Pesawat Su-34 Russia Kini Berkemampuan Lancar Peluru Berpandu Hypersonik “Kinzhal”
Pelancaran peluru berpandu hypersonik "Kinzhal" berkemungkinan menandakan perubahan taktikal oleh tentera udara Russia terutamanya dalam penggunaan pesawat-pesawat pejuang dalam konflik di Ukraine.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Baru-baru ini, pesawat pejuang-pengebom Sukhoi Su-34 “Fullback” milik Tentera Udara Russia telah melancarkan peluru berpandu hypersonik “Kinzhal” terhadap kedudukan tentera Ukraine dalam satu “operasi khas.”
Ia berkemungkinan menandakan perubahan taktikal oleh tentera udara Russia terutamanya dalam penggunaan pesawat-pesawat pejuang dalam konflik di Ukraine.
Agensi berita Russia, TASS yang mengumumkan perkara itu berkata, ia adalah kali pertama peluru berpandu hypersonik itu dilancarkan oleh pesawat pejuang Su-34.
Sebelum ini, pesawat pejuang yang ditugaskan untuk melancarkan peluru berpandu hypersonik “Kinzhal” adalah MiG-31K, yang merupakan varian MiG-31 telah diubahsuai untuk melancarkan peluru berpandu hypersonik itu.
Menurut laporan oleh media pertahanan Russia sebelum ini, apabila dilancarkan oleh pesawat pejuang MiG-31K peluru berpandu hypersonik “Kinzhal” berkemampuan membedil sasaran sejauh 2,000km.
Nampaknya, Tentera Udara Russia juga sedang menyediakan pesawat pejuang-pengebom Su-34 untuk tugasan melancarkan peluru berpandu hypersonik itu.
“Pesawat Su-34 itu telah melancarkan peluru berpandu hypersonik “Kinzhal” dalam satu operasi khas. Krew pesawat yang berjaya melakukan itu akan diberikan anugerah negara,” kata seorang Kementerian Pertahanan Russia memberitahu agensi berita TASS itu.
Penggunaan pesawat Su-34 untuk melancarkan peluru berpandu hypersonik “Kinzhal” berkemungkian bermaksud untuk mengambilalih tugasan yang sebelum ini dijalankan oleh pesawat MiG-31.
Penganalisis pertahanan Barat menyatakan bahawa MiG-31 berkemungkinan akan memfokuskan terhadap tugas membabitkan operasi pemintasan peluru berpandu dan juga pesawat milik Barat di kawasan sempadan negara terutamanya di Crimea.

Peluru berpandu hypersonik “Kinzhal” ini dibangunkan daripada peluru berpandu taktikal darat “Iskander” bagi membolehkannya dilancarkan daripada platform udara.
Comments are closed.