Kapal Perang Tentera Laut British Ekori Rapat “Kapal Perisik” Russia Dalam Perairannya
Kehadiran kapal Russia “Yantar” di dalam perairan United Kingdom itu berlaku ketika terdapat kebimbangan yang tinggi terhadap keselamatan infrastruktur bawah permukaan laut di Eropah daripada serangan subversif oleh Russia.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Laut British mengerah dua buah kapal perangnya, HMS Somerset dan HMS Tyne untuk mengawasi “kapal perisik” Russia sebaik sahaja kapal tersebut berlayar memasuki perairan United Kingdom.
Kehadiran kapal Russia “Yantar” di dalam perairan United Kingdom itu berlaku ketika terdapat kebimbangan yang tinggi terhadap keselamatan infrastruktur bawah permukaan laut di Eropah daripada serangan subversif oleh Russia.
Setiausaha Pertahanan United Kingdom John Healey berkata bahawa “kapal perisik” Russia itu dipercayai sedang dalam misi “mengumpul maklumat tentang infrastruktur kritikal” United Kingdom .
Beliau berkata,ini adalah kehadiran buat kali kedua kapal Russia, Yantar itu di dalam perairan United Kingdom di dalam tempoh tiga bulan.
Healey menuduh Presiden Russia Vladimir Putin sedang berusaha untuk mengancam keselamatan Eropah dengan mensasarkan infrastruktur kritikal bawah permukaan laut membawa minyak, elektrik, gas dan internet.
“Kami tahu apa yang anda (Russia) sedang lakukan,” kata Setiausaha Pertahanan United Kingdom itu.
“Kapal perisik” Russia dinamakan Yantar itu yang secara rasminya dikategorinya kapal penyelidikan marin dikesan berada dalam perairan United Kingdom kira-kira 70km daripada pesisir pantainya, jauh di dalam kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara itu.
“Kapal ini (Yantar) ini adalah kapal perisik Russia,” katanya dan menambah bahawa kapal Russia itu dikesan belayar di dalam perairan United Kingdom pada November tahun lepas di mana Healey menyatakan pada ketika itu bahawa kapal Russia sedang “berlegar-legar” di kawasan perairan berhampiran dengan infrastruktur kritikal milik United Kingdom.
Kapal Russia itu kemudiannya belayar ke perairan Ireland di timur Dublin, sekaligus meningkatkan lagi kebimbangan bahawa kapal Russia Yantar itu sedang mengumpul maklumat perisikan tentang infrastruktur internet di antara United Kingdom dan Ireland.
Pada ketika itu, Healey menyatakan bahawa kapal selam, kapal perang dan pesawat peronda maritim telah dikesan untuk memantau kapal perisik Russia itu.
“Kapal selam(United Kingdom) telah diarahkan supaya timbul berhampiran kapal perisik Russia,Yantar itu untuk memberi mesej bahawa segala pergerakannya sedang diperhatikan,” kata beliau.
Setiausaha Pertahanan United Kingdom itu berkata bahawa pada kali ini, kapal perisik Russia itu tidak berlegar-legar dan diekori dengan rapat oleh kapal-kapal perang United Kingdom HMS Somerset dan HMS Tyne.
Baru-baru ini, kabel-kabel bawah permukaan laut di Laut Baltik telah mengalami kerosakan sebanyak tiga kali dalam tempoh 18 bulan.
Sebuah kapal tangki yang bertindak melabuhkan sauhnya telah merosakkan kabel tenaga yang menghubungkan Finland dan Estonia pada hari Krismas tahun lepas, sehingga menyebabkan negara-negara anggota NATO untuk meningkatkan rondaan kapal-kapal perangnya di kawasan perairan tersebut.
Sehingga kini tidak pasti pihak mana yang bertanggungjawab terhadap insiden itu, yang melibatkan kapal tangki berdaftar di Kepulauan Cook “Eagle S”.
Setiausaha Pertahanan United Kingdom mendakwa bahawa “banyak pemerhati percaya insiden tersebut berpunca daripada armada kapal “bayangan” (shadow) Russia.
Britain dan negara-negara NATO yang lain bimbang tentang ancaman terhadap infrastruktur bawah permukaan laut yang amat kritikal terhadap negara itu tetapi sukar untuk dipertahankan.
Mereka percaya bahawa ancaman daripada Russia terhadap infrastruktur bawah permukaan laut telah dipertingkatkan semenjak Russia menyerang Ukraine.
Kapal perisik Russia, Yantar yang bernaung di bawah tentera laut negara itu adalah kapal penyelidikan marin yang dilengkapi dengan kemampuan untuk melakukan misi menyelamat bawah permukaan laut.
Yantar itu dioperasikan oleh Main Directorate Deep-Sea Research, yang merupakan sebahagian daripada Kementerian Pertahanan Russia.
– DEFENCE SECURITY ASIA