Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

TDA-STM Meterai Kerjasama Projek Littoral Mission Ship, Multi-Purpose Mission Ship

Syarikat STM daripada Turkiye dengan rekabentuk kapal korvet MILGEM kelas-Ada dikatakan menjadi pilihan untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk program pembinaan kapal-kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch 2.

0 5,528

(DEFENCE SECURITY ASIA) – – Pada LIMA ’23 yang baru sahaja berakhir baru-baru ini, agensi di bawah Kementerian Kewangan iaitu Technology Depository Agency Berhad (TDA) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat Savunma Teknolojileri
Mühendislik ve Ticaret A.Ş. (STM) daripada Turkiye.

TDA merupakan agensi dibawah Kementerian Kewangan yang bertanggungjawab menguruskan Industrial Collaboration Program (ICP) serta menjadi pusat rujukan kepada kontrak berdasarkan prestasi bagi perolehan kerajaan.

STM pula adalah syarikat Turkiye yang terlibat dalam industri pertahanan dan teknologi, membawa pengalaman luas dalam bidang integrasi sistem, kejuruteraan dan konsultan.

TDA
(foto kredit TDA)

 

Syarikat daripada Turkiye dengan rekabentuk kapal korvet MILGEM kelas-Ada dikatakan menjadi pilihan untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk program pembinaan kapal-kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch 2.

Kementerian Pertahanan dijangka memulakan usaha perolehan tiga buah kapal LMS Batch 2 daripada lapan buah pada tahun ini.

Lima buah lagi kapal-kapal LMS Batch 2 akan diperolehi pada Rancangan Malaysia ke-13.

“Kolaborasi strategik (antara TDA dan STM) dimangkinkan oleh Industrial Collaboration Programme (ICP) bermatlamat untuk mewujudkan kerjasama dinamik yang akan melancarkan inovasi dan mempercepatkan pembangunan rekabentuk bagi projek-projek Littoral Mission Ship (LMS) dan Multi-Purpose Mission Ship (MPMS). “

“Objektif utama adalah untuk mewujudkan hab kepakaran rekabentuk yang akan memacu keseluruhan industri maritim ke arah kecemerlangan,” menurut kenyataan oleh TDA.

TDA
(foto kredit TDA)

 

Ketua Pegawai Eksekutif TDA Dr Shahroul Jambari dalam kenyataan itu berkata kolaborasi dengan STM merupakan detik penting untuk industri maritim di Malaysia.

“Dengan Industrial Collaboration Programme bertindak sebagai pemangkin, TDA dan STM bukan sahaja akan tampil dengan penyelesaian rekabentuk canggih tetapi juga memupuk pembangunan bersama industri maritim kedua-dua negara. Bersama, kami akan memacu kemajuan dan kemampuan pembinaan kapal Malaysia, ” kata beliau.

Kerjasama di antara TDA dan STM akan meliputi pelbagai aspek kritikal dalam pembangunan dan pembinaan kapal, bermula dengan melaksanakan kajian kebolehlaksanaan komprehensif spesifikasi dan keperluan serantau.

“Bertitik tolak daripada asas itu, kolaborasi itu akan melangkah ke depan ke arah membangunkan konsep rekabentuk berdasarkan kepada model sedia ada.”

Kenyataan juga menyebut bahawa salah satu hasil utama daripada kolaborasi itu adalah mewujudkan sumber manusia yang berkemahiran tinggi.

Ada
Kapal korvet Tentera Laut Turkiye daripada kelas-Ada.

 

TDA dan STM mengakui akan pentingya memupuk bakat dan kepakaran dalam industri maritim.

Pada LIMA ’23 lalu, syarikat STM telah menampilkan enam projek tentera laut yang telah dan sedang diusahakannya.

Antara projek tentera laut yang akan ditampilkan oleh STM pada LIMA 2023  adalah projek pembinaan kapal korvet kebangsaan Turkiye kelas-Ada, projek pembinaan kapal friget kebangsaan Turkiye kelas-I dan Marine Supply Tanker yang dibina untuk Tentera Laut Pakistan.

Projek-projek yang ditonjolkan oleh STM pada LIMA ’23 adalah projek kapal selam kecil kebangsaan Turkiye menggunakan sumber syarikat sendiri dan diberi nama STM500, bot torpedo STM MPAC dan kapal pengawal pantai CG-3100.

TDA

Kapal korvet kelas-ADA ini merupakan kapal korvet anti-kapal selam dan peronda yang dibangunkan khusus untuk Tentera Laut Turki dibawah program pembinaan kapal kebangsaan, MILGEM.

Kapal korvet kelas-ADA ini dipacu oleh sistem Combined Diesel and Gas (CODAG) terdiri daripada satu gas turbin dan dua gas diesel bagi membolehkan kapal mencapai kelajuan maksimum 30 knot dan beroperasi pada radius 3,500 batu nautika dalam kelajuan 15 knot.

Ia boleh membawa 93 orang krew kapal.

Dengan panjang keseluruhan kapal 99.56 meter, kapal korvet kelas-ADA memiliki berat maksimum 2,400 tan.

STM

Kapal perang kelas-ADA ini dilengkapi dengan sistem pengurusan peperangan “GENESIS” yang dibangunkan oleh sebuah lagi syarikat pertahanan Turki iaitu, HAVELSAN, Electronic Chart Precise Integrated Navigation System (ECPINS), Integrated Platform Management System (IPMS), SMART-S Mk2 search radar, X-band radar dan fire control radar. 

Manakala daripada segi persenjataan pula, ia dilengkapi dengan meriam Oto Melara 76mm Super Rapid, dua Remote Control Weapon System (RCWS) 12.7mm dan lapan pelancar peluru berpandu anti-kapal Harpoon atau Atmaca yang dibangunkan oleh Turki sendiri. 

Kapal kelas-ADA juga dilengkapi dengan peluru berpandu anti-pesawat, RIM-116 Rolling Airframe Missile (RAM) dan dua pelancar torpedo 324 mm Mk. 46.  — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...