Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal China Ganggu Kapal Malaysia “Setiap Hari Selama Dua Tahun”

Sebuah badan bukan kerajaan, Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI) berkata, gangguan oleh kapal-kapal China terhadap kapal-kapal Malaysia berlaku “hampir setiap hari selama dua tahun.”

0 17,866

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal-kapal China bukan sahaja sewenang-wenangnya menceroboh perairan Malaysia tetapi mereka turut menganggu kapal-kapal offshore milik syarikat tempatan yang beroperasi di lapangan minyak dan gas milik PETRONAS di Laut China Selatan.

Sebuah badan bukan kerajaan, Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI) berkata, gangguan oleh kapal-kapal China terhadap kapal-kapal Malaysia berlaku “hampir setiap hari selama dua tahun.”

“Pihak Pengawal Pantai China mahu menguasai Luconia Shoals (Beting Patinggi Ali), dimana syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS memiliki beberapa lapangan minyak dan gas dan mereka (kapal-kapal China) telah menganggu mana-mana kapal Malaysia yang terlibat dengan apa-ap aktiviti mencari gali minyak atau gas di kawasan itu,” menurut Pengarah AMTI Greg Poling kepada akhbar South China Morning Post.

Luconia Shoals itu terletak di dalam kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia dan merupakan lokasi Lapangan Gas Kasawari yang sedang dibangunkan oleh PETRONAS.

Luconia Shoals atau Beting Patinggi Ali itu terletak kira-kira 200km daripada kawasan pantai Bintulu di Sarawak.

Kasawari
Lapangan Gas Asli Kawasari yang sedang dibangunkan oleh PETRONAS.

 

Menurut Poling lagi, kapal-kapal China itu akan menganggu kapal-kapal offshore supply yang membantu operasi pelantar-pelantar minyak di kawasan perairan itu.

“Mereka (kapal-kapal China) berlegar-legar dengan merbahaya dan secara sengaja menimbulkan risiko pelanggaran (dengan kapal bantuan itu) dengan tujuan supaya syarikat-syarikat (pemilik kapal offshore itu) supaya tidak menerima kontrak (di kawasan Lapangan Gas Kasawari),” katanya.

Jika kapal-kapal offshore Malaysia itu tidak mengalah terhadap gangguan daripada kapal-kapal pengawal pantai China, maka Beijing akan menghantar pula kapal penyelidiknya untuk melakukan kajian (survey) secara haram di perairan negara itu.

Kehadiran kapal penyelidik China itu kata Poling, selalu diiringi oleh kapal-kapal pengawal pantai negara itu serta bot-bot militia maritimnya.  

Minggu lepas Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata Malaysia menjangkakan akan berlaku peningkatan insiden-insiden pencerobohan daripada kapal-kapal milik China terhadap perairannya selagi syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS membangunkan sebuah lapangan gas asli besar miliknya dinamakan “Kasawari” yang terletak di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) milik negara di luar perairan Sarawak.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dalam webinar anjuran Foreign Policy Community di Jakarta.

 

“Saya merasakan selagi PETRONAS membangunkan Lapangan Gas Asli Kasawari, kita (kerajaan) boleh menjangkakan (lebih banyak kapal-kapal) China akan melawat kawasan perairan (milik Malaysia)  itu dengan lebih kerap.”

“Kita sentiasa melakukan bantahan (terhadap China). Saya sudah tidak lagi mengira bilangan nota bantahan yang telah kita hantar kepada China. Kita akan terus memberikan respons secara diplomatik kepada mereka (China),” kata Menteri Luar Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah.

Saifuddin juga berkata, beliau telah memberitahu Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz bahawa syarikat minyak dan gas negara itu mempunyai keseluruhan hak untuk mencarigali minyak dan gas di Lapangan Gas Asli Kasawari kerana kawasan projek itu terletak di dalam perairan negara dan Malaysia adalah sebuah negara berdaulat.

Petronas

Ditemui pada November 2011, Lapangan Gas Asli Kasawari menyimpan kira-kira 3 juta Trillion Cubic Feet (TCF) gas asli dan lapangan gas itu kini sedang dibangunkan oleh anak syarikat minyak dan gas negara iaitu, PETRONAS Carigali.

Lapangan Gas Asli Kasawari itu dijangka mula beroperasi pada tahun 2023, di mana ia dijangka akan menghasilkan sehingga 900 juta kaki padu gas asli dalam sehari.

Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS dalam satu temuramah dengan agensi berita Reuters awal bulan ini berkata projek pembangunan Lapangan Gas Asli Kasawari akan memastikan Malaysia kekal menjadi antara lima negara pengeksport terbesar gas asli di dunia.

Kenyataan oleh CEO PETRONAS itu menunjukkan bahawa Lapangan Gas Kasawari sememangnya menyimpan gas asli yang amat banyak dan bernilai tinggi, sehinggakan ia menarik perhatian China.

Kementerian Luar Malaysia telah memanggil Duta Besar China sebanyak dua kali pada tahun ini, dengan yang pertama berlaku selepas China menghantar 16 buah pesawat tenteranya untuk menceroboh Zon Maritim Malaysia (ZMM) dan terbang di ruang udara Beting Patinggi Ali sebelum berpatah balik.

Pada 4 Oktober lepas, negara sekali lagi memanggil duta besar China itu untuk menyatakan bantahan terhadap pencerobohan kapal-kapal penyelidik dan pengawal pantai negara itu di perairan ZEE Malaysia di Sabah dan Sarawak.

Beijing mendakwa hampir 90 peratus daripada keluasan Laut China Selatan itu sebagai miliknya.

Kawasan perairan di Laut China Selatan yang didakwa China sebagai miliknya termasuklah kawasan-kawasan perairan ZEE negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Vietnam dan Filipina.

TUDM
Pesawat pengangkut tentera China Xian Y-20 digelar “Chubby Girl” yang dipintas oleh pesawat TUDM pada 31 Mei lepas.(kredit TUDM)

 

 

— DEENCE SECURITY ASIA

  

 

Comments
Loading...