“Kemankes”, Peluru Berpandu Kruis Turkiye Dengan Artificial Intelligence (AI)
Apa yang menarik tentang peluru berpandu kruis pintar "Kemankes" itu adalah perisian Artificial Intelligence (AI) yang membantu peluru berpandu itu beroperasi secara otonomi menggunakan sistem auto-pilot, bermakna ia tidak memerlukan campurtangan manusia untuk membetulkan trajektori dan laluannya apabila ia berada di udara.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat pembuat dron Turkiye, Baykar Tech telah membangunkan peluru berpandu kruis pintar/dron kamikaze dengan kemampuan Artificial Intelligence (AI) dipanggil “Kemankes” yang akan digunakan oleh dron UCAV — Bayraktar TB2, Bayraktar TB3 dan Akinci.
Ketiga-tiga UCAV (Unmanned Combat Aerial Vehicle) itu dibangunkan oleh syarikat Baykar Tech.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Baykar Tech, Haluk Bayraktar, peluru berpandu kruis pintar seberat 30kg yang dilengkapi dengan kemampuan Artificial Intelligence (AI) itu berkemampuan terbang selaju 0.7 Mach dan membedil sasaran lebih daripada 200km jauhnya.
“Kemankes” akan menambah pilihan peluru berpandu yang mampu dibawa oleh UCAV keluaran syarikat itu yang sebelum ini membawa peluru berpandu MAM-T, MAM-L, MAM-C, Bozok dan L-UMTAS.
Peluru berpandu kruis pintar itu yang dibangunkan sepenuhnya oleh syarikat Baykar tanpa sebarang bantuan atau kerjasama teknologi daripada negara luar.
“Daripada enjinnya kepada sistem kamera yang distabilkan kepada perisian Artificial Intelligence dan rekabentuk sistem itu (Kemankes) adalah hasil usaha dalam negara dan asli,” menurut syarikat Turkiye itu.
Syarikat Baykar kini meninjau peluang untuk mengeksport “Kemankes” kepada pelanggan luar terutamanya angkatan-angkatan tentera yang telah pun menggunakan dron keluaran syarikat itu.
Menurut syarikat itu lagi, peluru berpandu kruis pintar direkabentuk untuk membedil sasaran-sasaran strategik.
Bagaimanapun apa yang menarik adalah perisian Artificial Intelligence yang membantu “Kemankes” beroperasi secara otonomi menggunakan sistem auto-pilot.
Ini bermakna peluru berpandu itu tidak memerlukan campurtangan manusia untuk membetulkan trajektori dan laluannya apabila ia berada di udara.
“Sistem panduan optikal AI memberikan ia kemampuan untuk mengenalpasti dan membedil sasaran dengan kadar ketepatan yang tinggi walaupun berada di dalam keadaan persekitaran yang sukar,” menurut syarikat itu.
Peluru berpandu kruis pintar “Kemankes” itu mempunyai kemampuan untuk membezakan sasaran sama ada di antara kereta kebal atau pusat pemerintahan dan tidak akan membedil bangunan berdekatan jika ia akan menyebabkan kemusnahan kolateral (collateral damage).
Penerbangan peluru berpandu kruis pintar itu juga dilindungi daripada usaha-usaha pemintasan alatan peperangan elektronik (EW),memandangkan “Kemankes” itu dikawal oleh jaringan radio atau satellite daripada stesen daratannya (ground station). — DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE SECURITY ASIA
Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com