Kerajaan India Dikritik Hebat Pembangkang Disebabkan Tawaran Penjualan F-35 oleh Amerika Syarikat
Tawaran penjualan pesawat pejuang F-35 kepada India itu berlaku ketika pihak Russia turut sama menawarkan bukan sahaja pesawat pejuang generasi kelimanya, Su-57 Felon kepada India, tetapi juga pembuatan bersama (joint production) pesawat pejuang itu di negara Asia Selatan itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pihak parti pembangkang India telah mengkritik hebat tawaran penjualan pesawat pejuang generasi kelima F-35 Lightning II kepada India, dengan menyatakan bahawa kos pesawat pejuang buatan Amerika Syarikat itu adalah terlalu tinggi dan kerap menghadapi masalah.
Tawaran penjualan pesawat pejuang F-35 kepada India itu berlaku ketika pihak Russia turut sama menawarkan bukan sahaja pesawat pejuang generasi kelimanya, Su-57 Felon kepada India, tetapi juga pembuatan bersama (joint production) pesawat pejuang itu di negara Asia Selatan itu.
Tawaran penjualan pesawat-pesawat pejuang generasi kelima daripada Amerika Syarikat dan Russia itu muncul ketika bilangan skuadron pesawat pejuang Tentera Udara India berkurangan daripada 42 kepada 31 buah.
Ketika berkunjung ke Rumah Putih baru-baru ini, Perdana Menteri India Narendra Modi telah ditawarkan pesawat pejuang F-35 oleh Presiden Donald Trump.
Presiden Amerika Syarikat itu menyatakan bahawa negaranya akan menawarkan pesawat pejuang F-35 kepada India sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas untuk meningkatkan eksport senjata ke negara itu.
“Kami akan meningkatkan penjualan peralatan ketenteraan kepada India dengan nilai berbilion-bilion dolar. Kami juga sedang membuka jalan untuk akhirnya membekalkan pesawat pejuang siluman F-35 kepada India,” katanya.

India kini berusaha mendapatkan lebih banyak pesawat pejuang bagi menyaingi China dan musuh tradisinya, Pakistan yang giat memperkukuhkan tentera udaranya dengan pesawat-pesawat pejuang generasi kelima seperti J-20 Mighty Dragon dan J-35A.
Tentera Udara Pakistan juga dilaporkan berminat untuk mendapatkan pesawat pejuang generasi kelima buatan Turkiye, KAAN.
Parti Kongres yang merupakan parti pembangkang utama India menggunakan kritikan yang dilontarkan oleh sekutu Trump dan billionair Elon Musk terhadap pesawat pejuang F-35 untuk menyerang kerajaan Narendra Modi.
“Mengapa Narendra Modi begitu bertegas mahu membeli pesawat pejuang F-35, yang pernah digelar ‘sampah’ oleh Elon Musk?” soal satu hantaran di akaun rasmi X Kongres hujung minggu ini, sambil menegaskan bahawa pesawat itu mahal dan mempunyai kos operasi yang tinggi.
Kenyataan oleh parti Kongres itu merujuk kepada satu kiriman oleh Elon Musk di platform X pada November 2024, di mana beliau berkongsi video tentang dron dan menulis kapsyen: “Sementara itu, ada yang masih membina pesawat pejuang berpemandu seperti F-35.”
Musk kemudian menyatakan dalam satu lagi hantaran di X: “Pesawat pejuang berpemandu sudah lapuk dalam era dron.”
Semasa pameran aeroangkasa Aero India 2025 yang berlangsung baru-baru ini, Rosoboronexport, syarikat milik negara Russia yang mengendalikan eksport pertahanan, telah menawarkan kerjasama dengan India dalam program pesawat pejuang generasi kelima Rusia (FGFA), Su-57E.

Ketua Pengarah Rosoboronexport, Alexander Mikheev menyatakan bahawa India telah ditawarkan kerjasama menyeluruh dalam projek Su-57E (varian export), termasuk pengeluaran tempatan.
“Tawaran kami merangkumi pembekalan pesawat yang telah siap dipasang, penyusunan pengeluaran bersama di India, serta sokongan dalam pembangunan pesawat pejuang generasi kelima India,” kata Mikheev seperti yang dipetik oleh Sputnik India.
Tawaran itu dibuat ketika Russia mempergiat usaha mempromosikan Su-57 untuk pasaran eksport, dengan syarikat pertahanan milik kerajaan, Rostec, mendakwa permintaan global terhadap pesawat itu semakin meningkat.
Sementara itu, penganalisis pertahanan India, Tathagata Bhattacharya, yang juga merupakan kolumnis di portal berita Times of India, menyatakan laporan tahunan Pengarah Ujian dan Penilaian Operasi (DOT&E) – penasihat utama kepada Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat – yang dikeluarkan pada awal 2024 mendedahkan bahawa 628 pesawat F-35 dalam perkhidmatan Tentera Udara AS (USAF) hanya mencatat kadar kesiapsiagaan penuh untuk misi sebanyak 30 peratus setakat akhir 2023.
Sebagai perbandingan, kadar kesiapsiagaan penuh yang dianggap sebagai penanda aras bagi mana-mana angkatan udara yang berwibawa adalah sekurang-kurangnya 65 peratus.
Laporan itu juga mendapati bahawa pesawat F-35 kerap mengalami kerosakan, dengan tempoh pembaikan mengambil purata 141 hari sebelum pesawat dapat kembali beroperasi.
Kadar kegagalan kritikal – yang menyebabkan pesawat tidak dapat diterbangkan bagi mengelakkan risiko keselamatan kepada juruterbang – adalah lebih daripada dua kali ganda berbanding jangkaan.
