Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pembinaan Fizikal Kapal LCS Pertama Telah Siap Lebih 80 Peratus – Tok Mat

Menteri Pertahanan menyatakan bahawa pembinaan fizikal kapal Littoral Combat Ship (LCS) yang pertama telah pun siap lebih 80 peratus, dan sekiranya pembinaan kapal itu diteruskan oleh jemaah menteri, kapal itu hanya memerlukan sembilan bulan untuk disiapkan.

0 2,995

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu Dewan Negara semalam bahawa pembinaan fizikal kapal Littoral Combat Ship (LCS) yang pertama telah pun pun siap lebih 80 peratus.

Kata beliau, sekiranya Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM) memberikan lampu hijau pada April ini untuk meneruskan pembinaan kapal-kapal LCS itu, maka ia memerlukan sembilan bulan lagi untuk menyelesaikan pembinaan fizikal kapal LCS yang pertama.

Mohamad Hasan yang juga dikenali sebagai “Tok Mat” berkata demikian ketika menjawab soalan daripada anggota Dewan Negara.

LCS
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan ketika melawat pembinaan kapal-kapal Littoral Combat Ship di Lumut. (kredit FB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan)

 

“Kapal pertama daripada segi pembnaannya sudah banyak, sudah hendak siap. Semua blok sudah siap, cuma blok teras untuk Combat Management System (CMS) belum diletakkan. Enjin, gearbox dan propeller, semuanya sudah dipasang dan shaft juga sudah dipasang (di kapal LCS yang pertama itu).”

“Secara keseluruhannya, pembinaan fizikal kapal LCS yang pertama adalah 80 lebih peratus. Dia akan ambil masa sembilan bulan daripada sekarang, daripada bulan April (jika mendapat kelulusan jemaah menteri supaya pembinaan kapal-kapal LCS disambung semula) untuk kapal itu siap pembinaan fizikalnya,” kata Menteri Pertahanan.

Selain blok teras untuk menempatkan komponen CMS yang masih belum dipasang pada kapal LCS pertama itu, satu lagi bahagian kapal yang masih belum dipasang katanya,  adalah komponen kombatan kapal itu yang merangkumi sistem peluru berpandu pertahanan udara, sistem peluru berpandu anti-kapal dan sistem peperangan bawah permukaan seperti torpedo dan sebagainya.

Menteri Pertahanan juga menjelaskan bahawa walaupun pembinaan fizikal kapal LCS pertama dijangka selesai dalam beberapa bulan akan datang, namun ia akan menjalani ujian-ujian lain sebelum kapal LCS yang pertama itu boleh ditauliahkan ke dalam perkhidmatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Pembinaan kapal tentera laut ini mempunyai tiga fasa iaitu pembinaan kapal di dry dock (limbungan kering). Apabila selepas pembinaan fizikal, kapal akan melalui Harbour Acceptance Trial dan seterusnya Sea-Acceptance Trial.”

LCS

“Harbour Acceptance Trial dan Sea Acceptance Trial mengambil masa di antara 20 hingga 22 bulan, sebelum kapal itu ditauliahkan dalam TLDM,” katanya.

Defence Security Asia menjangkakan kapal LCS yang pertama itu akan hanya ditauliahkan ke dalam perkhidmatan TLDM di antara tahun 2026-2027 diikuti oleh kapal-kapal yang lain, sekiranya projek pembinaan semula lima buah kapal LCS mendapat kelulusan jemaah menteri.

Mohamad Hasan juga memberitahu Dewan Negara bahawa Kementerian Pertahanan akan tetap mendapatkan kelulusan daripada jemaah menteri untuk menyambung semula pembinaan kapal-kapal itu,walaupun kerajaan terdahulu telah pun memberikan kelulusannya sebelum ini.

Memandangkan kerajaan kini adalah kerajaan yang baru, maka Kementerian Pertahanan menurutnya berpendapat adalah wajib untuk mendapatkan kelulusan baru daripada jemaah menteri.

LCS

Menteri Pertahanan berkata adalah wajar untuk meneruskan semula pembinaan kapal-kapal LCS untuk TLDM kerana ia adalah usaha yang penting untuk memperkasa keupayaan TLDM bagi memastikan angkatan itu dapat memelihara kedaulatan perairan negara.

Keupayaan TLDM perlu terus dipertingkatkan supaya ia dapat menangani insiden percerobohan perairan negara dengan berkesan.

“Perairan kita diceroboh berpuluh- puluh kali, tetapi disebabkan keupayaan kita yang tidak seberapa maka pihak berkenaan terus menceroboh (perairan negara) tanpa segan-silu,” kata beliau. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...