Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Tentera Laut Korea Selatan Bakal Miliki “HMS Queen Elizabeth”

Selepas China,Jepun dan India, kini giliran Korea Selatan untuk memiliki kapal pengangkut pesawat bagi menjamin kedudukannya sebagai kuasa tentera laut di Asia serta menangani rejim Korea Utara, walaupun terdapat dikalangan penduduk negara itu membantah perolehan kapal itu.

0 2,538

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas Jepun mengubahsuai kapal Landing Helicopter Dock (LHD) “JS Izumo” dan “JS Kaga” untuk menjadi kapal pengangkut pesawat mini,  kini tibalah giliran Korea Selatan pula untuk merealisasikan hasratnya untuk memiliki sebuah kapal pengangkut pesawat (aircraft carrier) pula.

Di tengah-tengah ketegangan di rantau Asia-Pasifik akibat sikap agresif China dan Korea Utara, wujud seakan-akan perlumbaan di antara negara kuasa tentera Asia untuk membina kapal pengangkut pesawat.

Selepas China,Jepun dan India, kini giliran Korea Selatan untuk memiliki kapal pengangkut pesawat bagi menjamin kedudukannya sebagai kuasa tentera laut di Asia serta menangani rejim Korea Utara, walaupun terdapat dikalangan penduduk negara itu membantah perolehannya.

CVX Korea

Segelintir penduduk di Korea Selatan berpendapat kapal pengangkut pesawat itu tidak ubah seperti sebuah “keranda bergerak” terutamanya apabila berada dalam  jangkauan sistem peluru berpandu anti-kapal dan serangan udara pihak musuh.

Mereka menyatakan bahawa negara Asia Timur yang juga kuasa ekonomi Asia tidak memerlukan kapal pengangkut pesawat dengan pembinaan kapal seumpama disifatkan sebagai suatu pembaziran.

Walaupun begitu, kerajaan Korea Selatan tetap mahukan sebuah kapal pengangkut pesawat.

National Assembly Korea Selatan pada Disember tahun lepas, telah meluluskan belanjawan pertahanan sebanyak US$48 bilion yang termasuk perbelanjaan awal untuk merekabentuk kapal pengangkut pesawat pertama negara itu.

HMS Queen Elizabeth
Kapal HMS Queen Elizabeth bersama kapal-kapal Tentera Laut India.

 

Ia adalah langkah pertama untuk Korea Selatan merealisasikan hasratnya untuk memiliki kapal pengangkut pesawat.

Kerja-kerja merekabentuk kapal pengangkut pesawat itu dijangka bermula pada tahun ini, dengan aset tentera laut Korea Selatan itu dijangka mula belayar melaksanakan operasinya pada tahun 2033.

Pada ketika ini terdapat dua bidaan daripada dua kumpulan syarikat yang berbeza untuk membina kapal pengangkut yang pertama untuk Korea Selatan.

Salah satu bidaan itu diketuai oleh syarikat Babcock daripada United Kingdom, syarikat yang sama bertanggungjawab merekabentuk kapal pengangkut pesawat British, HMS Queen Elizabeth.

Queen Elizabeth
HMS Queen Elizabeth ketika belayar di Terusan Suez.

 

Tahun lepas, kapal pengangkut pesawat British itu turut singgah di Korea Selatan ketika melakukan pelayaran ke Indo-Pasifik, berkemungkinan membolehkan pegawai-pegawai tentera laut Korea Selatan untuk melihat dengan dekat operasi HMS Queen Elizabeth.

Syarikat Babcok akan bekerjasama dengan Hyundai Heavy Industries (HHI).

Satu lagi bidaan untuk membina kapal pengangkut pesawat pertama Korea Selatan itu adalah menerusi kerjasama syarikat Itali, Fincantieri yang bekerjasama dengan Daewoo Shipbuiding and Marine Engineering (DSME).

Apa yang pelik, tiada syarikat daripada Amerika Syarikat yang menempatkan 28,000 tentera di Korea Selatan, terlibat menawarkan kepakaran mereka kepada Korea Selatan untuk membina kapal pengangkut pesawat.

CVX Korea

Menurut agensi Defense Acquisition and Programme Administration (DAPA) Korea Selatan, kapal pengangkut pesawat yang dinamakan “CVX” bertujuan untuk menamatkan sebarang provokasi di kawasan perairan yang dipertikaikan.

Kapal itu akan digunakan untuk menangani sebarang ancaman menerusi penggunaan kira-kira 20 buah pesawat-pesawat Short Take-Off and Landing (STOL).

Korea Selatan bakal menggunakan pesawat F-35B yang merupakan pesawat yang berkemampuan terbang dan mendarat secara menegak daripada dek penerbangan di kapal pengangkut pesawat mini yang bakal dioperasikan oleh Seoul.

CVX Korea

Selain pesawat pejuang, kapal pengangkut pesawat Korea Selatan itu juga akan membawa beberapa buah helikopter.

Komponen dalam kapal pengangkut pesawat itu akan dibina oleh syarikat-syarikat tempatan termasuklah melengkapkannya dengan kemudahan Multi Function Radar bagi membolehkannya mengesan peluru berpandu ballistik, sebagaimana yang dilancarkan oleh Korea Utara. — DSA

 

 

 

Comments
Loading...