Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Korea Utara Hantar 1,000 Kontena Senjata Dan Peluru Kepada Russia

Amerika Syarikat percaya penghantaran senjata dan peluru ke Russia oleh Korea Utara sebagai “pertukaran” kepada persetujuan Moscow untuk membantu Pyongyang dalam membangunkan senjata nuklearnya dan beberapa program ketenteraan yang lain.

0 1,745

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Korea Utara dilaporkan telah menghantar 1,000 buah kontena berisi peluru dan pelbagai jenis sistem persenjataan kepada Russia, dipercayai bagi membantu Moscow dalam peperangannya dengan Ukraine.

Amerika Syarikat percaya penghantaran senjata dan peluru ke Russia oleh Korea Utara sebagai “pertukaran” kepada persetujuan Moscow untuk membantu Pyongyang dalam membangunkan senjata nuklearnya dan beberapa program ketenteraan yang lain.

Korea Utara mahukan akses kepada teknologi senjata nuklear Russia bagi membolehkan ia membangunkan peluru-peluru berpandu nuklear yang lebih berbahaya dan berkesan,kata jurucakap Jawatankuasa Keselamatan Kebangsaan, Rumah Putih John Kirby.

Washington telah mengedarkan gambar-gambar satelit yang menunjukkan kontena-kontena terbabit telah dipindahkan ke kapal-kapal berdaftar di Russia di Najin, Korea Utara di antara 7 September hingga ke 1 Oktober.

Kapal-kapal kontena itu kemudiannya telah belayar balik ke Dunay di Russia.

Korea Utara
Putin dan Kim Jong-Un

 

“Kami (Amerika Syarikat) telah mengecam Korea Utara kerana telah memberikan peralatan ketenteraan kepada Russia,yang akan digunakan untuk menyerang bandar-bandar di Ukraine dan memanjangkan lagi kemampuan Russia untuk berperang,” kata Kirby.

“Sebagai ganti (kepada kontena-kontena senjata dan peluru), Korea Utara cuba mendapatkan bantuan Russia termasuk pesawat-pesawat pejuang, peralatan untuk membangunkan peluru berpandu balistik atau bahan lain dan teknologi.

Baru-baru ini, sebuah badan pemikir yang berpangkalan di Washington, Centre for Strategic and International Studies telah mengedarkan gambar-gambar satelit yang menunjukkan peningkatatan trafik keretapi di antara sempadan Russia-Korea Utara.

Laporan daripada badan pemikir itu menunjukkan peningkatan trafik keretapi di kemudahan keretapi di Tumangang di Korea Utara.

Bulan lepas, pemimpin Korea Utara  Kim Jong-un telah melakukan lawatan ke Russia di mana beliau telah mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Presiden Vladimir Putin.

Hwasong-15
Pelancaran peluru berpandu Hwasong-15 oleh Korea Utara

 

Kedua-dua pemimpin itu telah bersetuju untuk meningkatkan lagi kerjasama pertahanan di antara kedua-dua negara, tetapi tidak menyatakan dengan jelas kerjasama itu membabitkan apa.

Sebelum ini terdapat laporan menyatakan bahawa Korea Utara sedang “mempersiapkan” kira-kira 500,000 anggota tentera dan pasukan sukarelanya  untuk menyertai operasi ketenteraan khas Russia di Ukraine, dakwa seorang koresponden perang televisyen kebangsaan Russia.

Koresponden perang terbabit, Alexsander Sladkov mendakwa bahawa rejim Pyongyang pimpinan Kim Jong Un merupakan penyokong kuat dasar Russia di Ukraine.

“Saya telah bercakap dengan ketua organisasi veteran perang Korea Utara yang berada di Moscow baru-baru ini dan beliau telah menyatakan bahawa 50,000 anggota komando Korea Utara juga bersedia untuk dikerah ke Ukraine,” katanya.

Korea Utara
Dron Korea Utara

 

Menurut beliau, Korea Utara bersedia untuk menyumbang ke arah kempen Russia di Ukraine dengan menyumbang anggota tentera dan kelengkapan pada operasi khas itu,yang merujuk kepada konflik bersenjata antara Moscow dan Kiev yang bermula sejak Februari tahun lepas.

Beliau juga berkata Korea Utara bersedia untuk menyumbang ke arah kempen Russia di Ukraine dengan menyumbang anggota tentera dan kelengkapan pada operasi khas itu,yang merujuk kepada konflik bersenjata antara Moscow dan Kiev yang bermula sejak Februari tahun lepas.  — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...