Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Kapal LCS 1 “Maharaja Lela” Berjaya Selesai Proses “Upslip”, Hampiri Harbour Acceptance Trial

(VIDEO) Menurut LUNAS dalam kenyataan media sosialnya semalam, "UpSlip" merupakan fasa penting bagi memastikan semua sistem atas kapal, komponen struktur dan fungsi penting melalui pemeriksaan serta penambahbaikan yang teliti untuk memenuhi piawaian pembinaan.

0 176
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Lumut Naval Shipyard (LUNAS) semalam memaklumkan bahawa kapal Littoral Combat Ship (LCS) yang pertama (leadship) “Maharaja Lela” , telah selesai menjalani ujian “Upslip” yang kritikal dalam proses pembinaannya.
Proses “UpSlip” merupakan fasa kritikal dalam pembinaan kapal, melibatkan pemeriksaan terperinci serta penambahbaikan terhadap sistem, komponen, dan fungsinya.
Tujuannya adalah untuk memastikan kapal tersebut memenuhi piawaian pembinaan dan spesifikasi reka bentuk yang ditetapkan.
Menurut LUNAS dalam kenyataan media sosialnya semalam, “UpSlip” merupakan fasa penting bagi memastikan semua sistem atas kapal, komponen struktur dan fungsi penting melalui pemeriksaan serta penambahbaikan yang teliti untuk memenuhi piawaian pembinaan.
“Ia juga adalah untuk proses pematuhan dengan spesifikasi reka bentuk, sekali gus membawa kapal selangkah lebih dekat ke fasa seterusnya dalam proses ‘set-to-work’ dan ujian kelak.
Dengan selesainya proses “UpSlip” itu,  Ujian Pelabuhan (Harbour Acceptance Trial) dijangka dilaksanakan pada hujung bulan ini oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Pada akhir Sept lalu, LUNAS menerusi posting media sosialnya menyatakan ia telah berjaya mencapai detik penting (major milestone) dengan penyerahan rasmi Rekabentuk Terperinci (Detailed Design) untuk projek Littoral Combat Ship (LCS).
Penyerahan rasmi Rekabentuk Terperinci untuk projek LCS itu berlaku pada 23 Sept lalu.
Penyerahan Rekabentuk Terperinci itu adalah langkah penting dalam menyediakan asas kepada fasa pembinaan kapal-kapal LCS dan memastikan kapal-kapal LCS itu dibina mengikut standard kualiti tertinggi dan memenuhi keperluan sebagaimana dirancang.
Menurut Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini berkata, dalam bulan Disember akan dilakukan Harbour Acceptance Trial (ujian pelabuhan) dan selepas semua perkakas dipasang, maka akan dilakukan sea trial (ujian di laut).
“Kalau ikut perancangan, kapal yang pertama akan diserahkan kepada pihak TLDM pada bulan Ogos 2026, Insya-Allah,” kata beliau sebagaimana dipetik oleh media pada awal Jun lalu.

LCS

LCS
Bagi kapal LCS kedua pula, tahap kemajuan pembinaannya sebagaimana dinyatakan oleh Menteri Pertahanan pada Jun lalu telah pun mencapai 64.66 peratus, LCS ketiga pula berada pada tahap 56.48 peratus, manakala LCS keempat pada tahap 51.10 peratus, dan kapal LCS kelima pada tahap 42.33 peratus.
Kementerian Pertahanan katanya menaruh keyakinan bahawa projek pembinaan lima kapal LCS itu dapat diserahkan kepada TLDM mengikut tempoh masa yang telah dirancangkan secara berperingkat mulai Ogos 2026. — DSA

 

Comments
Loading...