Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal Perang Jerman Diarah Elak Guna Laut Merah, Bimbang Serangan Pejuang Houthi

Menteri Pertahanan Jerman Boris Pistorius telah mengarahkan kedua-dua buah kapal perang itu menggunakan laluan yang lebih jauh iaitu belayar mengelilingi Cape of Good Hope di Afrika dan mengelak daripada menggunakan Laut Merah.  

1,662
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dua buah kapal perang Tentera Laut Jerman terpaksa mengelak daripada belayar di Laut Merah disebabkan bimbang akan serangan oleh kumpulan bersenjata Houthi, menurut Kementerian Pertahanan Jerman.
Menurutnya, kedua-dua kapal perang Jerman itu, FGS BADEN-WÜRTTEMBERG (F222) dan FGS FRANKFURT AM MAIN (A1412) “tidak direkabentuk untuk melaksanakan operasi pertahanan udara” untuk mempertahankan diri mereka serta kapal-kapal berhampiran.
“Tahap ancaman (oleh kumpulan bersenjata Houthi) adalah agak tinggi di Laut Merah,” menurut jurucakap Kementerian Pertahanan Jerman Kolonel Mitko Mueller dalam sidang media semalam.
Menurutnya, terdapat serangan-serangan yang kompleks yang telah berlaku di Laut Merah dalam beberapa bulan kebelakangan ini melibatkan peluru berpandu taktikal, dron-dron dan pelbagai senjata lain.
Menteri Pertahanan Jerman Boris Pistorius telah mengarahkan kedua-dua buah kapal perang itu menggunakan laluan yang lebih jauh iaitu belayar mengelilingi Cape of Good Hope di Afrika dan mengelak daripada menggunakan Laut Merah.  
Jerman
FGS BADEN-WÜRTTEMBERG (F222) (kredit TLDM)
Kedua-dua kapal perang Jerman itu sedang dalam pelayaran menuju ke perairan di Mediterranean untuk menyertai misi UNIFIL di Lubnan di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sebelum itu, kapal-kapal Tentera Laut Jerman itu, FGS BADEN-WÜRTTEMBERG dan FGS FRANKFURT AM MAIN terlibat dalam Indo-Pacific Region Deployment 2024 (IPD 2024).
IPD 2024 merupakan usaha diplomasi pertahanan yang utama bagi Tentera Laut Jerman meliputi latihan laut multinasional dan operasi.
Kedua-dua kapal Tentera Laut Jerman itu telah belayar di Lautan Pasifik dan Lautan Hindi sejak Jun 2024, mempamerkan keupayaan tentera laut Jerman dan komitmen mereka terhadap keselamatan maritim.
Pada 15 Okt lepas, kedua-dua buah kapal perang Jerman itu telah singgah di tiba di  Port Klang Cruise Terminal, lawatan pertama kapal perang Jerman ke Malaysia dalam tempoh 22 tahun.
Kapal Jerman
Kapal replenishment Tentera Laut Jerman, FGS FGS FRANKFURT AM MAIN
Walaupun dikategorikan sebagai kapal friget, tetapi kapal FGS BADEN-WÜRTTEMBERG memiliki berat yang mencecah sehingga 7,200 tan dan lebih sesuai untuk dikatakan sebagai kapal destroyer.
Terdapat laporan mengatakan FGS BADEN-WÜRTTEMBERG adalah kapal friget terberat di dunia.
Ditauliahkan pada tahun 2019, kapal friget FGS BADEN-WÜRTTEMBERG yang memiliki panjang 150 meter berkeupayaan belayar selaju 20 knot dan beroperasi sejauh 4,000 Batu Nautika.
Daripada segi persenjataannya pula, kapal friget FGS BADEN-WÜRTTEMBERG itu dilengkapi dengan meriam utama 127mm, sistem peluru berpandu RAM Block II (Rolling Airframe Missile) dan peluru berpandu anti-kapal Harpoon.
Selain itu, kapal friget itu juga membawa sebuah helikopter NH-90.
Laut merah
Serangan pejuang Houthi terhadap kapal tangki minyak asing.
FGS FRANKFURT AM MAIN pula adalah kapal replenishment oiler (bekalan) milik Tentera Laut Jerman yang ditauliahkan pada tahun 2001.
Kapal seberat 20,000 tan itu membawa bahan api, lain-lain bekalan, peluru dan lain-lain bertujuan menyokong operasi kapal-kapal perang Tentera Laut Jerman. — DSA

Comments are closed.