Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal LHD “Trieste”, Kapal Kombat Terbesar Tentera Laut Itali Sejak Perang Dunia Kedua

Kapal LHD Trieste akan menggantikan kapal pengangkut pesawat ITS Giuseppe Garibaldi yang telah ditamatkan perkhidmatannya pada 1 Oktober 2024, sekaligus menjadi kapal utama kumpulan tugas amfibi Tentera Laut Itali.

0 4,172
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Seperti dilaporkan oleh Mer et Marine pada 5 Disember 2024, Tentera Laut Itali bakal mentauliahkan kapal Landing Helicopter Dock (LHD) terbaru mereka, Trieste, yang merupakan kapal kombat terbesar dibina di Itali sejak Perang Dunia Kedua.
Majlis pertauliahan kapal LHD itu berlangsung di Pelabuhan Livorno dengan kehadiran Presiden Itali Sergio Mattarella.
Kapal LHD Trieste akan menggantikan kapal pengangkut pesawat ITS Giuseppe Garibaldi yang telah ditamatkan perkhidmatannya pada 1 Oktober 2024, sekaligus menjadi kapal utama kumpulan tugas amfibi Tentera Laut Itali.
Pembangunan LHD Trieste bermula di bawah program pembinaan kapal 2014–2015, dengan kontrak pembinaan dianugerahkan kepada syarikat Fincantieri pada Julai 2015.
“Steel cutting”(pemotongan keluli) kapal itu telah bermula pada Julai 2017, diikuti dengan “keel laying” di Castellammare di Stabia pada Februari 2018.
Badan kapal dilancarkan pada Mei 2019 sebelum dilengkapkan di limbungan kapal Muggiano milik Fincantieri, sementara kerja penyelenggaraan dilakukan di kemudahan Palermo kerana kekangan ruang.

RINGKASAN:

Tentera Laut Itali akan menugaskan LHD Trieste, kapal pendarat helikopter terbesar yang pernah dibina di Itali sejak Perang Dunia Kedua. Majlis penugasan rasmi berlangsung pada 7 Disember 2024 di Pelabuhan Livorno, disaksikan oleh Presiden Itali, Sergio Mattarella. Trieste akan menggantikan kapal pengangkut pesawat Giuseppe Garibaldi yang telah ditamatkan perkhidmatannya pada Oktober 2024, sekaligus menjadi kapal utama kumpulan tugas amfibi Tentera Laut Itali.

Pembangunan Trieste bermula pada 2014 dan melibatkan tiga limbungan kapal dengan lebih 1,000 tenaga kerja. Kapal sepanjang 245 meter ini dilengkapi sistem pendorongan CODLOG, mampu mencapai kelajuan maksimum 25 knot, dan mempunyai jarak pelayaran 7,000 batu nautika. Reka bentuknya yang serba guna termasuk dek penerbangan untuk pesawat F-35B dan helikopter, geladak banjir untuk kenderaan amfibi, serta hospital modular dengan kemudahan rawatan kritikal.

Dibandingkan dengan kapal Giuseppe Garibaldi dan Cavour, Trieste menawarkan keupayaan operasi yang lebih luas, merangkumi operasi amfibi, bantuan kemanusiaan, dan peranan komando bersama. Kapal ini menggambarkan satu lonjakan besar dalam keupayaan strategik Tentera Laut Itali.

Ujian awal laut telah diadakan pada Ogos 2021, dengan kerja tambahan dilakukan di limbungan Trieste pada penghujung 2023.
Pembinaan kapal ini melibatkan tiga limbungan dan lebih daripada 1,000 tenaga kerja sepanjang fasa pemasangan dan kerja-kerja melengkapkannya.
 Penghantaran kapal itu yang sepatutnya berlaku pada 2022 telah tertunda sehingga Disember 2024.
Dengan panjang 245 meter dan berat keseluruhan 33,000 tan, LHD Trieste adalah kapal Tentera Laut Itali terbesar sejak Perang Dunia Kedua.
Ia dilengkapi dengan sistem pendorongan CODLOG (Combined Diesel-Electric and Gas) yang menggabungkan dua turbin gas Rolls-Royce MT30, dua enjin diesel MAN, dan dua motor elektrik.
Sistem ini membolehkan LHD Trieste mencapai kelajuan maksimum 25 knot dan jarak pelayaran sejauh 7,000 batu nautika pada kelajuan 16 knot.
Trieste
“Trieste”
Rekabentuk dwi-pulaunya memisahkan fungsi navigasi dan pengurusan operasi penerbangan.
Kapal ini direka untuk menyokong operasi pesawat F-35B dan pelbagai jenis helikopter, dengan dek penerbangan sepanjang 230 meter yang mempunyai sembilan tempat pendaratan dan dua lif berkapasiti 42 tan setiap satu.
Di bawah dek, ia menyediakan ruang hangar dan garaj seluas lebih 4,500 meter persegi untuk kenderaan serta geladak banjir untuk operasi amfibi.
Geladak banjir ini mampu memuatkan kenderaan-kenderaan amfibi lain.
Sistem persenjataan kapal LHD Trieste merangkumi tiga buah meriam 76mm, tiga meriam 25mm Remote Control Weapon Systems (RCWS) dan sistem Vertical Launch System (VLS) Sylver yang mampu melancarkan peluru berpandu Aster.
 Ia juga dilengkapi sistem peperangan elektronik canggih dan radar multifungsi.
Direka untuk operasi pelbagai guna, kapal ini mampu membawa sehingga 1,064 individu, termasuk 450 anak kapal dan 600 anggota tentera.
Trieste
“Trieste”
Kemudahan di atas kapal termasuk sebuah hospital dengan 27 katil, bilik pembedahan, perkhidmatan radiologi, dan pergigian, dengan pilihan untuk pengembangan perubatan kontena.
Kapal LHD Trieste akan menjadi platform serba guna bagi operasi amfibi dan udara, bantuan kemanusiaan, serta operasi komando.
Berbanding dengan kapal pengangkut pesawat ITS Giuseppe Garibaldi dan ITS Cavour, kapal LHD Trieste mempunyai fokus reka bentuk dan peranan operasi yang berbeza.
ITS Garibaldi, dengan panjang 180.2 meter dan berat 14,150 tan, direka untuk peperangan anti-kapal selam dan pertahanan udara, serta mengoperasikan jet Harrier dan helikopter.
Manakala kapal ITS Cavour, yang lebih kecil daripada LHD Trieste dengan panjang 244 meter dan berat sesaran 27,100 tan, didedikasikan untuk operasi udara sebagai kapal pengangkut pesawat.
Sebaliknya, LHD Trieste, dengan panjang 245 meter dan berat 33,000 tan, merupakan kapal serangan amfibi pelbagai guna yang dilengkapi dengan geladak banjir untuk kenderaan pendaratan, kemudahan yang diperluaskan untuk pengangkutan pasukan, serta keupayaan perubatan yang signifikan.
Tidak seperti ITS Cavour dan ITS Garibaldi yang lebih berorientasikan penerbangan, Trieste mengintegrasikan operasi amfibi, bantuan kemanusiaan, dan peranan komando.
LHD Trieste akan memberikan keupayaan baru kepada Tentera Laut Itali, termasuk geladak banjir yang membolehkan pelancaran kenderaan pendaratan, dek penerbangan yang diperluas untuk mengoperasikan jet pejuang F-35B VSTOL  dan helikopter, serta hospital modular dengan kemudahan untuk merawat pesakit yang mengalami kecederaan kritikal.
Ia direka untuk menyokong operasi amfibi, projeksi kuasa, komando bersama dan sekutu, serta sokongan logistik. — DSA

Leave A Reply

Your email address will not be published.