“Pertembungan” 20 Buah Kapal Perang China-Taiwan Di Selat Taiwan
Kementerian Pertahanan Taiwan melaporkan mereka mengesan 70 buah pesawat China termasuk pesawat pejuang Su-30 dan pesawat pengebom H-6 serta 11 buah kapal perang negara itu di sekelilling pulau itu pada ketika ini. Menurut laporan, Taiwan telah "dikepung" oleh kapal-kapal perang serta pesawat kombat China.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Laporan media antarabangsa mengatakan bahawa pada ketika ini sedang berlaku “pertembungan” (standoff) yang tegang di antara 10 buah kapal perang China dengan 10 buah kapal tentera laut Taiwan garisan tengah (median line) Selat Taiwan.
Menurut agensi berita Reuters, pertembungan di antara kapal-kapal perang China dan Taiwan itu berlaku di garisan tengah (median line) Selat Taiwan yang menjadi zon penampan (buffer zone) di antara kedua-dua negara.
Pertembungan di antara kapal-kapal perang kedua-dua negara itu hanya meningkatkan lagi ketegangan yang kini hampir mencapai ke peringkat “mendidih”, berpunca daripada lawatan Presiden Taiwan ke Amerika Syarikat.
Marah kerana Presiden Taiwan itu melakukan lawatan ke Amerika Syarikat, China melancarkan beberapa siri latihan tentera yang digelar “simulasi serangan tepat” bermula daripada semalam di sekeliling pulau itu.
Latihan-latihan perang itu bermula semalam selepas Presiden Tsai Ing-wen pulang daripada lawatannya ke Amerika Syarikat.
Ketika di Amerika Syarikat, Presiden Taiwan itu telah berjumpa dengan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat Kevin McCarthy.
Beijing masih menganggap Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayah miliknya dan berikrar untuk “mengembalikan” pula itu kepada China sama ada menerusi pelbagai cara termasuk peperangan.
Hari ini, Kementerian Pertahanan Taiwan melaporkan bahawa mereka mengesan 70 buah pesawat China termasuk pesawat pejuang Su-30 dan pesawat pengebom H-6 serta 11 buah kapal perang negara itu di sekelilling pulau itu.

Menurut laporan, pada ketika ini Taiwan telah “dikepung” oleh kapal-kapal perang serta pesawat kombat China.
Sumber-sumber turut memberitahu media antarabangsa bahawa China turut melaksanakan simulasi serangan terhadap sasaran-sasaran milik asing di bahagian barat Taiwan.
Comments are closed.