Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Provokasi Su-35 Russia Sebabkan Kerosakan Pada Dron “Reaper” Amerika Di Syria

Komander Tentera Udara Amerika Syarikat Lt Jeneral Alexus Grynkewich dalam satu kenyataan berkata apa yang dilakukan oleh juruterbang pesawat pejuang Russia itu adalah merbahaya dan tidak professional serta memintanya supaya ia dihentikan dengan segera.

0 2,355

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Amerika menuduh pesawat pejuang Su-35 Russia melakukan provokasi dengan sengaja melepaskan suar (flares) berhampiran dron MQ-9 “Reaper” yang sedang menjalankan operasi anti-pengganas di Syria sehingga merosakkan dron pemantau miliknya itu.

Komander Tentera Udara Amerika Syarikat Lt Jeneral Alexus Grynkewich dalam satu kenyataan berkata apa yang dilakukan oleh juruterbang pesawat pejuang Russia itu adalah merbahaya dan tidak professional.

Beliau meminta tentera Russia supaya menghentikan tindakan provokasi dan berbahaya itu.

Reaper

Ketika insiden itu, dron terbabit sedang dalam operasi memerangi kumpulan pengganas ISIS di Syria, di mana Russia turut menempatkan anggota dan aset tenteranya untuk menyokong pentadbiran Presiden Bashar al-Assad.

Dron “Reaper” Amerika Syarikat itu mengalami kerosakan di bahagian bilah kipasnya akibat tindakan pesawat pejuang Russia itu.

“Pada Ahad lalu, pesawat pejuang Russia telah terbang terlalu hampir dengan dron Reaper itu, menganggu operasinya dan melepaskan suar daripada kedudukan di atas dron itu,” kata komander Tentera Udara Amerika Syarikat itu.

“Satu daripada suar itu telah mengenai dron itu, merosakkan bahagian kipasnya,” kata beliau sambil menambah bahawa walaupun mengalami kerosakan,namun dron mampu kembali ke pangkalannya dengan selamat.

Awal bulan ini,  tiga buah pesawat pejuang Su-35 Russia telah bertindak dengan cara-cara “tidak selamat dan profesional” dalam melakukan pemintasan terhadap tiga buah dron MQ-9 “Reaper” milik Amerika Syarikat di utara Syria pada 5 Julai.

Suar
Suar (flares) yang dilepaskan oleh pesawat pejuang Russia berhampiran dron MQ-9 Reaper di Syria baru-baru ini.

 

Ketiga kejadian, ketiga-tiga dron milik Amerika Syarikat itu sedang melakukan pemantauan terhadap kumpulan penganas, ISIS yang beroperasi di negara Timur Tengah itu.

Minggu lepas, Russia turut mengerah sebuah pesawat perisiknya untuk melakukan misi pengintipan intensif terhadap pangkalan At-Tanf yang diduduki oleh anggota tentera Amerika Syarikat di Syria dan kawasan persekitarannya.

Menurut pegawai pertahanan Amerika Syarikat, pesawat pengintip Russia itu berlegar-legar untuk beberapa jam di atas pangkalan tentera Amerika di Syria untuk “mengumpul” segala maklumat perisikan yang diperlukannya.

Pesawat perisik Russia itu dikenalpasti daripada jenis Antonov An-30 atau “Clank” sebagaimana dipanggil oleh NATO dan mula berkhidmat pada tahun-tahun 1960-an ketika Perang Dingin di antara Kesatuan Soviet dengan negara-negara Barat.

Ia adalah pesawat yang khusus untuk melakukan fotografi daripada udara (aerial photography) terhadap kawasan-kawasan sensitif tentera.

Rafale
Gambar pesawat Su-35 yang diambil menggunakan pod sasaran sama ada Talios atau Damocles di Syria.
Su-35 Russia
Pesawat Su-35 Russia

 

 Apa yang dilakukan oleh pesawat pejuang Russia terhadap dron-dron milik Amerika Syarikat di Syria itu bukanlah perkara baru, malah ia adalah sambungan daripada tindakan-tindakan agresifnya terhadap tentera dan aset Amerika di negara Timur Tengah itu akhir-akhir ini. 

Pada April lalu, Pusat Pemerintahan Tentera Udara Amerika Syarikat di Timur Tengah (AFCENT) telah mengeluarkan dua video yang menunjukkan insiden pertembungan udara “berbahaya” di antara pesawat pejuang Su-35 lengkap bersenjata Russia dengan pesawat-pesawat pejuang miliknya.

Insiden terbabit berlaku kira-kira sebulan selepas seorang pegawai tinggi tentera Amerika Syarikat mendedahkan bahawa pesawat-pesawat pejuang Russia melakukan penerbangan provokatif di ruang udara atas pangkalan dan kemudahan tenteranya di Syria “hampir setiap hari” di dalam bulan Mac.

Dalam satu lagi kenyataan, tentera Amerika Syarikat menyatakan bahawa pada 27 November tahun lepas, unit pertahanan udara Russia yang beroperasi di Syria telah cuba menembak jatuh sebuah dron milik Amerika Syarikat “MQ-9 Reaper” menggunakan sistem pertahanan udara “Pantsir-S1”.

Bagaimanapun percubaan oleh tentera Russia untuk menembak jatuh dron Amerika itu gagal selepas tembakan peluru berpandu itu gagal mengenai sasarannya. — DSA

donlod

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...