangan majoritinya dalam Boustead Holdings Berhad sebanyak 59.4 peratus dan 61 peratus pegangan efektif dalam syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd.

0 4,301

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) tidak akan mampu memberikan pulangan kepada pencarum untuk tempoh sekurang-kurangnya enam tahun akan datang sekiranya kerajaan tidak meneruskan pembinaan kapal Littoral Combat Ship (LCS) yang tertangguh.

Ketua Eksekutif LTAT Datuk Nazim Rahman berkata, keputusan meneruskan pembinaan kapal LCS secara langsung dapat melindungi dana daripada impak negatif akibat menanggung kerugian.

Kesan domino kewangan yang akan berlaku sekiranya projek ini tidak diteruskan boleh mengakibatkan rosot nilai sehingga RM2.1 bilion iaitu 21 peratus daripada keseluruhan jumlah dana persaraan yang diuruskan LTAT. 

LCS

 “LTAT terdedah kepada potensi kerugian yang besar menerusi pegangan majoritinya dalam Boustead Holdings Berhad sebanyak 59.4 peratus dan 61 peratus pegangan efektif dalam syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd.

“Kelulusan Kabinet ke atas pelan pemulihan projek LCS ini telah mengelakkan ‘malapetaka’ kewangan kepada LTAT dan membolehkan LTAT terus memberi fokus kepada pemeliharaan modal dan peningkatan nilai dalam jangka panjang bagi memastikan kedudukan kewangan LTAT terus berada pada tahap yang baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Keputusan meneruskan pembinaan kapal LCS itu katanya, sudah pasti akan membolehkan LTAT memberi pulangan mampan dan kompetitif kepada pencarumnya yang merupakan anggota Angkatan Tentera Malaysia.

Semalam Menteri Pertahanan dalam satu kenyataan berkata mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memutuskan dengan sebulat suara untuk meneruskan pembinaan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM9 billion yang telah terbengkalai selama 43 bulan.

LCS
Lakaran grafik Kapal LCS TLDM apabila ia siap kelak.

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Kabinet memutuskan untuk meneruskan pembinaan kapal perang TLDM yang terbengkalai selama beberapa ketika selepas mengambil kira dua faktor utama.

Faktor pertama adalah LCS adalah aset yang amat diperlukan oleh TLDM manakala faktor kedua adalah kerana terdapat 400 vendor yang terlibat dalam projek ini dengan implikasi kewangan lebih RM4 billion.

Sehingga 31 Oktober 2021, kemajuan pembinaan kapal LCS itu hanya pada tahap 57.5 peratus berbanding 96.57 peratus yang sepatutnya dalam jadual asal.

Projek pembinaan enam buah kapal LCS itu telah mengalami kelewatan sebanyak 39.52 peratus atau 43 bulan (3 tahun 7 bulan). — DSA

 

Comments
Loading...