Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

India Sasar Malaysia, Vietnam Pelanggan Berpotensi Peluru Berpandu “Astra MK1”

India mensasarkan negara-negara yang menggunakan pesawat-pesawat pejuang buatan Russia seperti Malaysia yang mengoperasikan 18 buah pesawat Su-30MKM dan Vietnam yang mengoperasikan 32 buah pesawat pejuang Su-30MK2 sebagai pelanggan berpotensi untuk peluru berpandu udara-ke-udara Astra MK1 keluarannya.

0 4,161

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Baru-baru ini, Kementerian Pertahanan India telah menganugerahkan kontrak bernilai US$424 juta (RM1.7 bilion) kepada syarikat Bharat Dynamics Ltd untuk membekalkan peluru berpandu udara-ke-udara “Astra” MK1 Beyond Visual Range (BVR) kepada tentera udara negara itu.

Kontrak itu menghendaki syarikat terbabit membekalkan 400 buah peluru berpandu Astra MK1 (setiap satunya seberat 160kg) kepada Tentera Udara India dalam tempoh empat tahun.

Peluru berpandu yang dibangunkan oleh industri tempatan India akan digunakan oleh pesawat-pesawat pejuang negara itu seperti Su-30MKI, Tejas dan MiG-29K serta pesawat-pesawat pejuang lain,  sekaligus mengurangkan kebergantungannya terhadap sistem persenjataan negara luar.

Astra

Apatah lagi dengan sekatan ekonomi terhadap Russia akibat pencerobohannya di Ukraine telah menyebabkan kesukaran untuk mendapatkan alat-alat ganti tentera daripada Russia.

Apa yang dirancangkan oleh Kementerian Pertahanan India adalah ia mahu menggantikan peluru berpandu udara-ke-udara R-77 (AA-12 Adder – NATO reporting name) yang kini digunakan oleh pesawat Su-30MKI dan MiG-29K milik tentera udaranya dengan peluru berpandu Astra MK1 buatan tempatan itu.

Apa yang menariknya juga adalah, India bukan sahaja melihat peluru berpandu Astra MK1 itu digunakan oleh pesawat-pesawat tentera udaranya sahaja, tetapi ia juga bercadang mengeksport peluru berpandu udara-ke-udara ke luar negara.

India mensasarkan negara-negara yang menggunakan pesawat-pesawat pejuang buatan Russia seperti Malaysia yang mengoperasikan 18 buah pesawat Su-30MKM dan Vietnam yang mengoperasikan 32 buah pesawat pejuang Su-30MK2 sebagai pelanggan berpotensinya.

So selain pesawat FLIT/LCA Tejas, India juga berhasrat untuk menjual peluru berpandu Astra MK1 kepada Malaysia untuk digunakan oleh pesawat-pesawat Su-30MKM bagi menggantikan peluru berpandu R-77 yang sudah agak berusia, sebagaimana yang didakwa oleh media-media tempatan India.

Astra
Pesawat Su-30MKI India.

 

Adakah TUDM berminat dengan peluru berpandu udara-ke-udara Astra MK1 buatan India?

Selain Malaysia dan Vietnam, negara-negara di rantau yang menggunakan pesawat buatan Russia adalah Bangladesh,Myanmar dan Indonesia yang berpotensi untuk menjadi pelanggan kepada peluru berpandu udara-ke-udara Astra MK2 keluaran syarikat pertahanan India.

Media-media India berpendapat peluang peluru berpandu Astra MK1 untuk menggantikan R-77 itu adalah tinggi kerana selain faktor sekatan ekonomi terhadap Russia ketika ini, faktor kemampuan Astra MK1 itu sendiri tidak boleh diketepikan.

Mereka mendakwa peluru berpandu udara-ke-udara Astra MK1 yang lebih tepat dan jarak operasinya yang lebih jauh bakal memberikan pesawat-pesawat pejuang yang menggunakannya kelebihan nyata dalam pertempuran udara Beyond Visual Range.

Berbanding dengan R-77 buatan Russia yang hanya memiliki jarak effektif sejauh 80km, peluru berpandu udara-ke-udara Astra MK1 keluaran India dikatakan memiliki jarak effektif melebihi 100km.

Astra

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Dengan jarak lebih 100km itu, pesawat-pesawat pejuang yang membawa Astra MK1 sememangnya memiliki kelebihan dalam pertempuran udara BVR.

India mendakwa salah satu sebab mengapa pesawat-pesawat pejuangnya gagal menandingi pesawat pejuang Pakistan terutamanya F-16 dalam pertempuran di ruang udara Kashmir beberapa tahun yang lalu adalah kerana kelemahan peluru berpandu R-77. — DSA

Comments
Loading...