Krisis Kuasa Udara Perancis: Pesawat Pejuang Rafale Hanya Mampu Bertahan Tiga Hari “Diasak” Russia
Kajian yang dirangka oleh pakar ketenteraan, termasuk bekas pegawai kanan Tentera Udara Perancis, memberikan gambaran suram tentang "kuasa besar Eropah" yang kini bergelut dan “ketinggalan”untuk bersaingi dalam landskap peperangan udara moden yang berkembang pesat.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam satu penilaian yang mengejutkan, laporan terkini daripada Institut Hubungan Antarabangsa Perancis (IFRI) telah mendedahkan realiti yang membimbangkan mengenai keupayaan kuasa tempur udara Perancis, terutamanya melibatkan pesawat pejuang Rafale yang menjadi kebanggaannya tetapi kini disifatkan sebagai “ketinggalan” berbanding pesawat-pesawat pejuang generasi kelima yang berada di pasaran.
Kajian yang dirangka oleh pakar ketenteraan, termasuk bekas pegawai kanan Tentera Udara Perancis, memberikan gambaran suram tentang “kuasa besar Eropah” yang kini bergelut untuk menyaingi landskap peperangan udara moden yang berkembang pesat.
Di tengah-tengah krisis ini adalah armada pesawat pejuang Perancis, yang masih bergantung kepada teknologi generasi keempat, sedangkan pesaing utamanya semakin maju dengan pembangunan pesawat pejuang generasi kelima.
Pesawat Dassault Rafale, yang selama ini dianggap sebagai tulang belakang kekuatan udara Perancis dan kebanggaan kejuruteraan negara itu, kini semakin ketara kekurangan daripada segi keupayaan dalam era peperangan yang dikuasai oleh teknologi halimunan (stealth) dan peperangan elektronik.
Walaupun Rafale sering dipuji sebagai salah satu pesawat pejuang pelbagai peranan terbaik dalam kelasnya, ia tidak pernah direka dengan ciri-ciri halimunan, satu kekurangan kritikal dalam persekitaran pertempuran udara moden yang semakin kompleks.
Kelemahan ini berpunca daripada keputusan strategik Perancis pada awal tahun 2000-an, apabila negara itu memilih untuk menaik taraf pesawat tempur sedia ada berbanding membangunkan pesawat halimunan sepenuhnya.

Ketika itu, Amerika Syarikat telah pun melangkah jauh ke hadapan dengan memperkenalkan F-22 Raptor dan kemudian F-35 Lightning II, sekali gus mengubah sepenuhnya landskap dominasi udara global.
Walaupun Rafale telah menerima pelbagai peningkatan yang meletakkannya dalam kategori pesawat pejuang generasi 4.5, ia masih kekurangan “low-observable technology” yang diperlukan untuk mengelak daripada dikesan oleh radar canggih dan sistem pertahanan udara moden.
Dalam era di mana musuh seperti Russia dan China semakin memperkukuhkan sistem pertahanan anti-akses/penafian kawasan (A2/AD), juruterbang Perancis mungkin mendapati diri mereka terperangkap dalam zon bahaya, terdedah kepada sistem peluru berpandu permukaan ke udara berprestasi tinggi serta pesawat pejuang generasi baharu yang jauh lebih maju.
Keadaan bertambah parah apabila Moscow dan Beijing terus memperluaskan keupayaan ketenteraan mereka secara agresif.
Russia kini memiliki pelbagai sistem senjata termasuk peluru berpandu hypersonik, dron tempur canggih, dan sistem peperangan elektronik, manakala China pula semakin hampir mengejar keupayaan Barat dengan pesawat pesawat pejuang J-20.
Dominasi udara oleh kuasa Barat, yang selama ini menjadi tonggak keselamatan global sejak Perang Dunia Kedua, kini berada dalam keadaan genting.

Dengan pergantungan kepada Rafale, Perancis kini berada dalam kedudukan yang semakin tertinggal dalam perlumbaan teknologi ketenteraan udara.
Walaupun pesawat pejuang itu masih berkesan dalam pelbagai misi pertempuran, ia tidak mempunyai daya tahan dan keupayaan bertahan dalam konflik berintensiti tinggi, menjadikannya satu kelemahan ketara dalam konfrontasi dengan musuh yang setaraf.
Laporan IFRI menekankan satu hakikat yang sukar diterima: jurang teknologi antara Perancis dan pesaingnya semakin melebar, dan setakat ini tiada penyelesaian segera yang mampu menutup jurang tersebut.
Selain kelemahan teknologi, Perancis kini berdepan satu lagi krisis kritikal—kekurangan bekalan peluru berpandu dan persenjataan berpanduan tepat (precision guided munitions).
Sekiranya tercetus perang berskala besar, Tentera Udara Perancis hanya mampu bertahan selama tiga hari sahaja—satu realiti yang mengejutkan bagi sebuah negara kuasa nuklear yang mempunyai cita-cita ketenteraan di peringkat global.
Peluru berpandu utama, termasuk METEOR jarak jauh udara-ke-udara, kini berada pada tahap stok yang membimbangkan.

Situasi ini bertambah buruk berikutan bantuan ketenteraan Perancis kepada Ukraine, yang telah mengurangkan secara drastik stok peluru berpandu SCALP dan sistem pemintas udara Aster 30.
Tatkala sekutu Barat berusaha untuk memperkuatkan pertahanan Ukraine, Perancis kini berdepan dengan kekurangan bekalan senjata yang serius, dan tidak mampu menggantikan senjata yang telah digunakan dengan cukup pantas untuk memenuhi keperluan peperangan moden.
Lebih merumitkan keadaan, keputusan Perancis untuk mengharamkan penggunaan peluru berpandu berangkai (cluster munitions)—selaras dengan perjanjian pelucutan senjata antarabangsa—menyebabkan tentera udara Perancis kehilangan salah satu aset paling berkesan dalam menumpaskan pasukan musuh yang menduduki kawasan luas.
Walaupun keputusan ini dilihat sebagai langkah moral yang berprinsip, ia membawa implikasi strategik yang besar, memaksa Paris bergantung kepada sistem persenjataan yang lebih mahal dan terhad, sekaligus membebankan lagi sumber ketenteraannya yang semakin berkurangan.

Perancis kini berada di persimpangan kritikal: sama ada melabur besar-besaran dalam pemodenan tentera udaranya, atau berisiko menjadi tidak relevan di medan perang moden.
Ketiadaan pesawat tempur generasi kelima, krisis bekalan senjata berpanduan tepat, dan hakikat bahawa dominasi udara Barat semakin terhakis—semuanya membentuk krisis besar yang boleh melemahkan keupayaan Perancis dalam mempertahankan kepentingannya dalam konflik berskala besar.
Dengan pesaing semakin maju dalam pembangunan teknologi ketenteraan, persoalan utama bukan lagi sama ada Perancis perlu bertindak, tetapi adakah ia masih mempunyai masa sebelum semuanya terlambat?
Berikut adalah kelemahan utama pesawat Rafale berbanding pesawat pejuang generasi kelima seperti F-35, Su-57, J-20, dan J-35A, dari sudut pandang teknikal, operasi, dan strategik:
1. Tiada Ciri Siluman (Stealth) Sepenuhnya
Rafale ialah pesawat pejuang generasi 4.5 dengan ciri siluman terhad (low observable), bukan pesawat stealth sejati.
Pesawat generasi kelima seperti F-35, Su-57, J-20 dan J-35A dibina dari awal dengan rekabentuk geometri siluman, penggunaan bahan penyerap radar (RAM), dan peminimuman jejak haba dan radar—memberi kelebihan besar dalam operasi menembusi ruang udara musuh tanpa dikesan.
2. Radar Kurang Maju Berbanding AESA Generasi Terkini
Walaupun Rafale kini dilengkapi radar AESA Thales RBE2-AA, ia masih tidak sebanding dari segi jarak pengesanan, keupayaan ECCM (Electronic Counter-Countermeasures), dan multi-target engagement berbanding radar generasi kelima seperti AN/APG-81 F-35 atau KLJ-7A/Type 1475 milik J-20 dan J-35A.
3. Ketiadaan Sensor Fusion Sepenuhnya
Pesawat generasi kelima seperti F-35 direka dengan keupayaan sensor fusion menyeluruh, di mana pelbagai data dari radar, elektro-optik, dan link komunikasi digabungkan secara automatik dan dipaparkan sebagai satu gambaran taktikal yang bersatu untuk juruterbang.
Rafale ada tahap fusion tetapi masih belum setanding dari segi automasi, kesedaran situasi (situational awareness) dan keupayaan AI seperti dalam F-35 atau J-20.

4. Jejak Radar dan Inframerah Lebih Tinggi
Enjin Rafale menghasilkan jejak haba yang lebih besar, dan profil radar (Radar Cross Section – RCS) juga lebih besar kerana rekabentuk aerodinamik tradisional.
Ini menjadikan Rafale lebih mudah dikesan oleh radar musuh atau sensor IRST (Infrared Search and Track), terutamanya ketika bertempur dengan pesawat stealth.
5. Tiada Senjata Hypersonik atau PLAAF-Class Long-Range AAM
Pesawat seperti J-20 dan Su-57 kini membawa peluru berpandu udara-ke-udara jarak sangat jauh seperti PL-15 (200-300km) dan bakal dilengkapkan dengan PL-21 atau K-77M, manakala F-35 pula beroperasi dengan AIM-260 JATM sebagai pengganti AIM-120.
Rafale pula masih bergantung kepada Meteor sebagai peluru berpandu Beyond Visual Range (BVR) utama, yang walaupun berupaya, masih terdedah jika menentang PL-15 yang dipandu oleh radar AESA dalam AAM itu sendiri.
6. Tidak Dilengkapi Internal Weapons Bay
Semua pesawat generasi kelima menyimpan senjata di dalam badan (internal weapons bay) untuk mengekalkan siluman.
Rafale membawa senjata secara luaran (external hardpoints), menjadikan ia lebih mudah dikesan radar apabila bersenjata penuh.

7. Kurang Autonomi dalam Perang Elektronik dan Loyal Wingman
F-35 dan J-20 telah diintegrasikan dengan drone autonomi “loyal wingman” dan keupayaan peperangan elektronik lanjutan, menjadikan mereka platform pelbagai fungsi yang mampu melaksanakan misi SEAD/DEAD, ISR dan EW tanpa sokongan pesawat khas.
Rafale walaupun memiliki pod EW seperti Spectra, masih memerlukan bantuan luaran dalam beberapa misi berisiko tinggi.
8. Kos Operasi yang Lebih Tinggi dari Stealth yang Dioptimumkan
Walaupun lebih murah daripada F-35 dari segi pembelian awal, kos operasi Rafale lebih tinggi dalam jangka panjang berbanding F-35A yang dibina secara modular dan disokong oleh ekosistem logistik global.
F-35 juga mendapat manfaat daripada pelbagai pelaburan teknologi NATO dan AS, menjadikan pengoperasian dan naik taraf lebih efisien.
