LIG Nex1 Mahu FA-50 Block 20 TUDM Guna “Korea GPS Guided Bomb” (KGGB)
Selain sistem pertahanan udara jarak sederhana KM-SAM, syarikat LIG Nex1 memberitahu Defence Security Asia bahawa ia berharap Malaysia akan menjadi pelanggan terbarunya bagi “Korea GPS Guided Bomb” (KGGB), yang merupakan kit panduan glide udara-ke-darat yang dipasang pada bom general purpose Mk-82.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ’23) yang sedang berlangsung ketika ini, syarikat LIG Nex1 daripada Korea Selatan telah mempamerkan salah satu produk yang ia sedang promosikan kepada Malaysia khususnya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Selain sistem pertahanan udara jarak sederhana KM-SAM, syarikat itu turut berharap Malaysia akan menjadi pelanggan terbarunya bagi “Korea GPS Guided Bomb” (KGGB) yang merupakan kit panduan glide udara-ke-darat yang dipasang pada bom general purpose Mk-82.
Perkara itu disahkan oleh pegawai syarikat LIG kepada Defence Security Asia ketika ditemui baru-baru ini di booth syarikat tersebut di LIMA ’23.

“Memandangkan Malaysia telah pun menandatangani kontrak perolehan 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50 Block 20 daripada Korea Aerospace Industries (KAI), maka kami turut mempromosi KGGB yang bukan sahaja digunakan oleh pesawat-pesawat pejuang milik Tentera Udara Korea Selatan (ROKAF) tetapi juga pengguna FA-50 di Asia Tenggara,” kata beliau.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan negara Asia Tenggara yang menggunakan KGGB, tetapi laporan media sebelum ini menyatakan Thailand telah menunjukkan minat untuk memperolehi kit bom pintar itu.
Tentera Udara Poland yang membeli 48 buah pesawat pejuang FA-50 termasuk varian Block 20 juga dilapor bakal menggunakan KGGB untuk pesawat-pesawat kombat terbarunya itu.
Kit bom pintar itu telah dibangun oleh Agency for Defense Development dan syarikat Korea Selatan LIG Nex1.
Dengan pemasangan kit KGGB pada bom Mk-82, ia akan membolehkan bom konvensional itu bertukar kepada bom pintar untuk membedil sasaran sejauh 103km, dengan kemampuan “fire and forget.”
KGGB yang memiliki berat keseluruhan lebih 300 kg itu mula memasuki perkhidmatan ROKAF pada tahun 2013.
Ia adalah bom panduan jarak sederhana dengan ketepatan yang tinggi manakala sistem panduannya menggunakan GPS (Global Positioning System) dan INS (Inertial Navigation System).
Comments are closed.