Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Kumpulan Houthi Tembak Jatuh Dron MQ-9 Reaper Amerika Bernilai RM180 Juta Sebuah

(VIDEO) Jurucakap kumpulan bersenjata Houthi Brig Jen Yahya Saree berkata bahawa anggotanya berjaya menembak jatuh pesawat tanpa pemandu “Reaper” yang dianggarkan bernilai US$30 juta hingga US$40 juta (antara RM135 juta hingga RM180 juta) sebuah.

0 1,314

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kumpulan bersenjata Houthi mendakwa ia telah berjaya menembak jatuh pesawat tanpa pemandu MQ-9 “Reaper” milik tentera Amerika Syarikat di pinggir pantai Hodeidah, Yaman.

Jurucakap kumpulan bersenjata Houthi Brig Jen Yahya Saree berkata bahawa anggotanya berjaya menembak jatuh pesawat tanpa pemandu “Reaper” yang dianggarkan bernilai US$30 juta hingga US$40 juta (antara RM135 juta hingga RM180 juta) sebuah.

Menurut beliau, pesawat tanpa pemandu itu berjaya ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu yang “bersesuaian” ketika aset tentera Amerika Syarikat itu sedang menjalankan tugas “berniat jahat” bagi pihak Israel terhadap Yaman.

Pesawat tanpa pemandu itu dibangunkan oleh syarikat General Atomics.

Kumpulan bersenjata itu juga telah mengeluarkan video kejayaan penembakan jatuh pesawat tanpa pemandu itu serta bangkainya yang ditemui dilokasi tidak dinama di Yaman.

Sementara itu dua orang pegawai kanan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat telah mengesahkan kepada stesen televisyen Fox News bahawa pesawat tanpa pemandu MQ-9 Reaper miliknya telah terhempas di Yaman selepas ia didakwa ditembak jatuh oleh kumpulan bersenjata itu.

“Kami mengesahkan bahawa sebuah pesawat tanpa pemandu MQ-9 Reaper milik Tentera Udara Amerika Syarikat terhempas di Yaman di pinggir pantai Hodeidah dan sedang menyiasat punca kejadian itu,” menurut pegawai Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat itu.

Bagaimanapun pegawai Amerika Syarikat itu menegaskan bahawa pihaknya tidak mengetahui sama ada kumpulan bersenjata Houthi terlibat dalam insiden itu.

Reaper
Serpihah dron Reaper selepas ia ditembak jatuh.

Reaper

Jika kumpulan bersenjata Houthi terlibat dalam insiden menembak jatuh pesawat tanpa pemandu MQ-9 Reaper itu, maka ia adalah kali kedua kumpulan bersenjata itu berjaya menembak jatuh pesawat tanpa pemandu Amerika Syarikat itu.

Tentera Udara Amerika Syarikat menyatakan bahawa pesawat tanpa pemandu itu digunakan untuk mengumpul maklumat perisikan tetapi pada masa yang sama ia juga boleh dilengkapkan dengan lapan butir peluru berpandu “Hellfire”untuk misi-misi serangan darat.

Pesawat tanpa pemandu boleh terbang sehingga ke ketinggian 25,000 dan menjalakan misi-misi serangan dan pemantauan serta perisikan.

Ia boleh dikawal oleh dua orang krew, seorang pilot untuk memandu pesawat tanpa pemandu itu manakala seorang lagi anggota adalah untuk mengawal sensor dan sistem persenjataannya. — DSA

Notis

Comments
Loading...