Kehadiran Sistem S-400 Milik Turkiye di Syria Bakal Jadi “Perangkap” Kepada Pesawat Pejuang Israel ??
Sistem pertahanan udara jarak jauh S-400 bersama-sama sistem pertahanan udara jarak dekat dan sederhana oleh Turkiye di Syria itu akan bertindak sebagai “payung”, yang melindungi Syria daripada serangan udara pihak Israel.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Penganalisa Russia mendakwa cadangan pihak tentera Turkiye untuk memindahkan sistem pertahanan udara jarak jauh buatan Russia, S-400 Triumf ke Syria merupakan “suatu perangkap” kepada pesawat-pesawat pejuang Israel yang semakin galak melakukan serangan udara terhadap negara Arab itu.
Sistem pertahanan udara jarak jauh S-400 bersama-sama sistem pertahanan udara jarak dekat dan sederhana oleh Turkiye di Syria itu akan bertindak sebagai “payung”, yang melindungi Syria daripada serangan udara pihak Israel.
Penganalisa Russia itu, Igor Subbotin yang menulis dalam portal berita, Nezavizimaya Gazeta berkata bahawa Turkiye bercadang memindahkan sistem pertahanan udara jarak jauh S-400 itu ke sebuah pangkalan udara yang terletak di wilayah Homs.
Pangkalan udara di wilayah Homs yang dimaksudkan dan sebagaimana dispekulasikan adalah T-4 atau Pangkalan Udara Tiyas yang merupakan pangkalan udara terbesar pernah dioperasikan oleh Tentera Udara Syria ketika pemerintahan rejim Assad sebelum ini.
Bukan sahaja ia digunakan oleh Tentera Udara Syria dibawah rejim Assad, tetapi Pangkalan Udara T-4 itu turut digunakan oleh cabang tentera Iran dalam melancarkan serangan terhadap kedudukan kumpulan pengganas ISIS di Syria.
Ia terletak di utara Tiyas dan di barat kota purba, Palmyra.
Pada tahun-tahun 1970-an dan 1980-an, Pangkalan Udara T-4 (Tiyas) juga pernah digunakan oleh pesawat-pesawat pejuang Russia.

Media-media antarabangsa menyatakan bahawa Turkiye bercadang menjadikan Pangkalan Udara T-4 itiu sebagai hab pertahanan udara dengan penempatan beberapa sistem pertahanan udara, bertujuan menyediakan lapisan dan jaringan pertahanan udara bagi melindungi kerajaan baru Syria daripada pencerobohan pesawat-pesawat pejuang Israel.
Sistem pertahanan udara S-400 “Triumf” terdiri daripada beberapa komponen utama yang berfungsi secara bersepadu bagi memastikan keberkesanannya dalam menghadapi ancaman udara.
Komponen ini termasuk radar pengawasan utama (91N6E “Big Bird”) yang mampu mengesan pelbagai jenis sasaran udara pada jarak sehingga 600 kilometer.
Radar kawalan tembakan (92N6E “Grave Stone”) pula berperanan mengunci sasaran serta mengendalikan proses pemintasan secara tepat.
Turut melengkapkan sistem ialah radar pengesanan awal dan penjejakan (96L6E “Cheese Board”) yang berfungsi pada jarak sederhana sekitar 300 kilometer bagi meningkatkan ketepatan pengesanan.
Sistem ini juga dilengkapi kenderaan pelancar mudah alih (TEL) yang membawa peluru berpandu sedia lancar, serta pusat kawalan dan komando (55K6E) yang menyelaras operasi keseluruhan secara automatik.

Peluru berpandu digunakan pula terdiri daripada beberapa varian utama dengan jarak capaian berbeza, antaranya 40N6 (400 km), 48N6 (250 km), dan 9M96 (40–120 km).
Kesemua elemen ini menjadikan S-400 sebagai antara sistem pertahanan udara tercanggih dan efektif, mampu beroperasi dalam semua keadaan cuaca dan menangkis pelbagai jenis ancaman udara secara serentak.
Sistem pertahanan udara S-400 “Triumf” dibangunkan oleh syarikat Rusia Almaz-Antey, sebuah firma pertahanan yang pakar dalam pembangunan sistem pertahanan udara dan aeroangkasa canggih.
Almaz-Antey juga bertanggungjawab menghasilkan sistem pertahanan udara terkenal lain seperti S-300 dan S-500 Prometey.
Syarikat ini merupakan antara pengeluar sistem pertahanan udara terkemuka di dunia, dengan kepakaran tinggi dalam teknologi radar dan peluru berpandu.
Perolehan sistem pertahanan udara S-400 oleh Turkiye merupakan langkah strategik yang mencerminkan perubahan dalam dasar pertahanan dan hubungan antarabangsa negara tersebut. Pada Disember 2017, Turkiye menandatangani perjanjian bernilai sekitar US$2.5 billion (RM11 billion) dengan Russia untuk memperoleh sistem S-400 “Triumf”.

Langkah ini diambil setelah kegagalan rundingan dengan Amerika Syarikat mengenai pembelian sistem pertahanan udara Patriot, serta keperluan mendesak Turkiye untuk meningkatkan keupayaan pertahanan udaranya, terutama menghadapi ancaman dari konflik di Syria dan ketegangan dengan Russia.
Keputusan Turkiye ini menimbulkan ketegangan dengan Amerika Syarikat dan NATO, yang melihat pembelian S-400 Triumf sebagai ancaman dan integriti sistem pertahanan udara pakatan tentera itu, kerana sistem pertahanan udara buatan Russia itu tidak serasi dengan sistem pertahanan NATO dan berpotensi menyebabkan kebocoran maklumat sensitif.
Sebagai tindak balas, Amerika Syarikat mengeluarkan Turkiye dari program pesawat pejuang generasi kelima F-35 pada Julai 2019 dan mengenakan sekatan ekonomi melalui Akta CAATSA pada Disember 2020.
CAATSA (Countering America’s Adversaries Through Sanctions Act) ialah undang-undang yang diluluskan oleh Kongres Amerika Syarikat pada tahun 2017 bagi mengenakan sekatan terhadap negara-negara yang menjalinkan hubungan pertahanan dan ketenteraan dengan Rusia, Iran dan Korea Utara.
Tujuan utama CAATSA adalah untuk menghalang negara-negara daripada berurusan dengan sektor pertahanan Russia, sekali gus memberi tekanan ekonomi kepada Moscow dan sekutunya.

Namun, tindakan ini juga meningkatkan ketegangan diplomatik antara Amerika Syarikat dengan negara-negara sekutunya, seperti Turkiye.
Walaupun menghadapi tekanan antarabangsa, Turkiye tetap meneruskan perolehan S-400, dengan penghantaran pertama diterima pada Julai 2019.
Langkah ini mencerminkan usaha Turki untuk memperkukuh kedaulatan pertahanannya dan mengurangkan kebergantungan kepada sekutu tradisional, sambil menyeimbangkan hubungan dengan kuasa besar seperti Russia.
Selain sistem pertahanan jarak jauh S-400, Turkiye juga dilaporkan akan menempatkan sistem pertahanan udara Hisar buatan tempatan — berkemungkinan Hisar-O untuk pertahanan jarak sederhana atau Hisar-A untuk pertahanan dekat— bagi melindungi Pangkalan T4 tersebut serta menguasai ruang udara di sekitarnya.
Sistem pertahanan udara HISAR itu dibangunkan oleh ROKETSAN yang menyumbang peluru berpandu itu manakala syarikat ASELSAN pula membangunkan sistem elektronik bagi sistem pertahanan itu.
Kedua-dua syarikat ini mula membangunkan sistem pertahanan udara ini sebaik sahaja dianugerah kontrak oleh kerajaan Turkiye pada 2011.

Pada 2014, peluru berpandu HISAR-O telah berjaya dilancarkan buat pertama kali.
Turkiye membangunkan sistem pertahanan udara HISAR itu dalam usahanya ntuk mewujudkan lapisan pertahanan udara (multi-layered air defence system) daripada aras rendah (HISAR-A), aras sederhana (HISAR-O) dan aras tinggi atau jarak jauh (HISAR-U).
Sistem HISAR-O ini terdiri daripada peluru berpandu jarak sederhana itu sendiri, sistem pelancar peluru berpandu, fire control system, mast-mounted air defence radar dan electro-optical serta infra red sensor.
Ia menggunakan phased array 3D radar “ASELSAN KALKAN” untuk mengesan dan menjejak sehingga 60 sasaran secara serentak.
Sasaran boleh dikesan sejauh 60km menggunakan radar sistem HISAR-O itu.
Pelancar peluru berpandu bagi sistem pertahanan udara jarak sederhana HISAR-O adalah berdasarkan kepada trak Mercedes-Benz 6×6 yang dilengkapi dengan enam butir peluru berpandu jarak sederhana itu.
