Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Insiden USS Connecticut Dedah Risiko Dihadapi Kapal Selam, TLDM Tidak Terkecuali

Insiden "pelanggaran" kapal selam berkuasa nuklear kelas-Seawolf Tentera Laut Amerika Syarikat itu hanya mengesahkan lagi risiko tinggi yang terpaksa ditempuh oleh krew kapal selam dalam melaksanakan tugas mereka.

0 19,716

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Awal hari ini, Tentera Laut Amerika Syarikat mengesahkan bahawa kapal selam berkuasa nuklear kelas-Seawolf “USS Connecticut” miliknya terlibat dalam kemalangan apabila ia terlanggar “objek tidak diketahui” di dasar Laut China Selatan pada 2 Oktober lalu, menyebabkan 11 krew mengalami kecederaan.

Pihak Tentera Laut Amerika Syarikat hanya mengesahkan kemalangan 2 Oktober itu hari ini yang menyebabkan kecederaan pada 11 orang krew kapal selam itu bagi memelihara tahap kerahsiaan operasi USS Connecticut.

Kemalangan membabitkan kapal selam kelas-Seawolf Tentera Laut Amerika Syarikat itu hanya mengesahkan risiko tinggi yang terpaksa ditempuh oleh krew kapal selam dalam melaksanakan operasi di dasar lautan yang kedalamannya mencecah ratusan meter daripada permukaan.

Krew-krew kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) juga tidak terkecuali dalam menempuh pelbagai bahaya dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan dasar laut negara ini sentiasa terjamin.

Panglima Angkatan Kapal Selam TLDM Laksamana Pertama Mohd Razib Tahir dalam satu temuramah dengan media tempatan baru-baru ini turut mendedahkan beberapa cabaran utama yang dihadapi oleh krew-krew kapal selam negara.

Kapal Selam
Kapal selam berkuasa nuklear kelas-Seawolf “USS Connecticut”

 

Antara risiko yang dihadapi oleh anggota Angkatan Kapal Selam TLDM adalah mengoperasikan dua buah kapal selam kelas-Perdana Menteri negara, KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak di kawasan-kawasan perairan yang disifatkan sebagai cetek.

Menurut beliau, kapal selam berhadapan dengan pelbagai cabaran dan juga bahaya apabila beroperasi di kawasan perairan yang cetek.

Dan sebagaimana yang ketahui, Malaysia ini dikelilingi oleh kawasan-kawasan perairan yang dikategorikan sebagai cetek.

“Yang menjadi cabaran di kawasan (perairan) kita ini, selain daripada Laut China Selatan yang begitu luas, ada juga kawasan (perairan) yang cetek. Untuk mengoperasikan kapal selam di kawasan yang cetek ini merupakan perkara yang amat berbahaya sebab once in a while kita dengar kemalangan yang berlaku di negara luar melibatkan kapal selam, dimana kapal selam berlanggar dengan objek di atas laut.”

“Jadi kita memerlukan kepakaran, competency dan proficiency untuk membolehkan kapal selam kita beroperasi di kawasan yang cetek.”  

— Panglima Angkatan Kapal Selam TLDM Laksamana Pertama Mohd Razib Tahir

Kapal Selam
Kapal selam berkuasa nuklear kelas-Seawolf “USS Connecticut”

 

Terdapat kawasan perairan di Laut China Selatan dimana kedalamannya tidak sampai 100 meter manakala terdapat juga beberapa kawasan perairan yang kedalamannya menjunam sehingga lebih 4,000 meter.

Beroperasi di kawasan perairan yang cetek ini mendedahkan risiko pelanggaran kapal selam dengan kapal komersial, sebagaimana yang berlaku di perairan berhampiran Pulau Shikoku di Jepun pada Februari tahun ini.

Kapal Selam
“The Silent Service” milik TLDM

 

Dalam insiden itu, sebuah kapal kapal jenis “Soryu” Jepun sepanjang 84 meter mengalami kerosakan yang besar apabila ia berlanggar dengan sebuah kapal komersial ketika ia naik ke permukaan (surfacing), menyebabkan tiga krew kapal selam terbabit mengalami kecederaan.

Pada Julai tahun lepas pula, sebuah kapal kargo Norway, Hoegh London berlanggar dengan sebuah kapal selam jenis Chang Bogo Tentera Laut Korea Selatan di kawasan perairan berhampiran dengan Pulau Gadeokdo, Busan.

Menurut Mohd Razib, untuk meminimakan risiko kepada krew kapal selam, maka, adalah amat penting untuk mewujudkan angkatan kapal selam yang betul-betul kredible, competent dan proficient untuk menangani kesemua cabaran yang mendatang.

Mengenai pendapat sesetengah orang bahawa kapal-kapal selam yang beroperasi di kawasan perairan yang cetek menyebabkan ia mudah dikesan oleh pihak musuh, beliau berkata, terdapat kebenaran terhadap pendapat itu.

Bagaimanapun dalam masa yang sama, pendapat itu tidak keseluruhannya benar.

“Musuh-musuh atau alat pengesan kapal selam ada pelbagai, kita ada surface ship yang berkeupayaan (mengesan kapal selam) sekiranya mereka memiliki sonar low-frequency yang berkuasa tinggi, itu pun boleh mendatangkan bahaya kerana mereka boleh detect kedalaman yang tinggi dalam jarak yang jauh.”

“Dan yang paling kita risau dalah pesawat Maritime Patrol Aircraft/Anti-Submarine Warfare. So di kawasan yang cetek menjadi kerisauan kita kerana ia memang bahaya dan pesawat jenis ini (MPA/ASW) belum dimiliki oleh ATM.”

— Mohd Razib

Apa yang nyata adalah operasi kapal selam sememangnya berisiko tinggi, sebagaimana yang ditempuhi oleh krew-krew kapal selam USS Connecticut, KRI Nanggala, Kursk dan pelbagai kapal selam lain.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...