Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal Selam Scorpene India Bertembung Dengan Bot Nelayan, Dua Hilang Manakala 11 Lain Terselamat

Laporan media India mengenal pasti kapal selam yang terlibat dalam insiden pelanggaran dengan bot nelayan itu sebagai salah satu daripada enam buah kapal selam kelas Scorpene buatan Perancis, antara yang paling moden dalam armada Tentera Laut India.

836
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Salah sebuah kapal selam paling moden milik Tentera Laut India telah “bertembung” dengan bot nelayan tempatan, menyebabkan dua orang nelayan hilang sehingga kini manakala 11 yang lain berjaya diselamatkan.
Operasi mencari dan menyelamat secara besar-besaran sedang dijalankan di pesisir barat India, sejurus selepas insiden itu berlaku.
Walaupun butiran mengenai insiden ini masih terhad, Tentera Laut dan Pengawal Pantai India mengesahkan operasi mencari dan menyelamat yang turut diselaraskan oleh Pusat Penyelaras Menyelamat Maritim (Maritime Rescue Coordination Centre) Mumbai.
Dalam kenyataan ringkasnya, Tentera Laut India mengesahkan bahawa 11 kru bot nelayan tersebut telah berjaya diselamatkan, namun dua lagi dilaporkan hilang.
Enam kapal Tentera Laut India serta pesawat digunakan dalam operasi pencarian manakala aset-aset tambahan, termasuk dari Pengawal Pantai, telah dikerahkan ke kawasan tersebut untuk memperkukuh usaha pencarian.
Insiden pertembungan itu dilaporkan berlaku pada 21 November, pada waktu petang atau malam kira-kira 70 batu nautika di barat laut Goa, sebuah negeri di selatan Mumbai di pesisir barat India yang menghadap Laut Arab.

India

Dalam kenyataan itu, Tentera Laut menyatakan bahawa bot nelayan dikenalpasti dengan nama “Marthoma” telah bertembung dengan kapal selam mereka semasa ia dalam pelayaran di sepanjang pesisir barat India.
Armada kapal selam India diketahui mempunyai pangkalan berhampiran Mumbai.
Laporan media India mengenal pasti kapal selam yang terlibat dalam insiden pelanggaran dengan bot nelayan itu sebagai salah satu daripada enam buah kapal selam kelas Scorpene buatan Perancis, antara yang paling moden dalam armada Tentera Laut India.
Kapal selam diesel-elektrik itu mempunyai berat sekitar 1,600 tan dan panjang 221 kaki (67.5 meter).
Ia dibina dalam negara berdasarkan reka bentuk daripada syarikat Perancis, Naval Group, dengan kapal pertama ditugaskan pada 2017.
India baru-baru ini mengumumkan rancangan untuk membina tiga lagi kapal selam kelas ini.India
Kapal selam yang terlibat dalam insiden tersebut belum dikenal pasti secara rasmi, tetapi menurut laporan media, ia hanya mengalami kerosakan kecil dan meneruskan pelayaran selepas operasi mencari dan menyelamat dimulakan.
Tentera Laut India telah mengarahkan “siasatan peringkat tinggi” untuk menyiasat punca insiden ini.
Pada waktu kejadian, kapal selam Tentera Laut India tersebut berada tepat di bawah permukaan air dengan hanya periskopnya yang berada di atas permukaan — kemungkinan untuk menghidupkan enjin di atas kapal yang memerlukan udara segar untuk beroperasi.
Dalam istilah tentera laut, operasi seperti ini disebut sebagai operasi pada “kedalaman periskop”.
Pihak berkuasa juga menyatakan bahawa masih belum dapat dipastikan sama ada bot nelayan itu dilengkapi dengan peranti pengesanan yang dikenali sebagai Sistem Pengenalan Automatik (AIS).
Pemasangan AIS adalah wajib bagi bot yang berukuran 20 meter atau lebih panjang. Peraturan ini dikuatkuasakan selepas serangan pengganas 26/11 di Mumbai.
AIS membolehkan Tentera Laut India menjejaki mana-mana kapal atau bot. — DSA

 

 

 

Comments are closed.