Korea Selatan Kurangkan Sumbangan Kewangan Indonesia Terhadap Program Pembangunan KF-21 Boramae
Agensi berita Yonhap melaporkan Jawatankuasa Promosi Projek Pertahanan menyokong rancangan mengurangkan sumbangan kewangan Indonesia itu di tengah-tengah kebimbangan mengenai komitmen Jakarta terhadap projek KF-21 berikutan kelewatan pembayaran berulang kali oleh negara Asia Tenggara itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pihak berkuasa pertahanan Korea Selatan telah meluluskan rancangan untuk mengurangkan sumbangan kewangan Indonesia bagi projek pembangunan pesawat pejuang KF-21 “Boramae” kepada 600 bilion won (US$440 juta), kira-kira satu pertiga daripada jumlah asal, menurut agensi perolehan senjata negara.
Agensi berita Yonhap melaporkan Jawatankuasa Promosi Projek Pertahanan menyokong rancangan mengurangkan sumbangan kewangan Indonesia itu di tengah-tengah kebimbangan mengenai komitmen Jakarta terhadap projek KF-21 berikutan kelewatan pembayaran berulang kali oleh negara Asia Tenggara itu.
Indonesia pada asalnya bersetuju untuk membayar 1.6 trilion won, mewakili 20 peratus daripada program bernilai 8.1 trilion won yang dilancarkan pada 2015 untuk membangunkan pesawat pejuang supersonik canggih generasi 4.5.
Bagaimanapun, Indonesia setakat ini hanya menyumbang sekitar 380 bilion won dan baru-baru ini meminta untuk mengurangkan jumlah sumbangan kewangannya kepada 600 bilion won.
Agensi perolehan pertahanan Korea Selatan, Defense Acquisition Program Administration (DAPA) berkata rancangan itu merangkumi cara untuk mendapatkan dana yang tidak mencukupi tetapi tidak memberikan butiran lanjut.
Ia berkata kelulusan itu mengambil kira pelbagai faktor, termasuk hubungan dua hala dan kemungkinan mendapatkan dana berkenaan, sambil menambah bahawa pihaknya akan menyelesaikan rundingan pembahagian kos dengan Indonesia dengan baik.
Walaupun terdapat kelewatan pembayaran, projek itu berada di landasan yang betul untuk menghasilkan pesawat tempur canggih yang direka untuk menggantikan jet era Perang Dingin F-4 dan F-5 Korea Selatan kepada Tentera Udara pada 2026.
Pada Jun, Korea Aerospace Industries Ltd, satu-satunya pembina pesawat tempur di negara itu, menandatangani perjanjian bernilai 1.96 trilion won dengan DAPA untuk memulakan pengeluaran 20 pesawat KF-21.
Program pembangunan pesawat pejuang KF-21 itu dilaporkan telah mencapai 80 peratus siap pada ketika ini.
ROKAF bercadang mengoperasikan sehingga 100 hingga 120 buah pesawat pejuang KF-21 “Boramae” menjelang tahun 2032 untuk menggantikan pesawat-pesawat pejuang berusianya, F-4 “Phantom” dan F-5 yang masih digunakan oleh tentera udara negara itu.
Tentera udara negara itu bercadang menjadikan pesawat pejuang KF-21 “Boramae” itu sebagai “tulang belakang” ROKAF, yang akan memainkan peranan penting sekiranya berlaku peperangan di Semenananjung Korea.
Pesawat prototaip KF-21 itu berjaya melakukan penerbangan sulungnya pada 2022 dan selepas itu ia telah memulakan kira-kira 2,000 penerbangan ujian yang perlu dilakukannya untuk menguji pelbagai sistem dan komponen.
Dilancarkan pada 2015, program pembangunan pesawat KF-21 itu dianggar menelan belanja US$6.59 bilion (RM26.36 bilion).
KAI merancang untuk membekalkan 20 buah pesawat KF-21 Block 1 yang direkabentuk untuk misi udara-ke-udara pada tahun 2026, diikuti oleh 80 buah pesawat Block 2 itu untuk misi udara-ke-darat pada fasa seterusnya.
Gergasi aeroangkasa Korea Selatan itu juga dilaporkan berhasrat untuk mula mengeksport pesawat pejuang KF-21 “Boramae” kepada pelanggan-pelanggan yang berminat.
KAI telah pun mensasarkan beberapa buah negara sebagai pelanggan berpotensi bagi pesawat pejuang KF-21 terutamanya negara-negara yang telah pun menggunakan pesawat pejuang ringan FA-50/T-50 seperti Thailand, Filipina, Iraq dan Poland serta Malaysia.
Comments are closed.