Israel Naik Taraf F-35I “Adir” Dengan Sistem TR-3 dan Block 4 Untuk Kekal Dominasi Udara di Timur Tengah
Naik taraf menyeluruh terhadap pesawat halimunan Israel melibatkan teknologi radar resolusi tinggi, sistem peperangan elektronik Elbit, misil pintar Rafael, dan peningkatan rangkaian operasi C4I.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Dalam langkah yang dilihat sebagai transformasi besar dalam peperangan udara moden, pesawat halimunan F-35I “Adir” milik Tentera Udara Israel bakal menerima naik taraf menyeluruh menerusi kontrak bernilai USD33 juta (RM155 juta) yang dianugerahkan kepada syarikat pertahanan gergasi Amerika Syarikat, Lockheed Martin.
Pakej naik taraf ini melibatkan dua fasa utama iaitu program Technology Refresh 3 (TR-3) dan integrasi penuh sistem Block 4 yang bakal membawa perubahan besar kepada semua varian F-35 di seluruh dunia, termasuk Israel sebagai pengguna utama di Timur Tengah.

Israel, satu-satunya negara Timur Tengah yang memiliki pesawat generasi kelima ini dalam peranan tempur sebenar, akan menjadi antara pengguna awal yang menerima peningkatan ini sebagai sebahagian daripada strategi untuk mengekalkan kelebihan udara di rantau yang semakin bergolak.
Program TR-3 berfungsi sebagai asas penting kepada sistem Block 4 yang lebih menyeluruh, dengan memfokuskan kepada penaiktarafan infrastruktur pemprosesan komputer utama pesawat bagi menyokong teknologi baharu generasi akan datang.
Block 4 pula dijangka memasuki fasa pengeluaran penuh menjelang akhir dekad ini, dan akan membawa peningkatan ketara terhadap avionik, keupayaan sensor, sistem peperangan elektronik canggih, memori dalaman pesawat dan radar beresolusi tinggi generasi baharu.
Walaupun kerangka luar pesawat akan kekal seperti sedia ada, transformasi dalaman yang dibawa oleh TR-3 dan Block 4 akan memberikan F-35I “Adir” keupayaan operasi baharu termasuk pelancaran senjata generasi masa depan yang tidak boleh digunakan dalam model sebelumnya.
Sehingga kini, lebih daripada 200 buah F-35 yang dilengkapi dengan sistem TR-3 telah dihantar kepada pengendali di Amerika Syarikat dan negara sekutu, berfungsi sebagai platform ujian untuk keupayaan Block 4 sebelum pelaksanaan global.
Israel dijangka menjadi penerima utama dalam gelombang naik taraf global ini, dengan kesemua pesawat Adir miliknya akan menjalani proses peningkatan perisian dan perkakasan selaras dengan pelan pembangunan TR-3 dan Block 4.
Lebih menarik, Israel turut melaksanakan pelbagai pengubahsuaian unik ke atas Adir melalui kerjasama rapat dengan Lockheed Martin bagi menyesuaikan platform ini dengan keperluan operasi tempatan yang kompleks.

Antara perubahan signifikan termasuklah penggantian sistem peperangan elektronik keluaran BAE Systems dengan teknologi tempatan yang dibangunkan oleh Elbit Systems, membolehkan integrasi pantas senjata dan sensor Israel tanpa menjejaskan ciri halimunan pesawat.
Sistem peperangan elektronik ini direka khas untuk menangani ancaman sistem pertahanan udara canggih seperti S-400 buatan Rusia dan radar Iran yang semakin tersebar di rantau itu.
Rafael Advanced Defense Systems pula telah mengintegrasikan peluru berpandu Python-5 jarak dekat berpandu inframerah dwispektrum serta bom pintar SPICE 1000 yang mempunyai jarak effektif sehingga 100 kilometer ke dalam ruang simpanan dalaman (internal bay) pesawat pejuang F-35I Adir.
Israel juga memiliki bom bunker buster seberat satu tan buatan tempatan yang dibangun untuk digunakan dalam serangan terhadap kubu bawah kepunyaan musuh-musuhnya di rantau bergolak itu, sebagaimana ditonjolkannya dalam konflik 12 hari dengan Iran.
Keupayaan unik Adir untuk membawa bom JDAM di bawah sayap luaran turut memberikan fleksibiliti tambahan dalam senario serangan pelbagai hala, tanpa menjejaskan profil radar pesawat secara ketara.
Bagi meningkatkan jarak operasi, Israel telah mengubahsuai pesawat ini dengan tangki bahan api konformal yang membolehkan misi sejauh 1,700 kilometer dijalankan tanpa memerlukan pengisian semula di udara.
Sehingga 2025, Israel mengoperasikan 46 buah pesawat F-35I Adir yang ditempatkan di Pangkalan Udara Nevatim melalui tiga skuadron tempur aktif, dengan rancangan untuk menambah kepada 75 unit menjelang tahun 2030.
Naik taraf ini dilakukan pada saat ancaman dari Iran dan militan proksi di rantau itu seperti Houthi semakin meningkat, menjadikan pengukuhan keupayaan udara sebagai keperluan kritikal bagi kelangsungan strategi pertahanan Israel.
Israel juga merupakan satu-satunya negara di luar sembilan negara konsortium F-35 yang diberikan kelulusan khas oleh Amerika Syarikat untuk memodifikasi struktur dan sistem pesawat secara mendalam mengikut keperluan operasi tempatan.
Dengan lebih 15,000 jam penerbangan operasi direkodkan, termasuk dalam misi serangan ke atas sasaran di Syria dan misi di Iran, pesawat Adir dianggap sebagai antara varian F-35 paling teruji dalam medan sebenar.
Israel turut melaksanakan konsep gabungan unik antara F-35I Adir dan F-15I Ra’am bagi meningkatkan kecekapan serangan strategik.
Dalam strategi ini, Adir digunakan untuk misi serangan penembusan pertama ke kawasan musuh bagi memusnahkan pertahanan udara dan mengumpul maklumat masa nyata, sebelum F-15I dilancarkan dengan muatan bom yang jauh lebih besar untuk kempen pengeboman berterusan.
Pendekatan operasi dua platform ini membolehkan Adir berfungsi sebagai pusat sensor udara dan penyampai maklumat taktikal kepada pesawat tempur konvensional yang beroperasi dalam kawasan berdekatan.
Dari segi industri, Israel turut memainkan peranan penting dalam ekosistem pengeluaran global F-35, dengan Israel Aerospace Industries (IAI) menghasilkan komponen sayap untuk program ini menerusi kontrak bernilai lebih USD2.5 bilion (RM11.7 bilion) sehingga tahun 2034.
Fasa naik taraf TR-3 dan Block 4 yang sedang dilaksanakan juga sejajar dengan hala tuju negara-negara pengguna utama lain seperti Amerika Syarikat, Jepun dan United Kingdom yang turut memperkemas pesawat F-35 mereka bagi menghadapi ancaman terkini dari China, Rusia dan Iran.
Dengan penerapan teknologi tercanggih menerusi program TR-3 dan Block 4, Israel bukan sahaja mengekalkan kedudukan teratas dalam pengoperasian pesawat halimunan generasi kelima, malah menetapkan penanda aras baharu dalam takrif sebenar keunggulan udara di abad ke-21.
Pelaburan strategik Israel dalam inovasi, pemindahan teknologi, dan integrasi tempatan menjadikan F-35I “Adir” sebagai platform udara digeruni di Timur Tengah — sebuah simbol kecanggihan teknologi ketenteraan yang sebenar.
