Pesawat Pejuang Generasi Kelima Turkiye “KAAN” Tarik Perhatian TUDM?
Pesawat pejuang generasi kelima yang sedang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) dinamakan "KAAN" dijangka melakukan penerbangan sulungnya pada akhir tahun ini.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Ketua Pegawai Eksekutif Turkish Aerospace Industries (TAI) Prof Temel Kotil menyatakan bahawa Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah “menerbangkan” pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” menggunakan simulator pesawat itu.
Pesawat pejuang generasi kelima yang sedang dibangunkan oleh TAI itu dijangka melakukan penerbangan sulung pada akhir tahun ini.
“Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia telah menerbangkan pesawat pejuang generasi kelima ‘KAAN’ itu menggunakan simulator pesawat itu. Beliau amat berpuashati dengannya,” menurut akaun Twitter platform pertahanan Turkiye, SavunmaSanayiST yang memetik Temel sebagai berkata begitu.

Tidak dinyatakan dimana Panglima TUDM menguji simulator pesawat pejuang “KAAN” tetapi admin percaya ia berlaku ketika beliau menghadiri Paris Air Show 2023 yang sedang berlangsung pada ketika ini.
TAI merupakan salah sebuah syarikat yang menyertai Paris Air Show 2023.
Beberapa hari lalu, Temel berkata pihak TAI telah membangunkan dua buah lagi pesawat prototaip “KAAN.”
Menurutnya, menjelang tahun 2028 pihaknya akan menyerahkan kira-kira 20 buah pesawat pejuang “KAAN” daripada varian Block 10 kepada Tentera Udara Turki.
Beliau juga berkata bahawa pesawat “KAAN” apabila sudah beroperasi berkemampuan menangani musuh-musuhnya daripada jarak di antara 200km hingga 300km menggunakan radar serta peluru berpandunya.
Temel Kotil sebelum ini menyatakan bahawa pesawat pejuang generasi kelima Turkiye itu akan melakukan penerbangan sulungnya pada akhir tahun ini, iaitu dua tahun lebih awal daripada jadual asalnya pada tahun 2025.

Pada mulanya, pihak TAI meletakkan sasaran pada 2025 untuk pesawat pejuang itu melakukan penerbangan sulungnya sebelum mengubah jadual itu kepada pada akhir tahun 2024 dan mengubahnya lagi kepada akhir tahun ini.


Comments are closed.