Komander Tentera Udara Iran Lihat Lebih Dekat J-10CE Di Airshow China 2024, Cetus Spekulasi
Kehadiran Komander Tentera Udara Iran Brig Jen Hamid Vahedi pada Airshow China 2024 dan melihat lebih dekat pesawat pejuang J-10C itu telah meningkatkan spekulasi tentang minat Iran untuk memperolehi pesawat pejuang buatan China itu bagi memodenkan tentera udara yang masih lagi bergantung dengan pesawat-pesawat pejuang berusia.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Komander Tentera Udara Iran Brigadier Jeneral Hamid Vahedi dilaporkan telah hadir pada Airshow China 2024 yang sedang berlangsung di Zhuhai pada ketika ini dan melihat dengan lebih dekat pesawat pejuang generasi 4.5 buatan China, J-10CE.
Selain berpeluang melihat dengan lebih pesawat pejuang yang menjadi pilihan Tentera Udara Pakistan dan terkini, Tentera Udara Mesir, Komander Tentera Udara Iran itu juga mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya daripada China, Jeneral Chang Dingqiu.
Perbincangan di antara pemimpin tertinggi tentera udara kedua-dua negara dikatakan berkisar tentang usaha untuk meningkatkan kerjasama.
Pemerhati tentera serantau menyatakan PLAAF mengoperasi kira-kira 150 buah pesawat pejuang J-10C dalam pasukannya.
Kehadiran Komander Tentera Udara Iran pada Airshow China 2024 dan melihat lebih dekat pesawat pejuang J-10C itu telah meningkatkan spekulasi tentang minat Iran untuk memperolehi pesawat pejuang buatan China itu bagi memodenkan tentera udara yang masih lagi bergantung dengan pesawat-pesawat pejuang berusia.
Selain spekulasi tentang minat Iran terhadap pesawat pejuang J-10C itu, Iran juga dilaporkan sebelum ini bakal menerima sehingga 24 buah pesawat pejuang Su-35 daripada Russia yang pada mulanya sepatutnya diperolehi oleh Mesir sebelum negara Arab itu membatalkan perolehannya atas tekanan daripada Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebuah pesawat pejuang Su-35 itu mendarat di Iran, menyebabkan banyak pihak menyatakan bahawa perjanjian perolehan pesawat generasi 4.5 itu juga tidak akan menjadi kenyataan.
Walaupun memiliki armada peluru-peluru balistik dan dron-dron berani mati yang moden, namun bagi tentera udaranya, Iran masih lagi bergantung kepada pesawat-pesawat pejuang berusia daripada Amerika Syarikat seperti F-14, F-5 dan F-4 yang diperolehi ketika era pemerintahan Shah Iran.
Beberapa tahun lalu, Iran dikatanya sudah bersedia untuk memperolehi sehingga 36 buah pesawat pejuang J-10C daripada China, tetapi rundingan di antara kedua-dua negara tentang perolehan pesawat pejuang itu tergendala disebabkan isu mode bayaran.
Iran dikatakan mahu membuat bayaran perolehan pesawat pejuang J-10C itu menggunakan minyak tetapi China berkeras mahukan Teheran membayar perolehan itu menggunakan wang tunai keseluruhannya.
Teheran dikatakan mahu mengikuti jejak langkah Pakistan dan Mesir dalam memilih pesawat pejuang J-10C untuk tentera udaranya.
Pada 2022, Pakistan secara senyap-senyap telah memperolehi 25 buah pesawat pejuang J-10C yang dibangunkan oleh Chengdu Aircraft Corporation.
Langkah Pakistan memperolehi pesawat pejuang J-10C daripada China itu adalah untuk bersaing dengan pesawat-pesawat Rafale yang diperolehi oleh India.
Menteri Dalam Negeri Pakistan pada ketika itu Sheikh Rasheed Ahmad, perolehan 25 buah pesawat J-10 oleh Pakistan daripada China itu merupakan usaha negara itu untuk bersaing dengan 36 buah pesawat dua enjin Rafale buatan Perancis yang diperolehi oleh seteru utamanya itu.
Pakistan dan India adalah seteru utama dan kedua-dua angkatan tentera telah berperang beberapa kali terutamanya berkenaan isu Kashmir, sebuah wilayah yang majoritinya adalah beragama Islam tetapi diperintah oleh India.
Pakistan dilaporkan memperolei varian terkini pesawat J-10 iaitu versi “C” kerana ia dilengkapi dengan peralatan terkini seperti Active Electronically Scanned Array (AESA) dan peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) “PL-15”.
Peluru berpandu udara-ke-udara PL-15 itu dikatakan dibangunkan dengan bantuan pakar-pakar daripada Russia dan memilik jarak effektif di antara 200km hingga 300km, sebagaimana didakwa oleh China.
Peluru berpandu PL-15 itu juga didakwa adalah pesaing utama kepada peluru berpandu udara-ke-udara keluaran Amerika Syarikat iaitu AIM-120 “AMRAAM.”
Pesawat J-10C itu juga dikatakan menggunakan enjin keluaran syarikat tempatan China dipanggil “WS-10C” dan bukan enjin Saturn AL-31F yang dibangunkan oleh Russia bagi mengelak kompleksiti dalam penjualan pesawat itu kepada Pakistan.
Pada September lalu, Mesir dilapor telah memutuskan untuk memperolehi pesawat pejuang J-10C buatan China bagi menggantikan pesawat pejuang F-16 buatan Amerika Syarikat berusia yang kini digunakan oleh tentera udara negara Arab.
Keputusan Mesir itu menunjukkan negara Arab yang juga merupakan sekutu rapat kepada Amerika Syarikat mahu mengeratkan hubungannya dengan China.
Pada ketika ini, Tentera Udara Mesir itu memiliki kira-kira 200 buah pesawat pejuang F-16 buatan syarikat Lockheed Martin.
Amerika Syarikat telah menawarkan pakej menaiktaraf pesawat pejuang F-16 milik Mesir itu, tetapi dengan keputusan untuk memperolehi J-10C itu, nampaknya Kaherah tidak berminat dengan tawaran Washington itu. — DSA