Kereta Kebal Abrams Amerika Tidak Berikan Apa-Apa Kesan Diharapkan di Ukraine
Orang kanan Presiden Amerika Syarikat Jo Biden itu berkata bahawa penilaiannya tentang prestasi "mengecewakan" kereta kebal Abrams di Ukraine adalah selari dengan kesimpulan yang dibuat oleh tentera Amerika Syarikat.
(DEFENCE SECURITY ASIA) –Penasihat Keselamatan Negara Amerika Syarikat Jake Sullivan membuat pengakuan terbuka bahawa kereta kebal Abrams yang dibekalkan oleh negara itu kepada Ukraine tidak memberikan apa-apa kesan yang diharapkan di medan peperangan.
Orang kanan Presiden Amerika Syarikat Jo Biden itu berkata bahawa penilaiannya tentang prestasi “mengecewakan” kereta kebal Abrams di Ukraine adalah selari dengan kesimpulan yang dibuat oleh tentera Amerika Syarikat.
“Mengenai kereta kebal Abrams, kami telah menghantar kereta kebal Abrams ke Ukraine. Namun, unit-unit kereta kebal Abrams itu sebenarnya kurang berkesan (di medan peperangan) kerana ia bukan peralatan yang paling berguna untuk mereka (tentera Ukraine) dalam peperangan ini,” kata Sullivan.
Kereta kebal buatan Amerika itu terbukti mempunyai kegunaan yang terhad dalam situasi peperangan dengan Rusia apabila banyak daripada kereta kebal yang dibekalkan oleh Washington itu telah dimusnahkan oleh anggota tentera Russia.
Sebahagian daripada kereta kebal Abrams berjaya ditawan oleh tentera Russia dan dihantar ke Moscow untuk dipamerkan sebagai trofi perang (war trophy) daripada Ukraine.
Sebelum ini pegawai-pegawai tentera Ukraine melaporkan bahawa kereta kebal Abrams yang dihantar ke Ukraine tidak dilengkapi dengan perisai Depleted Uranium dan sistem kombat serta komunikasi yang moden.
RINGKASAN:
Kereta kebal M1A1 Abrams buatan Amerika Syarikat, yang dihantar ke Ukraine untuk memperkuat pertahanan negara itu, didapati kurang berkesan dalam konflik dengan Rusia. Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan, mengakui bahawa prestasi kereta kebal tersebut di medan perang adalah terhad, sejajar dengan penilaian tentera Amerika. Sebahagian daripadanya telah dimusnahkan atau ditawan oleh tentera Rusia, sementara ada yang tidak berfungsi semasa penghantaran.
Pegawai Ukraine melaporkan bahawa kereta kebal ini dihantar tanpa perisai Depleted Uranium dan sistem moden, menjadikannya lebih mudah terdedah kepada serangan, terutamanya dari dron dan peluru berpandu anti-kereta kebal. Serangan dari atas, seperti yang sering digunakan oleh Rusia, didapati menjadi kelemahan utama kereta kebal Abrams.
Laporan menyebut bahawa 20 daripada 31 kereta kebal Abrams telah dimusnahkan dalam masa enam bulan pertama selepas digunakan. Akibatnya, Ukraine, atas desakan Washington, telah menarik balik kereta kebal ini dari medan pertempuran sementara taktik baru dirancang bersama Amerika Syarikat.
Kereta kebal Abrams, walaupun terkenal dengan keupayaan bertahan terhadap tembakan langsung, didapati tidak sesuai untuk menghadapi realiti peperangan moden di Ukraine, di mana ancaman serangan udara dan dron sangat dominan.