Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Dedahkan Kos Tambahan Untuk Teruskan Pembinaan LCS

Sehingga 31 Oktober 2021, kemajuan pembinaan kapal LCS itu hanya pada tahap 57.5 peratus berbanding 96.57 peratus yang sepatutnya dalam jadual asal.

0 1,584

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz dan Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein digesa mendedahkan kos tambahan yang diperlukan untuk meneruskan projek perolehan kapal Littoral Combat Ship (LCS).

Bekas menteri pertahanan, Mohamad Sabu dan bekas timbalannya, Liew Chin Tong berkata, kontrak asal bernilai RM9 bilion, menjadikannya satu daripada projek terbesar yang pernah dilaksanakan Malaysia.

“Kapal pertama yang sepatutnya siap dibina daripada sejumlah enam kapal ialah April 2019. Namun, sehingga hari ini, iaitu tiga tahun dari tarikh ia sepatutnya siap, tidak ada sebuah kapal pun yang telah dibina,” kata mereka dalam kenyataan bersama yang dilaporkan oleh Free Malaysia Today.

LCS
Lakaran grafik Kapal LCS TLDM apabila ia siap kelak.

 

Mereka berkata, siasatan khas yang diketuai Ketua Audit Negara ketika itu, Ambrin Buang mendapati hanya RM5.94 billion telah digunakan dan tidak diketahui ke mana perginya sekurang-kurangnya RM1 bilion.

“Pada 11 Feb 2020, kami berdua (Mohamad dan Liew) bersama Ambrin memberi taklimat kepada Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad…dan mencadangkan orang-orang yang disyaki dalam projek itu sebelum ini perlu disiasat dan dihukum.”

Dua hari lepas, Menteri Pertahanan dalam satu kenyataan berkata mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memutuskan dengan sebulat suara untuk meneruskan pembinaan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM9 billion yang telah terbengkalai selama 43 bulan.

LCS

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Sehingga 31 Oktober 2021, kemajuan pembinaan kapal LCS itu hanya pada tahap 57.5 peratus berbanding 96.57 peratus yang sepatutnya dalam jadual asal.

Projek pembinaan enam buah kapal LCS itu telah mengalami kelewatan sebanyak 39.52 peratus atau 43 bulan (3 tahun 7 bulan).

Beberapa bulan lepas,Kementerian Pertahanan mensasarkan pembinaan kapal LCS TLDM yang pertama hanya akan siap sepenuhnya pada tahun 2025, iaitu kira-kira 12 tahun selepas projek pembinaan kapal-kapal perang tercanggih TLDM itu bermula.

Perkara itu diumumkan oleh Hishammuddin sendiri di Parlimen. — DSA

Comments
Loading...