Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

HAL Tampil Pesawat “Tejas MK-II”, Lebih Upaya Dan Lebih Bahaya

Syarikat Hindustan Aeronautics Limited (HAL) sedang membangunkan varian pesawat Tejas yang lebih berkemampuan dipanggil "Tejas MK-II" yang dijangka akan memulakan penerbangan sulung pada tahun 2023.

0 11,946

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat kebanggaan industri pertahanan India, “Tejas” yang dibangunkan oleh syarikat Hindustan Aeronautics Limited (HAL) dikatakan adalah pesaing utama bagi tender FLIT/LCA (Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Dengan ketiadaan pesawat JF-17 “Thunder” yang menurut sebuah media tempatan baru-baru ini tidak menyertai tender TUDM itu tanpa sebarang sebab diberikan, maka, “Tejas” dan pesawat FA-50 daripada Korea Selatan kini dikatakan mendahulu saingan.

Persaingan tender TUDM pada ketika ini dikatakan adalah di antara “Kimchi” dan “Chapati.”

Walaupun HAL mungkin menawarkan Tejas MK-1 kepada TUDM untuk memenuhi keperluan FLIT/LCA tentera udara itu, tetapi syarikat itu pada ketika ini sedang membangunkan pesawat Tejas MK-II untuk keperluan Tentera Udara India dalam beberapa tahun akan datang ini.

Pesawat Tejas MK-II dikatakan adalah pesawat generasi 4.5 dan Tentera Udara India dijangka akan memesan sejumlah pesawat versi tercanggih Tejas itu untuk memenuhi keperluan sebanyak tujuh buah skuadron.

Tejas MK-II

Pada ketika ini, pesawat Tejas MK-II sedang melalui fasa Critical Design Review (CDR) yang melibatkan pelbagai disiplin teknologi, dengan jangkaan fasa itu akan tamat pada tahun ini sebelum pembangunan pesawat beralih ke peringkat seterusnya.

Prototaip pesawat Tejas MK-II dijangka akan siap pada Ogos tahun depan, sebelum ia melakukan penerbangan sulungnya pada tahun 2023.

Sebagaimana pesawat Tejas MK-I, versi pesawat MK-II yang lebih canggih itu tetap mengekalkan sayap “Delta Wing”, selain kini dilengkapi dengan “canard”.

Selain itu, pesawat Tejas MK-II itu direkabentuk supaya ia mampu terbang lebih jauh dan lebih lama, bagi memenuhi keperluan operasi yang lebih mencabar bagi pesawat kebanggaan industri pertahanan India.

Versi pesawat Tejas yang lebih canggih ini berkemampuan membawa bebanan sebanyak 6.5 tan, satu kali ganda yang yang mampu dibawa oleh Tejas MK-1 iaitu hanya 3.5 tan.

Sistem persenjataan yang mampu dibawa oleh Tejas MK-II juga lebih mengujakan kerana ia akan membawa peluru berpandu seperti SCALP, Crystal Maze dan Spice-2000.

Pesawat Tejas MK-II juga akan dilengkapi dengan apa yang disebut sebagai “Multi Sensor Data Fusion System” yang turut meliputi radar Active Electronically Scanned Array” (AESA), Infra Red Search Track (IRST) yang dibangunkan oleh Bharat Electronics System dan Missile Approach Warning System.

Berbanding pesawat Tejas MK-I yang menggunakan radar buatan firma pertahanan Israel, Elbit System, tetapi bagi Tejas MK-II ia akan menggunakan radar buatan tempatan yang dikenali dengan nama “Uttam AESA” yang dikatakan lebih canggih daripada radar buatan Israel itu.

Tejas MK-II

Dari segi pemasaran, juga penting untuk HAL mengurangkan penggunaan sistem pertahanan buatan firma Israel pada pesawat Tejas, jika ia mahu negara-negara seperti Malaysia yang menolak sebarang penggunaan sistem pertahanan Israel untuk menimbangkan perolehannya.

Dikatakan saingan utama kepada pesawat Tejas MK-II adalah Gripen, J-10 China dan JF-17 “Thunder” yang dibangunkan oleh firma aeronautik Pakistan dan China.

Tejas MK-II
Peluru berpandu Spice-2000

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...