Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Australia Peroleh Lima Buah Kapal Selam Berkuasa Nuklear

Tiga daripada lima buah kapal selam berkuasa nuklear Amerika Syarikat yang akan dijual kepada Australia sekitar 2030 an adalah daripada kelas-Virginia, manakala kelas dua lagi buah kapal selam berkuasa nuklear itu belum lagi ditentukan.

0 2,359

(DEFENCE SECURITY ASIA) – – Australia akan membeli lima buah kapal selam berkuasa nuklear daripada Amerika Syarikat sekitar tahun 2030-an dalam perjanjian keselamatan dengan United Kingdom dan Amerika Syarikat yang juga dikenali sebagai “AUKUS” (Australia, United Kingdom, United States).

Pembelian kapal-kapal selam berkuasa nuklear oleh Australia itu diumum selepas pertemuan di antara Presiden Jo Biden dengan Perdana Menteri Britain Rishi Sunak dan Perdana Menteri Australia Anthony Albanese di North Island Naval Air Station di San Diego, California.

Tiga daripada lima buah kapal selam berkuasa nuklear Amerika Syarikat yang akan dijual kepada Australia sekitar 2030 an adalah daripada kelas-Virginia, manakala kelas dua lagi buah kapal selam berkuasa nuklear itu belum lagi ditentukan.

“Projek pertama ini hanyalah permulaan sahaja. Lebih banyak kerjasama, lebih banyak potensi untuk keamanan dan keselamatan di rantau,” kata Biden selepas pertemuan dengan pemimpin Australia dan United Kingdom itu.

Menurutnya, ketiga-tiga negara itu berada di dalam kedudukan terbaik untuk mengharungi cabaran pada hari ini dan masa depan secara bersama.

Virginia
Kapal selam berkuasa nuklear kelas-Virginia milik Tentera Laut Amerika Syarikat.

 

Dibawah kerjasama keselamatan dan pertahanan di antara ketiga-tiga negara itu juga, Australia juga akan menerima kapal selam berkuasa nuklear terbaru dikenali sebagai “SSN-AUKUS” yang berdasarkan kepada rekabentuk kapal selam berkuasa nuklear United Kingdom yang terbaru menggunakan teknologi propulsion nuklear Amerika Syarikat.

Ini hanya kali kedua dalam sejarah di mana Amerika Syarikat berkongsi teknologi kapal selam berkuasa nuklear, selepas berbuat perkara yang sama dengan Britain pada tahun-tahun 1950-an.

United Kingdom dijangka menerima kapal selam berkuasa nuklear SSN-AUKUS pada akhir 2030-an manakala Australia pula bakal menerima kapal selam berkuasa nuklear dengan teknologi terbaru itu pada 2040-an.

Kapal-kapal selam yang bakal dioperasikan oleh Australia itu hanya dijana oleh reaktor nuklear tetapi tidak akan dilengkapi dengan dengan senjata-senjata nuklear.

AUKUS

Penganalisis pertahanan Australia menganggarkan negara itu akan membelanjakan sekitar US$245 bilion (RM980 bilion) sehingga tahun 2050 di atas keputusannya untuk mengoperasikan kapal-kapal selam berkuasa nuklear itu.

Bermula daripada tahun ini, anggota tentera dan kakitangan awam Australia akan ditempatkan dengan tentera laut Britain dan Amerika Syarikat untuk mempelajari teknologi.

Sementara itu Wisma Putra dalam satu kenyataan pula mahukan negara-negara berkenaan termasuk di luar perjanjian AUKUS untuk menghormati pendirian dan dasar Malaysia mengenai pengoperasian kapal-kapal selam berkuasa nuklear di dalam perairan negara. 

Ia juga termasuk dengan dasar dan perjanjian ASEAN seperti South East Asia Nuclear Free Zone (SEANFZ), UNCLOS 1982 dan ASEAN Declaration on the Zone of Peace, Freedom and Neutrality (ZOPFAN).  – – DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...