37 Peratus Kapal Selam Amerika Syarikat Tidak Boleh Beroperasi Tahun Ini
Menurut laporan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat, daripada 49 buah kapal selam negara itu pada ketika ini, sebanyak 18 buah atau 37 peratus tidak dapat beroperasi pada 2023, jauh lebih tinggi daripada amalan industri sebanyak 19 peratus.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Data terbaru yang dikeluarkan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat menunjukkan 37 peratus kapal-kapal selam milik negara kuasa besar itu tidak dapat beroperasi kerana kegagalan dalam menjalani penyelenggaraanya.
Kapal-kapal selam itu tidak boleh menjalani penyelenggaran kerana limbungan kapal Amerika Syarikat tidak mampu menampung bebanan kerja.
Menurut laporan, daripada 49 buah kapal selam negara itu pada ketika ini, sebanyak 18 buah atau 37 peratus tidak dapat beroperasi pada 2023, jauh lebih tinggi daripada amalan industri sebanyak 19 peratus.

Ia adalah suatu angka yang tinggi berbanding 28 peratus pada 2017 dan 33 peratus pada 2022.
Tahun terbaik adalah pada 2015 di mana 19 peratus kapal selam Amerika Syarikat atau 10 buah daripada 53 buah kapal selam yang dimilikinya pada ketika itu tidak dapat beroperasi akibat diselenggara.
Satu contoh melibatkan kapal selam USS Connecticut — yang terlibat dalam insiden melanggar gunung bawah laut (sea mountain) di Laut China Selatan kira -kira 20 bulan yang lalu.
Sebelas orang krew kapal selam berkuasa nuklear kelas-Seawolf Tentera Laut Amerika Syarikat, USS Connecticut (SSN-22) mengalami kecederaan selepas kapal selam itu terlanggar gunung dasar laut terbabit di suatu lokasi tidak didedahkan di Laut China Selatan.
Menurut jurucakap 7th Fleet Tentera Laut Amerika Syarikat, insiden tersebut berlaku pada 2 Oktober 2021 ketika kapal selam terbabit sedang menjalankan operasi di kawasan perairan antarabangsa di Laut China Selatan itu.

Sejurus selepas kemalangan itu, USS Connecticut telah belayar balik menggunakan kuasanya sendiri ke Guam, yang merupakan pangkalan tentera laut utama Amerika Syarikat di Indo-Pasifik.
Kapal selam berkuasa nuklear itu diisytiharkan tidak mampu beroperasi sehingga pada awal tahun 2026, memandangkan ia tidak mempunyai limbungan kapal yang berkelapangan untuk diperbaiki.
Comments are closed.