Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) China Mudah “Tawan” Alatan Canggih Peperangan Anti-Kapal Selam Milik Amerika

(VIDEO) Video yang dikeluarkan oleh stesen televisyen kebangsaan China, CCTV itu menunjukkan bagaimana dengan mudahnya krew-krew kapal pengawal pantai negara itu mengesan sonobuoy yang digugurkan oleh pesawat peronda maritim P-8A Poseidon milik Amerika Syarikat di Laut China Selatan pada hari yang sama dan “menawannya” alatan penting dalam operasi Anti-Submarine Warfare (ASW).

0 6,369

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Stesen televisyen China, CCTV telah menayangkan rakaman video bagaimana krew kapal pengawal pantainya berjaya merampas alatan dipanggil “sonobuoy” digugurkan oleh pesawat peronda maritim P-8A Poseidon milik Amerika Syarikat di Laut China Selatan untuk mengesan kehadiran kapal selam.

Video yang dikeluarkan oleh stesen televisyen kebangsaan China itu menunjukkan bagaimana dengan mudahnya krew-krew kapal pengawal pantai negara itu mengesan sonobuoy yang digugurkan oleh pesawat Amerika itu di Laut China Selatan pada hari yang sama  dan “menawannya.”

Menurut laporan daripada stesen televisyen China itu, pesawat P-8A Poseidon milik Amerika Syarikat itu dilihat berlegar-legar di satu lokasi di Laut China Selatan, sebelum beberapa kali  mengugurkan alatan dipercayai sonobuoy ke dalam laut.

“Alatan yang digugurkan oleh pesawat Amerika Syarikat itu digunakan untuk mengesan signal dihasilkan oleh kapal selam China,” menurut seorang pakar negara itu yang dipetik dalam laporan oleh stesen televisyen itu.

Stesen televisyen itu menyatakan dalam laporannya bahawa pesawat P-8A Poseidon Amerika Syarikat dikesan menggugurkan sonobuoy berhampiran Second Thomas Shoal, yang terletak hanya 105 Batu Nautika daripada Pulau Palawan di Filipina.

Pihak Filipina memanggilnya Ayungin Shoal manakala China pula menggelarnya Renai Jiao.

Walaupun berada di dalam kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) milik Filipina, tetapi China turut mendakwa Second Thomas Shoal itu turut dituntut oleh China, di mana sejak kebelakangan ini telah berlaku “pertembungan” semakin ganas di antara kapal-kapal millik kedua-dua negara di sekitar perairan terumbu karang itu.

Baru-baru ini, kerajaan Filipina menuduh krew kapal pengawal pantai China menyerang dan merosakkan bot dinaiki anggotanya.

Lapan krew kapal Filipina cedera dalam “pertembungan” dengan krew kapal pengawal pantai China, termasuk seorang yang kehilangan jarinya.

Di Second Thomas Shoal juga terletak kapal usang Tentera Laut Filipina, BRP Sierra Madre yang turut menjadi pertikaian di antara Manila dan Beijing.

Sonobuoy merupakan alatan penderia (sensor) yang amat penting dalam mana-mana misi peperangan anti-kapal selam (Anti-Submarine Warfare – ASW) dan ia boleh digugurkan oleh pesawat atau kapal-kapal permukaan.

China

Selepas digugurkan daripada platform membawanya, sonobuoy akan tenggelam ke kedalaman perairan ditentukan dan mula “menjalankan kerja” untuk mengutip maklumat-maklumat akustik untuk kapal-kapal selam.

Alatan sonobuoy itu dilengkapi dengan peralatan lain termasuk radio transmitter dan hydrophone sensor.

Maklumat akustik yang dikutip oleh sonobuoy itu selalunya akan ditransmit ke platform udara atau permukaan menggunakan saluran VHF untuk “diproses” dan menentukan lokasi kedudukan kapal-kapal selam “musuh” yang cuba dikesan itu.

Penganalisis ketenteraan mendakwa “penawanan” alatan peperangan ASW yang digugurkan oleh pesawat maritim Amerika itu oleh China memungkinkan peralatan canggih itu akan di-“reverse engineer” oleh pakar-pakar Beijing, sebagaimana yang kerap dilakukan oleh mereka sebelum ini.

Jumlah sonobuoys yang digugurkan sama ada daripada udara atau kapal-kapal ke perairan bergantung kepada keluasan kawasan operasi ASW itu.

China
Kapal Selam China
Sonobuoy
Sonobuoy

 

Dalam video yang disiarkan oleh stesen televisyen televisyen China itu, sonobuoy yang dirampas oleh krew kapal pengawal pantai negara itu tertera perkataan “Ultra Electronics” yang merujuk kepada syarikat pertahanan dan keselamatan British yang membekalkan sonobuoy dan peralatan lain kepada tentera Amerika Syarikat.   

Stesen televisyen CCTV milik kerajaan China itu juga mendakwa bahawa angkatan tentera negara itun telah melaksanakan latihan di Laut China Selatan selama empat hari, yang menyaksikan ia mengerahkan pelbagai asetnya ke laut yang menjadi pertikaian di antara beberapa negara di rantau ini termasuk Malaysia.

Kapal-kapal pengawal pantai China sememangnya diketahui sering menceroboh kawasan perairan ZEE milik Malaysia terutamanya di Beting Patinggi Ali (Luconia Shoal) dan kawasan perairan sekitarnya yang menempatkan banyak daripada kemudahan minyak dan gas bernilai berbilion Dollar Amerika. — DSA

 

Comments
Loading...