Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kemajuan Pembinaan FA-50M TUDM di Korea Selatan Lebihi 50 Peratus, Lebih Cepat Dari Jadual Asal

Sumber industri memberitahu Defence Security Asia bahawa kemajuan terkini pembinaan pesawat pejuang ringan FA-50M milik TUDM itu adalah lebih cepat daripada jadual asal, menggambarkan keberkesanan program pembinaannya oleh syarikat KAI.

0 9,147
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pembinaan pesawat-pesawat pejuang ringan FA-50M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) oleh syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) berjalan lancar, dengan Defence Security Asia diberitahu kemajuan pembinaan pesawat pejuang itu telah melebihi 50 peratus.
Sumber industri memberitahu Defence Security Asia bahawa kemajuan terkini pembinaan pesawat pejuang ringan FA-50M milik TUDM itu adalah lebih cepat daripada jadual asal, menggambarkan keberkesanan program pembinaannya oleh syarikat KAI.
“Progress program pembinaan pesawat-pesawat pejuang ringan FA-50M milik TUDM telah pun melebihi 50 peratus. Ia (kemajuan pembinaan) itu adalah melebihi daripada jadual asal kontrak,” menurut sumber itu.
Defence Security Asia juga dimaklumkan bahawa Panglima TUDM dan delegasi pegawai kanannya sedang berada di Korea Selatan pada ketika ini.
Ketika Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melawat Korea Selatan pada Sept tahun lepas dan meninjau kemudahan KAI di Sacheon, beliau berkata bahawa kemajuan pembinaan pesawat FA-50M itu telah pun mencecah 39 peratus.
“Saya berpeluang melihat demonstrasi produk pertahanan, fasiliti pembuatan serta mendengar sendiri kemajuan pembinaan pesawat FA-50M. Alhamdulillah, kesemuanya dalam keadaan baik, mengikut jadual dan kini 39 peratus siap.”
“Perolehan ini nescaya membolehkan kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ditingkatkan,” kata beliau menerusi posting di dalam akaun Facebook miliknya itu.
KAI
(Kredit FB Mohamed Khaled Nordin)
TUDM dijangka menerima kumpulan pertama empat buah pesawat FA-50M pada bulan Oktober 2026.
Pesawat-pesawat FA-50M selebihnya akan diterima oleh TUDM secara berperingkat selepas itu dengan pesawat terakhir dijangka diterima pada tahun 2028.
Sumber industri juga memberitahu Defence Security Asia sebelum ini bahawa  buat masa ini kesemua 18 buah pesawat pejuang ringan itu akan beroperasi daripada Pangkalan TUDM Kuantan.
Ketika melawat Korea Selatan pada November tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan proses penghantaran 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50M yang diperolehi Malaysia daripada Korea Selatan itu dipercepatkan.
Beliau mahukan proses penghantaran pesawat pesawat pejuang ringan milik TUDM yang dibangunkan oleh KAI itu disegerakan.
“Kita meminta disegerakan (proses) pembelian yang beberapa tahun lalu diputuskan (iaitu) 18 unit pesawat FA-50M, yang sepatutnya sampai pada 2026.
“Kalau boleh dipercepatkan,” kata Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Kewangan tetapi tidak menjelaskan dengan lanjut tempoh sepatutnya Malaysia menerima pesawat pejuang ringan itu.
KAI
(Kredit FB Mohamed Khaled Nordin)
Kementerian Pertahanan Malaysia dan KAI menandatangani kontrak bernilai RM4 billion ketika LIMA 2023 untuk memperolehi 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50M (FA-50 Block 20).
 Pesawat pejuang ringan FA-50M milik TUDM ialah varian FA-50M yang paling moden dan berkeupayaan, berbanding dengan varian lain yang diperoleh negara lain termasuk Korea Selatan dan beberapa negara di Asia Tenggara.
Hanya varian pesawat pejuang ringan FA-50PL milik Poland adalah hampir sama dengan apa yang dimiliki oleh TUDM.
Ditemu ramah oleh Bernama di Pulau Langkawi ketika LIMA 2023, Ketua Pegawai Eksekutif KAI Kang Goo-Young berkata varian FA-50M yang diperoleh Malaysia adalah lebih canggih dan berkeupayaan jika dibandingkan dengan varian FA-50 yang dioperasikan oleh Tentera Udara Republik Korea (ROKAF).
Sumber memberitahu Defence Security Asia sebelum ini bahawa latihan juruterbang akan bermula pada awal tahun 2026 melibatkan enam orang juruterbang untuk tempoh di antara tiga hingga enam bulan.
Ia akan meliputi dengan latihan menggunakan simulator.
Latihan itu akan dilaksanakan di sebuah pangkalan udara Tentera Udara Korea Selatan (ROKAF) di Gwangju, negara Asia Timur itu.
FA-50
FA-50
“Latihan intensif itu akan menggunakan pesawat latihan lanjutan T-50 Golden Eagle yang dibangunkan secara bersama di antara KAI dan Lockheed Martin dari Amerika Syarikat.
“Hanya selepas latihan menggunakan pesawat latihan lanjutan T-50 Golden Eagle itu, mereka (juruterbang TUDM) akan beralih untuk mengendalikan pesawat pejuang ringan FA-50M sebenar,” kata sumber itu.
Antara perbezaan utama varian FA-50M milik Malaysia dengan varian FA-50 milik tentera-tentera udara negara lain adalah — pesawat pejuang ringan milik TUDM dan Tentera Udara Poland itu dilaporkan bakal dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) “PhantomStrike” dan pelbagai komponen elektronik terkini serta peralatan mengisi minyak di udara.
Radar AESA PhantomStrike itu dibangunkan oleh firma pertahanan Amerika Syarikat, RTX.
Mengenai radar AESA yang menjadi pilihan pesawat pejuang ringan FA-50M TUDM itu, radar AESA PhantomStrike adalah memiliki kriteria Low Size, Weight and Power (SWaP).
Radar AESA itu direka untuk diintegrasikan kepada pelbagai platform termasuk pesawat pejuang ringan, pesawat berkepak, sistem pesawat tanpa pemandu dan menara-menara bagi memberikan kemampuan pengesanan dan penjejakan ancaman jarak jauh.
Radar AESA PhantomStrike menggunakan kuasa gallium nitride (GaN), digital beamforming dan steering, digital receiver/exciter, processor dipanggil Chirp yang telah dibangunkan oleh Raytheon Missiles & Defense.
FA-50
Pesawat pejuang FA-50 milik Tentera Udara Republik Korea (ROKAF)
RTX mendakwa bahawa radar AESA PhantomStrike memberikan keupayaan tinggi kepada penggunanya bagi membolehkan mereka tahap kesedaran yang tinggi terhadap apa yang berlaku di medan peperangan pada sebahagian daripada kos sistem radar tradisional.
Varian FA-50M yang bakal dimiliki oleh TUDM itu juga akan dilengkapi dengan kemampuan untuk melancarkan peluru berpandu dan bom berketepatan tinggi.
Pesawat FA-50M milik Malaysia juga akan dilengkapi dengan pod sasaran Sniper Advanced Targeting Pod (ATP) yang dibangunkan oleh firma pertahanan Amerika Syarikat, Lockheed Martin.
Pod sasaran Sniper ATP seberat kira-kira 200kg itu memberikan penggunanya kemampuan yang telah dinaiktaraf untuk mengesan dan mengenalpasti sasaran serta pengawasan berterusan untuk semua misi dilaksanakan termasuk bantuan rapat untuk pasukan-pasukan darat.
— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Leave A Reply

Your email address will not be published.