Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kementerian Pertahanan Malaysia Peruntuk RM12 Billion Untuk Perolehan Aset-Aset Tahun Ini

Kementerian Pertahanan Malaysia memperuntukkan sebanyak RM12 bilion kepada Angkatan Tentera Malaysia untuk perolehan aset bagi meningkatkan keupayaan pertahanan negara pada tahun ini.

0 799
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kementerian Pertahanan Malaysia memperuntukkan sebanyak RM12 bilion kepada Angkatan Tentera Malaysia untuk perolehan aset bagi meningkatkan keupayaan pertahanan negara pada tahun ini.
Sebagaimana dipetik berkata oleh Bernama hari ini, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata antara perolehan aset utama yang telah diluluskan tahun ini termasuk meriam 105mm,  peluru berpandu permukaan-ke-permukaan (SSM) untuk kegunaan kapal friget KD Jebat dan tiga unit Medium Altitude Long Endurance Unmanned Aerial System (MALE UAS).
Tiga unit MALE UAS itu merujuk kepada perolehan dron ANKA daripada Turkish Aerospace Industries (TAI).
Malaysia menjadi negara pertama di rantau ini menggunakan UAS MALE ANKA yang telah teruji dalam pertempuran, apabila Kementerian Pertahanan dan TAI menandatangani kontrak untuk memperoleh platform UAS ANKA dan peralatan sokongan pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA 2023).
Malaysia dilaporkan bakal menempatkan dron buatan Turkiye itu di pangkalan udara strategik di Labuan untuk memantau sebarang pencerobohan ke perairan negara di Laut China Selatan.
Boran
Meriam 105mm “Boran” keluaran syarikat MKE daripada Turkiye.
Malaysia dipercayai memilih varian “Anka-S” yang berupaya terbang selama 24 hingga 30 jam tanpa henti, pada ketinggian 30,000 kaki dan membawa muatan antara 250 hingga 350 kilogram.
Mohamed Khaled berkata Kementerian Pertahanan akan memastikan pembinaan aset penting pertahanan lain mencapai kemajuan sebagaimana dijadualkan.
Ini termasuklah seperti kapal Littoral Combat Ship yang pertama (LCS 1) yang kini mencapai 96.52 peratus siap dan sudah memulakan Ujian Penerimaan Pelabuhan (HAT) dan Ujian Penerimaan Laut (SAT).
“Kapal Littoral Combat Ship kedua iaitu LCS2 juga sudah diturunkan ke air dan sedang menjalani ketetapan kerja, manakala LCS3 pula sedang dalam persiapan akhir untuk diturunkan ke air dirancang pada Januari 2026.
“Bagi pembinaan kapal kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch Kedua pula, kemajuan kerja bagi ketiga-tiga kapal berkenaan dijangka mencapai 13.8 peratus secara keseluruhan pada Jun 2025,” katanya.
Menteri Pertahanan bercakap mengenai perkara itu ketika berucap pada Majlis Perutusan Tahun Baharu 2025 Menteri Pertahanan di Wisma Perwira di sini, hari ini.
LCS
Kapal LCS pertama “Maharaja Lela”
Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali.
Mohamed Khaled berkata pembinaan pesawat pejuang ringan (LCA/FLIT) FA-50M (Block 20) diperoleh daripada syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) telah mencapai status kemajuan 48 peratus, dengan dua pesawat pertama akan diterima negara pada Oktober 2026.
Kementerian Pertahanan menandatangani kontrak perolehan 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50M bernilai kira-kira RM4 billion pada tahun 2023.
Mohamed Khaled berkata Kementerian Pertahanan bakal menerima dua buah Pesawat Peronda Maritim (MPA) untuk tujuan pengawasan kawasan maritim negara pada Jun dan September 2026.
 Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khanmenyatakan bahawa negara dijangka mula menerima pesawat peronda maritim ATR72 MPA pada tahun 2026 bagi mengukuhkan lagi pengawasan kawasan maritim negara terutamanya di Laut China Selatan.
Kementerian Pertahanan dan syarikat Leonardo, syarikat pembina pesawat ATR72 MPA menandatangani perjanjian perolehan dua buah pesawat itu dianggar melebihi RM700 juta ketika pameran LIMA 2023 di Langkawi pada Mei lalu.
FA-50
FA-50
ATR 72
Pesawat peronda maritim ATR-72.
Dipromosikan sebagai pesawat dengan kos operasi yang rendah, ATR 72MP adalah platform peronda maritim berkeupayaan tinggi yang boleh melaksanakan misi peperangan anti-kapal selam (ASuW), peperangan anti-permukaan (ASW) serta misi-misi perisikan elektronik (ELINT).
Untuk misi-misi ELINT, ASW dan ASuW, pesawat peronda maritime itu dilengkapi dengan peralatan dan sub-sistem pilihan termasuk Defensive Aids Sub-System (DASS) bagi membolehkannya beroperasi di kawasan musuh, sistem untuk menyimpan dan melancar sonobuoys dan akustik subsistem.
Mohamed Khaled berkata perancangan meningkatkan keupayaan aset ATM merupakan antara 10 fokus utama yang digariskan dalam perancangan 2025 Kementerian Pertahanan, dalam memastikan sistem pertahanan negara mencapai keperluan dan cabaran semasa. — DSA
Leave A Reply

Your email address will not be published.