Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

USS Carl Vinson Beroperasi Dekat Lapangan Minyak Malaysia

kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat dan kapal-kapal pengiringnya dipercayai beroperasi tidak jauh daripada kapal-kapal bantuan operasi minyak dan gas, “Sapura Esperanza” dan “West Capella.”

0 4,915

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat, USS Carl Vinson dipercayai sedang beroperasi tidak jauh daripada kawasan-kawasan lapangan minyak dan gas Malaysia di perairan Sarawak yang kerap diceroboh oleh kapal-kapal pengawal pantai China.

Menurut penganalisis OSINT (Open Source Intelligence) @WBWhiskeyBravo, kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat dan kapal-kapal pengiringnya dipercayai beroperasi tidak jauh daripada kapal-kapal “Sapura Esperanza” dan “West Capella.”

Ia adalah berdasarkan kepada cerapan daripada aplikasi penjejakan kapal.

Kedua-dua kapal itu terlibat dalam aktiviti mencari gali minyak dan gas di blok-blok minyak milik PETRONAS berhampiran.

Kapal “Sapura Esperanza” merupakan semi-submersible self-erecting tender assisted drilling (TAD) rig manakala “West Capella” pula adalah ultra-deepwater drillship generasi ke-enam yang dimiliki oleh syarikat Seadrill berpengkalan di London tetapi kini dikontrak kepada PETRONAS.

Carl Vinson
Kedudukan kapal USS Carl Vinson.

 

Kapal Sapura Esperanza dimiliki oleh firma Sapura Kencana.

Kapal-kapal “special purpose” Sapura Esperanza dan West Capella kerap menjadi sasaran gangguan kapal-kapal pengawal pantai dan penyelidik China, yang menceroboh kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara.

Terbaru adalah kapal penyelidik China, “Da Yang Hao” yang diiringi oleh kapal-kapal pengawal pantai negara telah menceroboh perairan ZEE Malaysia dan menganggu operasi cari gali minyak dan gas oleh syarikat-syarikat tempatan dan rakan kongsi luar mereka.

Kehadiran “Da Yang Hao” di dalam perairan Malaysia itu diiringi oleh beberapa kapal pengawal pantai China.

Sasaran kapal-kapal pengawal pantai China itu adalah Lapangan Gas Kasawari di perairan Sarawak yang sedang dibangunkan oleh syarikat minyak dan gas negara,PETRONAS dan rakan-rakan kongsinya.

Lapangan Gas Kasawari milik PETRONAS itu terletak di Blok SK306.

Ditemui pada November 2011, Lapangan Gas Asli Kasawari menyimpan kira-kira 3 juta Trillion Cubic Feet (TCF) gas asli dan lapangan gas itu kini sedang dibangunkan oleh anak syarikat minyak dan gas negara iaitu, PETRONAS Carigali.

Lapangan Gas Asli Kasawari itu dijangka mula beroperasi pada tahun 2023, di mana ia dijangka akan menghasilkan sehingga 900 juta kaki padu gas asli dalam sehari.

Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS dalam satu temuramah dengan agensi berita Reuters awal bulan ini berkata projek pembangunan Lapangan Gas Asli Kasawari akan memastikan Malaysia kekal menjadi antara lima negara pengeksport terbesar gas asli di dunia.

Kasawari
Lapangan Gas Asli Kawasari yang sedang dibangunkan oleh PETRONAS.

Menurut Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI),  gangguan oleh kapal-kapal China terhadap kapal-kapal bantuan minyak dan gas milik syarikat-syarikat Malaysia di lapangan minyak di Sarawak itu berlaku “hampir setiap hari selama dua tahun.”

“Mereka (kapal-kapal China) berlegar-legar dengan merbahaya dan secara sengaja menimbulkan risiko pelanggaran (dengan kapal bantuan itu) dengan tujuan supaya syarikat-syarikat (pemilik kapal offshore itu) supaya tidak menerima kontrak (di kawasan Lapangan Gas Kasawari),” katanya.

Jika kapal-kapal offshore Malaysia itu tidak mengalah terhadap gangguan daripada kapal-kapal pengawal pantai China, maka Beijing akan menghantar pula kapal penyelidiknya untuk melakukan kajian (survey) secara haram di perairan negara itu.

West Capella
Ultra deepwater drillship “West Capella” dimiliki oleh syarikat Seadrill tetapi dikontrakkan kepada PETRONAS.

 

Kehadiran kapal penyelidik China itu kata pengarah AMTI Greg Poling, selalu diiringi oleh kapal-kapal pengawal pantai negara itu serta bot-bot militia maritimnya.

“Pihak Pengawal Pantai China mahu menguasai Luconia Shoals (Beting Patinggi Ali), dimana syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS memiliki beberapa lapangan minyak dan gas dan mereka (kapal-kapal China) telah menganggu mana-mana kapal Malaysia yang terlibat dengan apa-ap aktiviti mencari gali minyak atau gas di kawasan itu,” menurut beliau.

Luconia Shoals itu terletak di dalam kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia dan merupakan lokasi Lapangan Gas Kasawari yang sedang dibangunkan oleh PETRONAS.

 Baru-baru ini,Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata Malaysia menjangkakan akan berlaku peningkatan insiden-insiden pencerobohan daripada kapal-kapal milik China terhadap perairannya selagi syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS membangunkan sebuah lapangan gas asli besar miliknya dinamakan “Kasawari” yang terletak di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) milik negara di luar perairan Sarawak.

Carl Vinson

“Saya merasakan selagi PETRONAS membangunkan Lapangan Gas Asli Kasawari, kita (kerajaan) boleh menjangkakan (lebih banyak kapal-kapal) China akan melawat kawasan perairan (milik Malaysia)  itu dengan lebih kerap.”

“Kita sentiasa melakukan bantahan (terhadap China). Saya sudah tidak lagi mengira bilangan nota bantahan yang telah kita hantar kepada China. Kita akan terus memberikan respons secara diplomatik kepada mereka (China),” kata Menteri Luar Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

 

 

 

Comments
Loading...