Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kos Pembinaan 6 Buah Kapal LCS TLDM Meningkat Ke RM10 Bilion?

Projek pembinaan enam buah kapal LCS itu telah mengalami kelewatan sebanyak 39.52 peratus atau 43 bulan (3 tahun 7 bulan). Sehingga 31 Oktober 2021, kemajuan pembinaan kapal LCS itu hanya pada tahap 57.5 peratus berbanding 96.57 peratus yang sepatutnya dalam jadual asal.

0 4,735

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kerajaan dikatakan terpaksa membelanjakan kira-kira RM4 bilion lagi untuk menyiapkan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang membawa kepada keseluruhan kos untuk membina keenam-enam buah kapal perang itu pada sekitar RM10 bilion atau RM1.6 bilion bagi setiap sebuah kapal.

Itu yang dikatakan oleh akhbar kewangan tempatan, The Edge Market dalam temuramahnya dengan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Datuk Nazim Rahman baru-baru ini.

Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn Bhd yang bertanggungjawab membina keenam-enam buah kapal LCS itu merupakan anak syarikat kepada LTAT.

LCS

Projek pembinaan enam buah kapal LCS itu telah mengalami kelewatan sebanyak 39.52 peratus atau 43 bulan (3 tahun 7 bulan).

Sehingga 31 Oktober 2021, kemajuan pembinaan kapal LCS itu hanya pada tahap 57.5 peratus berbanding 96.57 peratus yang sepatutnya dalam jadual asal.

Ditanya oleh akhbar The Edge itu sebab mengapa projek pembinaan enam buah kapal LCS itu mengalami kelewatan yang melampau, Nazim berkata, adalah sukar untuk memfokuskan kepada satu-satu sebab disebalik kelewatan projek itu.

BNS katanya kurang bernasib baik kerana “mewarisi” ratusan juta ringgit liability daripada syarikat PSC-Naval Dockyard (PSC) apabila Boustead mengambilalih syarikat itu pada 2005.

“Jadi, sebahagian daripda duit yang sepatutnya untuk LCS telah digunakan untuk membayar hutang syarikat PSC. Dalam pada masa yang sama, pertukaran terhadap komponen-komponen penting (kapal-kapal LCS) pada pertengahan projek itu telah tidak ditangani dengan lebih awal dan secara konklusif,” kata beliau.

LCS

Menurut Nazim, isu-isu itu telah menjejaskan pengurusan projek itu.

Selain itu katanya, siasatan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkemungkinan menyatakan tentang terdapatnya isu berkenaan integriti berkenaan projek itu.

“Jadi, terdapat banyak faktor – pengurusan kewangan, pengurusan projek, struktur pinjaman yang tidak selaras dengan profil aliran tunai – telah menyumbang kepada kelewatan projek.”

“Kelewatan projek ini telah mengakibatkan kos berbilion ringgit. Tetapi ada di antara isu-isu ini adalah dibelakang dan kini sedang ditangani oleh pihak-pihak berkaitan,” katanya.

Namun kata Nazim, apa yang penting adalah masa depan dengan persoalan pada masa ini adalah untuk memastikan pihaknya menyerahkan kapal-kapal itu pada masanya.

LCS

“Tadbir urus yang lasak, pertukaran sepenuhnya pasukan pengurusan, organisasi yang lebih berstruktur, pendekatan yang lebih baik terhadap pengurusan projek serta penstrukturan syarikat dan semua pinjaman dan liability-nya.”

“Ini merupakan perkara pertama apabila Lembaga Pengarah BNS bertemu pada bulan ini untuk memulakan kembali projek itu,” katanya.

Nazim berkata bahawa ia amat membantu apabila pasukan pengurusan di Kementerian Pertahanan, LTAT, Kumpulan Boustead dan BNS terdiri daripada pasukan yang baru kerana ia membantu mereka melihat projek itu dan isu-isunya daripada perspektif yang baru.

Selain itu katanya, mereka telah menambah satu lagi lapisan tadbir urus iaitu jawatankuasa pengurusan projek – yang berada di atas Lembaga Pengarah.

Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan dengan laporan bulanan dihantar ke Jemaah Menteri.

LCS
Gambar terbaru kapal LCS terbaru (kredit BNS)

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

“Jadi setiap wang masuk, wang keluar akan diperiksa dengan teliti di setiap peringkat. Tadbir urus yang lasak adalah kritikal untuk memastikan soal integriti projek itu tidak boleh dipersoalkan lagi,” katanya.

Beliau juga berkata, adalah tidak tepat untuk menyatakan projek pembinaan enam buah kapal LCS ini adalah projek yang gagal.

“Ya, ia (projek pembinaan enam buah LCS) mengalami kelewatan,”  katanya sambil menambah bahawa pembinaan kapal LCS yang pertama telah melebihi 60 peratus manakala rekabentuk terperinci (detailed design) kapal dengan kerjasama Naval Group daripada Perancis adalah lebih daripada 90 peratus.

Katanya, banyak kerja-kerja telah dilakukan sehinggalah kerja-kerja dihentikan pada 2019. — DSA

 

 

Comments
Loading...