Hubungan Semakin “Mesra”, Kapal Perang Russia Berlabuh Di Arab Saudi
Kunjungan kedua-dua buah kapal Tentera Laut Russia di Pelabuhan Jeddah baru-baru ini menandakan hubungan yang semakin erat di antara Riyadh dan Moscow serta perubahan besar geopolitik di rantau Timur Tengah.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Kapal friget Tentera Laut Russia, Admiral Gorshkov dan kapal pengisi minyak, Kama muncul sebagai kapal tentera laut negara itu yang pertama melakukan kunjungan di pelabuhan Arab Saudi di dalam tempoh 10 tahun.
Kunjungan kedua-dua buah kapal Tentera Laut Russia di Pelabuhan Jeddah baru-baru ini menandakan hubungan yang semakin erat di antara Riyadh dan Moscow serta perubahan besar geopolitik di rantau Timur Tengah.
Kapal friget Admiral Gorshkov dan kapal pengisi minyak, Kama tiba di Jeddah pada Rabu dan meningggalkan pelabuhan itu dalam tempoh 24 jam selepas itu dalam kunjungan yang telah diatur lama sebelum itu, menurut kenyataan oleh seorang pegawai kedutaan Russia di Riyadh kepada media antarabangsa, AFP.
Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Russia menerusi laman webnya, kunjungan kedua-dua kapal tentera laut negara itu di Pelabuhan Jeddah yang terletak di Laut Merah merupakan kunjungan yang pertama dalam tempoh 10 tahun.
Ketika berada di pelabuhan terbabit, kedua-dua buah kapal itu mengulang-bekal termasuk makanan dan minuman manakala anak-anak kapalnya pula menghadiri program kebudayaan.
Kapal friget, Admiral Gorshkov yang dilengkapi dengan peluru berpandu Hypersonic “Tsirkon” (Zircon) serta Kama merupakan sebahagian daripada Armada Utara Tentera Laut Russia yang meninggalkan pangkalan mereka pada Januari lepas.
Kedua-dua kapal itu turut mengambil bahagian dalam dua siri latihan di laut, di Lautan Hindi dan Laut Arab sebelum berkunjung ke Arab Saudi.
Salah satu daripada latihan di laut itu adalah kapal-kapal tentera laut China dan Afrika Selatan.
Namun apa yang lebih jelas daripada kunjungan kedua-dua kapal Tentera Laut Russia ke Arab Saudi adalah bagaimana hubungan kedua-dua negara itu semakin erat sejak akhir-akhir ini, dengan Riyadh dilihat mengambil pendekatan lebih diplomatik terhadap Moscow di dalam isu konflik di Ukraine.
Hasil daripada China, Arab Saudi dan Iran juga mengorak langkah untuk memperbaiki hubungan mereka.
Comments are closed.