Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Rampasan Kuasa Tentera Di Sudan. Apa Status Aset PETRONAS Yang Dirampas?

Rampasan kuasa oleh tentera Sudan yang menumbangkan kerajaan pimpinan Hamdok semalam menimbulkan tanda-tanya sama ada pihak tentera atau kerajaan baru yang bakal memimpin negara Afrika itu kelak akan meneruskan tindakannnya terhadap PETRONAS.

0 2,534

(DEFENCE SECURITY) – Semalam pihak tentera Sudan dilapor telah melakukan rampasan kuasa dengan menumbangkan kerajaan sementara negara itu yang dipimpin oleh Perdana Menteri Abdullah Hamdok.

Abdullah dan barisan kabinetnya juga dilaporkan telah ditangkap oleh pihak tentera, sejurus selepas rampasan kuasa itu berlaku dan nasib beliau masih tidak diketahui sehingga kini.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, kerajaan Sudan yang dipimpin oleh Abdullah Hamdok “begitu popular” dikalangan rakyat Malaysia selepas kerajaan pimpinan beliau itu dilaporkan telah bertindak merampas aset-aset milik syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS di negara itu.

Bukan sahaja kerajaan sementara Sudan pimpinan Hamdok itu telah bertindak merampas aset-aset PETRONAS, tetapi ia juga mengarahkan pengurus syarikat minyak negara ditangkap.

Bagaimanapun, semalam, kuasa Abdullah Hamdok pula “dirampas” oleh tentera negara itu.

Rampasan Kuasa
Suasana di ibu negara Sudan, Khartoum.

 

Rampasan kuasa oleh tentera Sudan yang menumbangkan kerajaan pimpinan Hamdok semalam menimbulkan tanda-tanya sama ada pihak tentera atau kerajaan baru yang bakal memimpin negara Afrika itu kelak akan meneruskan tindakannnya terhadap PETRONAS.

Adakah dengan ketiadaan Hamdok, ianya bermakna aset-aset PETRONAS yang dirampas oleh kerajaan sementara Sudan pimpinan Hamdok itu kini “selamat” dan akan dikembalikan semula kepada PETRONAS?

Kita berharap segala aset-aset PETRONAS akan kekal ditangan syarikat minyak dan gas negara itu dan syarikat Fortune 500 tunggal negara itu akan meneruskan pembabitannya dalam industri minyak dan gas Sudan seperti biasa.

Apakah tuduhan kerajaan Sudan pimpinan Hamdok terhadap PETRONAS?

Sebagaimana yang kita ketahui, Hamdok telah menuduh PETRONAS memperolehi aset-asetnya di Sudan dengan menggunakan cara yang menyalahi undang-undang ketika pemerintahan bekas presiden Omar al-Bashir,  suatu tuduhan yang telah dinafikan dengan keras oleh syarikat minyak negara yang telah berkecimpung dalam industri minyak dan gas negara Afrika itu sejak beberapa dekad.

Hasil bantuan dan kepakaran serta teknologi PETRONAS, Sudan berjaya diangkat untuk menjadi sebuah negara pengeluar minyak di Afrika.   

Laporan-laporan media sebelum ini mengatakan tanah yang menempatkan Kompleks PETRONAS Sudan telah diambilalih dan didaftarkan dibawah Nada Properties Co Ltd (NPCL), yang merupakan anak syarikat kepada PETRONAS di Sudan.”

Sudan

Laporan media itu juga mendakwa bahawa kerajaan sementara Sudan telah memindahkan pemilikan NPCL itu kepada Kementerian Kewangan Sudan dan menafikan hak PETRONAS terhadap syarikat berkenaan.

PETRONAS telah meminta campurtangan daripada Kementerian Luar (Wisma Putra) untuk menyelesaikan kemelut di antaranya dengan kerajaan sementara Sudan itu secara baik.

PETRONAS juga telah mengemukakan permohonan arbitrasi di “International Centre for Settlement of Investment Disputes (ICSID) “ atau “Pusat Antarabangsa Bagi Penyelesaian Pertikaian Pelaburan,” yang merupakan sebuah unit di bawah Bank Dunia.

Sementara itu, Kementerian Luar negara (Wisma Putra) dalam satu kenyataan berkata ia sedang memantau keadaan terkini di Sudan, susulan laporan mengenai rampasan kuasa oleh tentera negara Afrika itu.

Ia berkata akan mengambil segala usaha untuk memastikan kepentingan negara di negara itu selamat termasuk PETRONAS Sudan Complex yang menempatkan bangunaan kedutaan negara dan pejabat-pejabat agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut kedutaan negara di Khartoum, kesemua 42 rakyat Malaysia termasuk 27 penuntut berada di dalam keadaan selamat.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...