Sudah Tiba Masanya Nama “Laut China Selatan” Diubah Kepada Nama Bersesuaian
“Apa ada pada nama”? Nampaknya nama "Laut China Selatan" itu telah menimbulkan polemik berpanjangan, dengan ramai dikalangan penduduk di rantau Asia Tenggara menyokong supaya nama perairan yang strategik dan penting kepada perdagangan dunia itu ditukar kepada suatu nama yang baru.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – “Apa ada pada nama”? Nampaknya nama “Laut China Selatan” itu telah menimbulkan polemik berpanjangan, dengan ramai dikalangan penduduk di rantau Asia Tenggara menyokong supaya nama perairan yang strategik dan penting kepada perdagangan dunia itu ditukar kepada suatu nama yang baru.
Mengapa? Mereka berpendapat nama Laut China Selatan itu memberikan gambaran yang salah bahawa keseluruhan perairan itu dimiliki oleh China.
Dengan sikap agresif yang ditunjukkan oleh China dalam menguatkuasakan apa yang didakwa sebagai “hak-hak maritim mereka” di Laut China Selatan, maka laungan supaya nama perairan itu ditukar kepada suatu nama yang baru juga semakin kuat kedengaran akhir-akhir ini.
Ada yang mencadangkan nama “Laut Asia Tenggara” sebagai nama baru Laut China Selatan.
Beberapa negara di Asia Tenggara telah pun mengambil tindakan unilateral dengan menukar nama perairan ZEE milik mereka yang menjadi sebahagian daripada Laut China Selatan.
Sama ada tindakan negara-negara itu mendapat pengiktirafan daripada masyarakat dan badan-badan antarabangsa adalah perkara kedua.
Apa yang penting adalah mereka tidak mahu perairan ZEE milik mereka dikenali sebagai Laut China Selatan.
Vietnam memanggil Laut China Selatan “Laut Timur” manakala China pula menggelarnya “Laut Selatan”.
Ada yang mencadangkan nama “Laut Asia Tenggara” sebagai nama baru Laut China Selatan.
Beberapa negara di Asia Tenggara telah pun mengambil tindakan unilateral dengan menukar nama perairan ZEE milik mereka yang menjadi sebahagian daripada Laut China Selatan.
Pada 2017, Indonesia telah menamakan kawasan perairan ZEE miliknya di barat daya Laut China Selatan sebagai Laut Natuna Utara, sebagai menandakan pemilikan negara itu terhadap kawasan perairan yang kaya dengan sumber minyak dan gas.
Sebagaimana dilaporkan oleh media, Beijing telah membantah tindakan Jakarta itu dengan Kementerian Luarnya bertindak mengirimkan nota bantahan kepada Kedutaan Indonesia di ibu negara China itu.
Beijing mahu Jakarta membatalkan keputusannya itu.
Menurut China, tindakan Indonesia menukar ‘nama yang sudah diterima di peringkat antarabangsa’ mengakibatkan “komplikasi dan memburukkan lagi pertikaian, sekali gus menjejaskan keamanan dan kestabilan”.
Namun, bantahan China itu tidak memberikan apa-apa kesan kerana Jakarta terus-menerus menggunakan nama Laut Natuna Utara dalam segala urusan rasminya.
Filipina pula telah memulakan usaha menukar nama kawasan perairan barat negara itu sebagai Laut Filipina Barat (West Philippine Sea) daripada Laut China Selatan seawal tahun 2011.
Hanya pada 2012, kerajaan Filipina secara rasmi menyatakan bahawa ia akan menggunakan Laut Filipina Barat untuk mengenalpasti nama perairan di barat negara itu yang sebelum ini dikenali sebagai Laut China Selatan.
Segala dokumen rasmi, komunikasi dan peta mula menggunakan nama Laut Fillipina Barat.
Setelah beberapa tahun berlalu, media-media antarabangsa juga mula menggunakan nama-nama yang diberikan oleh Jakarta dan Manila itu dalam laporan-laporan berita mereka, walaupun badan antarabangsa tidak mengiktiraf penukaran nama itu.
Bagaimana pula dengan Malaysia? Setakat hari ini, kerajaan masih mengekalkan nama Laut China Selatan, walaupun beberapa pihak mencadangkan pelbagai nama baru terhadap perairan EEZ negara di Laut China Selatan.
Mungkin sudah tiba masanya, kerajaan untuk menimbangkan secara serius nama-nama baru bagi menggantikan Laut China Selatan yang menunjukkan pemilikan dan kedaulatan kita terhadap perairan-perairan yang kini dicabar oleh negara-negara luar.
Jika Filipina dan Indonesia boleh melakukannya, apa yang menghalang kita?
Malah China telah bertindak memberikan nama-nama Mandarin terhadap beberapa ciri maritim yang terletak di dalam perairan ZEE kita, antaranya adalah Gugusan Beting Raja Jarum (Beikang Ansha), Gugusan Beting Patinggi Ali (Nankang Ansha) dan Beting Serupai (Zengmu Ansha).
Tindakan Beijing menamakan ciri-ciri maritim itu dengan nama Mandarin menunjukkan ia mahu dikenali sebagai pemiliknya. — DSA
To contact email: [email protected]
Comments are closed.