Langkah Berjimat-Cermat Lihat United Kingdom Tamatkan Khidmat Kapal Perang, Aset Pentingnya
Tindakan berjimat-cermat Kementerian Pertahanan United Kingdom itu juga akan melihat kapal friget Type 23 HMS Northhumberland ditamatkan khidmatnya atas alasan kapal perang terbabit mengalami “kerosakan struktural yang terlalu teruk” dan memerlukan kos yang terlalu tinggi untuk diperbaiki.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam usaha berjimat-cermat dan mengawal kos operasi, Kementerian Pertahanan United Kingdom telah mengumumkan bahawa ia akan menamatkan perkhidmatan beberapa buah aset pentingnya termasuk kapal perang dan dronnya.
Setiausaha pertahanannya John Healey mengumumkan bahawa kementerian pertahanan negara itu akan menamatkan perkhidmatan dua buah kapal Amphibious Assault Ship, HMS Bulwark dan HMS Albion.
Kapal-kapal Amphibious Assault Ship itu mula berkhidmat dengan Royal Navy pada awal tahun 2000.
Menurut Healey lagi, penamatan beberapa aset penting United Kingdom itu akan memberikan negara itu lebih banyak sumber kewangan untuk projek-projek masa depan.
Tindakan berjimat-cermat Kementerian Pertahanan United Kingdom itu juga akan melihat kapal friget Type 23 HMS Northhumberland ditamatkan khidmatnya atas alasan kapal perang terbabit mengalami “kerosakan struktural yang terlalu teruk” dan memerlukan kos yang terlalu tinggi untuk diperbaiki.
Kapal friget Type 23 itu akan ditamatkan khidmatnya pada Mac tahun depan selepas menabur bakti dengan Royal Navy selama 31 tahun.
Selain itu dua buah kapal tanker kelas-Wave, RFA Wave Knight dan RFA Wave Ruler juga akan ditamatkan khidmat dan menamatkan perkhidmatan Royal Fleet Auxiliary.
Healey juga mengumumkan penamatan khidmat dron Watchkeeper yang digunakan oleh Tentera Darat Britiain, walaupun dron yang berdasarkan kepada dron Elbit Hermes 450 buatan Israel itu baru mencapai usia 10 tahun.
Walaupun sebanyak 54 dron-dron Watchkeeper itu mula diperolehi pada awal tahun-tahun 2000 tetapi perkhidmatannya berhadapan dengan pelbagai masalah sehingga menyaksikan sekurang-kurangnya lapan buah dron itu terhempas ketika penerbangan.
Program dron Watchkeeper itu bertujuan memberikan Britain dengan kemampuan Intelligence, Surveillance and Reconnaisance (ISR) terkini dan paling tepat kepada angkatan tentera negara itu, tetapi keseluruhan program itu berhadapan dengan pelbagai masalah, kelewatan dan kos keseluruhan yang melambung.
Dibawah langkah penjimatan kos dan berjimat-cermat itu, Setiausaha Pertahanan United Kingdom itu juga menyatakan bahawa operasi helikopter-helikopter Puma dan juga Chinooks milik angkatan tenteranya yang telah berusia akan ditamatkan dengan lebih awal.
Langkah penjimatan itu akan menyaksikan sekurang-kurangnya 14 buah helikopter Chinook yang mula berkhidmat dengan angkatan tentera negara itu sejak 40 tahun yang lalu ditamatkan perkhidmatannya.
Sehingga 2022, Britain mengoperasikan sebanyak 59 buah helikopter pengangkut Chinook dalam perkhidmatan angkatan tenteranya.
Selain itu, 17 helikopter Puma juga akan ditamatkan perkhidmatannya dibawah langkah penjimatan itu.
Pemerhati pertahanan United Kingdom menyatakan bahawa kehilangan 14 helikopter Chinook dan 17 helikopter Puma itu akan menyaksikan angkatan tentera negara itu kehilangan 25 peratus daripada kekuatan helikopternya. — DSA
Comments are closed.