Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Adakah Ini Helikopter UH-60A Black Hawk Disewa Untuk PUTD?

Kontrak penyewaan empat buah helikopter UH-60A+ Black Hawk itu telah dimenangi oleh syarikat tempatan, Aerotree Defence & Services Sdn Bhd dengan nilai kontrak RM187 juta.

0 8,218

(DEFENCE SECURITY ASIA) —  Pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ‘23) yang baru berakhir baru-baru ini, Kementerian Pertahanan telah memeterai kontrak penyewaan empat buah helikopter Sikorsky UH-60A+ Black Hawk.

Kontrak penyewaan helikopter itu telah ditandatangani dengan syarikat tempatan, Aerotree Defence & Services Sdn Bhd bernilai RM187 juta.

Menurut kenyataan daripada Kementerian Pertahanan yang dikeluarkan pada LIMA tempoh hari, keempat-empat helikopter itu akan berfungsi sebagai pletfom kepada Tim Nukleus Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) sebagai latihan dan tugasan penerbangan operasi.

Black Hawk
Facebook “Halim Othman – Red Bull Air Race Challenger Cup Pilot”

 

PUTD dijangka menerima dua buah helikopter itu pada Oktober ini manakala dua lagi helikopter selebihnya dijangka diterima pada awal tahun depan.

Penyewaan empat buah helikopter itu dikatakan selama lima tahun.

Dalam posting Facebook “Halim Othman – Red Bull Air Race Challenger Cup Pilot” yang merupakan pengarah urusan syarikat Aerotree menyertakan gambar beliau menaiki helikopter UH-60 Black Hawk.

Adakah helikopter Black Hawk dinaiki beliau adalah antara helikopter yang disewa oleh Kementerian Pertahanan untuk kegunaan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD)?

Pada Mac lepas sebelum beliau bersara, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain mengumumkan bahawa PUTD bakal menerima empat buah helikopter Sikorsky UH-60 Black Hawk untuk operasinya.

Black Hawk
Helikopter Black Hawk dengan kemudahan ESSS bagi membawa peluru berpandu Hellfire dan roket.

 

Helikopter UH-60 Black Hawk itu bukanlah asing kepada rantau Asia Tenggara mahupun Malaysia kerana kita juga menggunakannya untuk pengangkutan orang-orang kenamaan.

Sementara itu di Thailand dan Filipina, helikopter Black Hawk memainkan peranan penting dalam operasi tentera darat negara itu.

Helikopter UH-60A Black Hawk berkemampuan untuk membawa 11 hingga 20 orang anggota tentera lengkap bersenjata serta seorang juruterbang, pembantu juruterbang dan seorang krew.

Model ‘A’ bagi helikopter Black Hawk itu berfungsi sebagai utiliti, serangan (air assault), medevac, command and control dan pemantauan.

Helikopter UH-60A Black Hawk dilengkapi dengan dua enjin General Electric T700-GE-701 turboshaft dan dengan tangki minyak boleh menampung 450 gelen membolehkan ia terbang sejauh 1,200 batu nautika.

Black Hawk
Helikopter Sikorsky UH-60 Black Hawk

 

Helikopter terbabit juga boleh dilengkapi dengan apa yang dipanggil sebagai “External Stores Support System” (ESSS) yang seakan-akan seperti “sayapnya.”

Dengan ESSS, helikopter UH-60A Black Hawk itu boleh membawa sehingga 16 buah peluru berpandu “Hellfire” dan membawa 16 buah peluru berpandu itu di dalam pesawat itu,sekaligus membolehkan ia ESSS itu diisi semula dengan Hellfire ketika ditengah-tengah misi.

Selain peluru berpandu dipasang di peralatan ESSS, helikopter itu juga boleh dilengkapkan dengan mesingan. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...