Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Keseluruhan Pembinaan Kapal LCS Capai Tahap Kemajuan 72.43 Peratus, Ujian Laut LCS 1 Disember Ini

Pencapaian ini merupakan indikator paling jelas bahawa projek mega pertahanan bernilai RM11 bilion yang suatu ketika dahulu hampir dianggap gagal ini, kini kembali berada di landasan yang kukuh selepas bertahun-tahun terhenti akibat kelewatan teknikal, pertikaian politik dan isu tadbir urus.

0 8,651
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Program Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship, LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), yang sekian lama dikaitkan dengan kontroversi dan kelewatan, kini mencapai tahap kemajuan ketara dengan keseluruhan projek pembinaan lima buah kapal mencatat kemajuan 72.43 peratus, menandakan titik perubahan penting dalam sejarah perolehan pertahanan negara.
Dalam kenyataan, Kementerian Pertahanan memaklumkan bahawa kapal kedua dalam projek ini, LCS 2, telah berjaya “downslip” (diluncurkan ke air) pada 8 Mei lalu dan kini sedang melalui fasa kerja pemasangan serta integrasi sistem, dengan fasa “Setting to Work” (STW) dijangka bermula pada September 2025.
Sebelum itu, kapal pertama LCS 1 telah diluncurkan ke air pada 23 Mei 2024 seperti dijadualkan dan telah pun memulakan fasa STW pada Mei 2025, meletakkannya di landasan untuk menjalani ujian pelayaran laut pertamanya pada Disember 2025 — ujian penting yang akan menilai keupayaan sistem tempur dan propulsi kapal secara menyeluruh.
Pencapaian ini merupakan indikator paling jelas bahawa projek mega pertahanan bernilai RM11 bilion yang suatu ketika dahulu hampir dianggap gagal ini, kini kembali berada di landasan yang kukuh selepas bertahun-tahun terhenti akibat kelewatan teknikal, pertikaian politik dan isu tadbir urus.
Menurut kementerian, pembinaan LCS 3, LCS 4 dan LCS 5 berjalan seperti yang dirancang, dengan LCS 3 dijadualkan siap pada tahun 2027 dan setiap kapal seterusnya diserahkan pada selang lapan bulan, dengan kapal terakhir, LCS 5, dijangka siap sepenuhnya menjelang 2029.
“Pemantauan rapi oleh kementerian bersama pihak berkepentingan termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara akan diteruskan,” menurut kenyataan itu.
Projek LCS — berasaskan reka bentuk korvet kelas Gowind yang dibangunkan oleh Naval Group dari Perancis — merupakan komponen utama kepada Pelan Transformasi 15-ke-5 TLDM, yang bertujuan merasionalisasikan struktur armada kepada lima kelas utama untuk keberkesanan dan kecekapan operasi jangka panjang.
LCS
Kapal LCS 1 “Maharaja Lela”
Setiap kapal LCS bakal dilengkapi dengan sistem senjata berteknologi tinggi termasuk radar moden, meriam kapal, peluru berpandu anti-kapal, keupayaan peperangan anti-kapal selam (ASW), dan sistem pengurusan tempur terintegrasi, menjadikannya tulang belakang kepada armada permukaan masa depan TLDM.
Keperluan mendesak untuk mengoperasikan kapal-kapal ini semakin kritikal memandangkan peningkatan cabaran keselamatan maritim di Laut China Selatan, khususnya melalui operasi kelabu oleh kuasa besar yang semakin kerap menguji kedaulatan negara-negara ASEAN.
Pada Mac lalu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan bahawa projek ini mengalami kelewatan kecil sebanyak 1.68 peratus, disebabkan oleh isu melibatkan penghantaran komponen oleh pengeluar peralatan asal (OEM) dari luar negara.
Namun begitu, kerajaan tetap berpuas hati dengan kadar kemajuan terkini memandangkan tekanan awam dan siasatan terdahulu yang mendedahkan kelemahan dalam pengurusan perolehan, peningkatan kos, dan kelewatan penyerahan.
Projek ini asalnya dianugerahkan kepada Boustead Naval Shipyard (BNS) pada tahun 2011 dengan sasaran kapal pertama diserahkan pada 2019, namun tiada satu pun kapal disiapkan seperti dijadualkan, mengundang kritikan keras daripada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan Laporan Ketua Audit Negara.
Susulan tekanan awam dan siasatan Parlimen, kerajaan bertindak merombak sepenuhnya struktur projek pada tahun 2022 dengan memperkenalkan model tadbir urus baharu, meningkatkan ketelusan fiskal, dan mewujudkan pelan hala tuju yang dipantau secara suku tahunan oleh Jawatankuasa Pemantauan LUNAS.
LCS
LCS 1 “Maharaja Lela”
LCS
(Anwar Ibrahim FB)
Kebangkitan semula projek LCS ini bukan sekadar usaha mengembalikan kredibiliti industri pertahanan negara, tetapi satu keperluan strategik penting dalam usaha Malaysia memperkukuh keupayaan maritimnya dalam persekitaran Indo-Pasifik yang semakin mencabar dan penuh persaingan.
Dengan ujian pelayaran pertama dijadualkan pada Disember 2025 dan pelan penyerahan yang kini lebih realistik, projek LCS bukan lagi dilihat sebagai projek “gagal”, tetapi berpotensi menjadi tulang belakang kepada keupayaan unjuran kuasa laut masa depan TLDM di laluan perairan strategik rantau ini.
Walaupun cabaran besar masih wujud—termasuk pergantungan kepada pembekal luar negara dan kawalan mutu dalam fasa integrasi sistem—keupayaan Malaysia untuk meneruskan projek kompleks ini bakal menentukan tahap keupayaan maritim dan kedaulatannya pada masa akan datang.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyatakan keyakinannya bahawa projek LCS TLDM dapat disiapkan mengikut jadual, sambil menegaskan komitmen kerajaan untuk menegakkan integriti dan tadbir urus sepanjang pelaksanaannya.
Semasa lawatan rasminya ke Perak pagi tadi, Anwar menyifatkan projek LCS sebagai pencapaian bersejarah bagi industri pertahanan negara, yang dibangunkan sepenuhnya oleh tenaga kerja tempatan tanpa bergantung kepada pembinaan akhir oleh syarikat luar.
“Projek ini merupakan kejayaan bersejarah, dibina sepenuhnya daripada keupayaan dan kepakaran tempatan,” kata Perdana Menteri menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi beliau.
LCS
 LCS 1 “Maharaja Lela” 
LCS“Saya amat yakin bahawa dengan komitmen padu TLDM dan pihak pembina, Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (LUNAS), projek ini dapat disiapkan dengan jayanya sekali gus meletakkan kedaulatan perairan negara kita pada tahap yang cemerlang dan membanggakan,” tambah beliau.
Terdahulu, Perdana Menteri diberi taklimat terperinci mengenai kemajuan semasa projek LCS sebelum melawat kapal pertama LCS1 yang kini sedang melalui fasa pengujian dan integrasi sistem di limbungan.
Walaupun dibayangi kontroversi pada peringkat awal, konfigurasi persenjataan LCS menunjukkan hasrat jelas kerajaan untuk memperlengkapkan armada TLDM dengan kapal tempur permukaan moden yang mampu menangani pelbagai ancaman di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia dan kawasan sekitarnya.
Memandangkan persekitaran strategik Laut China Selatan yang semakin tegang akibat pencerobohan zon kelabu dan kehadiran kuasa besar, pelaksanaan penuh armada LCS dengan pakej persenjataan canggih adalah amat penting dalam memastikan kedaulatan maritim Malaysia terus dipertahankan.
Sekiranya dapat diserahkan dan dioperasikan seperti yang dirancang, kapal-kapal LCS ini bakal menjadi tulang belakang utama armada permukaan TLDM serta aset pemukul utama negara dalam memastikan keseimbangan kuasa maritim di Asia Tenggara.
DEFENCE SECURITY ASIA

Leave a Reply