Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Korea Selatan Tuduh Russia Beri Bantuan Teknikal, Wang Untuk Korea Utara Siapkan Kapal Perang Terbarunya

Jurucakap Ketua Staff Tentera Korea Selatan Lee Sung-jun berkata, Russia bertanggungjawab memberikan teknologi dan berkemungkinan bantuan kewangan kepada Korea Utara untuk menyiapkan kapal pemusnah terbarunya itu.

0 7,491
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Korea Selatan menuduh Russia memberikan bantuan teknikal dan kewangan kepada Korea Utara untuk menyiapkan kapal perang terbarunya yang dinamakan Choe Hyon seberat 5,000 tan, membuktikan kerjasama semakin erat dalam bidang ketenteraan di antara kedua-dua negara.
Korea Utara juga dilaporkan telah menghantar kira-kira 20,000 anggota tenteranya ke Russia serta membekalkan pelbagai jenis senjata termasuk peluru berpandu ballistik kepada Moscow.
Jurucakap Ketua Staff Tentera Korea Selatan Lee Sung-jun berkata, Russia bertanggungjawab memberikan teknologi dan berkemungkinan bantuan kewangan kepada Korea Utara untuk menyiapkan kapal pemusnah terbarunya itu.
“Menerusi pemerhatian terhadap senjata dan peralatan yang didedahkan, kami percaya ada kemungkinan mereka menerima teknologi, dana atau bantuan daripada Russia. Kami sedang menjalankan analisis yang lebih terperinci,” kata beliau.
Walaupun telah siap, namun jurucakap Ketua Staf Tentera Korea Selatan berkata, kapal pemusnah Korea Utara itu memerlukan masa sebelum ia boleh dikerahkan secara aktif.
“Dalam perkara berkenaan kapal pemusnah Korea Utara itu, ia memakan masa beberapa tahun untuk membinanya dan walaupun pembinaannya telah siap tetapi ia memerlukan lebih banyak masa untuk benar-benar beroperasi.”
“Walaupun Choe Hyon telah pun didedahkan kepada umum, tetapi ia memerlukan lebih banyak masa untuk beroperasi,” kata beliau.
Korea Utara memaklumkan bahawa pemimpinnya, Kim Jong Un telah menyaksikan ujian pelancaran peluru berpandu buat pertama kali dari kapal pemusnah baharu yang dilancarkan negara itu.
Korea Utara
Choe Hyong
Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) melaporkan bahawa pemimpin Korea Utara itu telah menyaksikan ujian pelancaran peluru berpandu supersonik dan peluru berpandu kruis dari kapal pemusnah itu.
Ujian pelancaran itu juga melibatkan ujian peluru berpandu anti-pesawat, mesingan automatik serta sistem peperangan elektronik.
Menurut laporan oleh KCNA,  Kim menghargai gabungan senjata serangan yang berkuasa dan sistem pertahanan konvensional pada kapal tersebut, serta menetapkan arahan untuk mempercepatkan usaha melengkapkan angkatan lautnya dengan senjata nuklear.
Beberapa hari lalu, Korea Utara secara rasmi telah melancarkan kapal perang terbesarnya dipanggil “kapal pemusnah pelbagai guna” dalam satu majlis yang diadakan di pantai barat negara itu, menurut media rasmi negara itu
Kapal perang terbaru Korea Utara seberat 5,000 tan itu dilaporkan dilengkapi dengan “senjata paling berkuasa” dan dibina dalam tempoh 400 hari menggunakan “kekuatan dan teknologi” negara itu, menurut setiausaha Parti Pekerja yang memerintah Korea Utara.
Pelancaran kapal perang tersebut di limbungan pembinaan kapal tentera laut di Nampho, menandakan era baru dalam pembinaan armada “gaya hebat Kim Jong Un”, lapor KCNA yang memetik kenyataan Naib Laksamana Pak Kwang Sop.
Choe Hyon
Choe Hyon (CSIS)
Menurut laporan itu, kapal berkenaan diklasifikasikan sebagai kelas “Choe Hyon”, dinamakan sempena pejuang revolusi anti-Jepun, Choe Hyon.
Awal bulan April lalu, agensi berita Reuters melaporkan bahawa kelas kapal perang baharu Korea Utara itu berupaya memuatkan berpuluh-puluh sel pelancaran menegak untuk membawa peluru berpandu yang telah dibangunkan oleh tenteranya, berdasarkan analisis imej satelit.
Menurut penganalisi ketenteraan, Korea Utara berusaha memiliki kapal perang seberat 5,000 tan kelas “Choe Hyon” sebagai sebahagian daripada usahanya memperkukuh keupayaan ketenteraan maritimnya dalam menghadapi tekanan strategik serantau, khususnya daripada Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Jepun.
Dalam konteks ketenteraan moden, memiliki kapal bersaiz besar yang dilengkapi puluhan sel pelancaran menegak (VLS) membolehkan Korea Utara memperluaskan keupayaan serangan jarak jauh, termasuk melancarkan peluru berpandu serangan darat dan anti-kapal daripada laut.
Sementara itu menurut laporan oleh Centre for Strategic and International Studies (CSIS) menyatakan,  apa yang paling menarik perhatian adalah sistem pertahanan udara kapal pemusnah Choe Hyon turut merangkumi sistem Pantsir-M buatan Russia, sekali gus mencerminkan kerjasama yang semakin erat antara Pyongyang dan Moscow.
“Masih belum jelas sama ada Korea Utara memperoleh secara langsung sistem tersebut (Pantsir) atau telah diberikan lesen oleh Rusia untuk menghasilkannya sendiri.”

Choe Hyon

“Sistem Pantsir direka khusus untuk pertahanan titik (point defense) bagi menangkis ancaman daripada helikopter, dron (UAV), dan peluru berpandu kruis.”
“Terdapat spekulasi bahawa versi darat sistem Pantsir (Pantsir-S1/S2) berkemungkinan akan turut digunakan di sekitar aset-aset penting Korea Utara dalam bidang arahan, kawalan, komunikasi, komputer, risikan, pemantauan dan peninjauan (C4ISR), serta digandingkan dengan unit-unit utama pasukan daratnya,” menurut CSIS
Kapal perang Korea Utara yang baharu itu juga mempunyai keupayaan serangan menyeluruh — termasuk anti-udara, anti-kapal, anti-kapal selam serta anti-peluru berpandu balistik — selain mampu melancarkan peluru berpandu kruis strategik hypersonik dan peluru berpandu ballistik taktikal.
Sekiranya reka bentuk kapal Choe Hyon ini terbukti berjaya dan menjadi asas kepada pembinaan kelas kapal pemusnah baharu, perkembangan ini — digabungkan dengan cita-cita pemimpin Korea Utara untuk memiliki kapal kruiser dan kapal selam berkuasa nuklear — akan secara ketara meningkatkan ancaman maritim baharu terhadap Semenanjung Korea serta rantau ini, khususnya kepada Amerika Syarikat dan Korea Selatan.
Korea Utara
Choe Hyon
Imej-imej satelit menunjukkan kapal perang paling moden Korea Utara tersebut dilengkapi dengan beberapa sistem senjata moden, antaranya:
  • 44 sel pelancaran menegak (Vertical Launch System) dipercayai digunakan untuk peluru berpandu permukaan-ke-udara (SAM),
  • 30 sel VLS bersaiz lebih besar yang berkemungkinan untuk peluru berpandu kruuis atau peluru berpandu permukaan-ke-permukaan,
  • sistem senjata jarak dekat (CIWS) bagi menghadapi ancaman peluru berpandu,
  • drone (UAV),
  • sistem pertahanan anti-kapal selam,
  • sistem peperangan elektronik,
  • meriam utama berkaliber 127mm serta dek penerbangan untuk helikopter atau UAV.
— DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.