Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Penerbangan Sulung Pesawat Pejuang Gen-5 Turkiye “KAAN” Ditangguhkan

Penerbangan sulung pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) itu dijangka berlaku di dalam beberapa minggu lagi, bergantung kepada kejayaan ujian-ujian di darat (ground test) dan ujian taxi (taxi test).

6,856

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sepatutnya, pesawat pejuang generasi kelima Turkiye “KAAN” melakukan penerbangan sulungnya semalam (27hb Disember) tetapi hari yang ditunggu-tunggu itu oleh rakyat negara Mediterranean itu dan pemerhati seluruh dunia tidak menjadi kenyataan sebagaimana yang dirancang.

Penerbangan sulung yang ditunggu-tunggu oleh pesawat pejuang itu terpaksa ditangguhkan selepas dilakukan siri ujian di darat (ground test) dan ujian taxi (taxi test).

Penerbangan sulung pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) itu dijangka berlaku di dalam beberapa minggu lagi, bergantung kepada kejayaan ujian-ujian di darat (ground test) dan ujian taxi (taxi test).

Kejayaan kedua-dua ujian teknikal itu penting bagi memastikan keselamatan pesawat pejuang itu serta juruterbang ujiannya serta prestasi keseluruhannya.

Sebelum ini, Ketua Pegawai TAI Prof Temel Kotil dilaporkan berkata bahawa semua usaha dan ujian sedang dilaksanakan bagi memastikan pesawat pejuang generasi kelima Turkiye yang disifatkan sebagai “aset strategik” Turkiye melakukan penerbangan sulungnya pada tarikh terbabit.

“Kita sedang bekerja dengan keras. Ia akan melakukan penerbangan sulungnya pada bulan kedua di kurun kedua. Kita sedang menuju ke arah itu dan ia (KAAN) akan melakukan penerbangan. Ia perlu melakukan penerbangan bagi membolehkan seluruh dunia melihatnya.”

KAAN

“Kita semakin hampir, kesemua ujian (terhadap pesawat pejuang Kaan itu sedang dilakukan,” kata beliau sambil menambah bahawa penerbangan sulung pesawat pejuang “KAAN” itu akan mengubah kurun kedua bagi Turkiye.

Temel Kotil berkata projek pembangunan pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” adalah projek pembangunan teknologi tinggi terpenting Turkiye dan oleh kerana itu ia semestinya “100 peratus” milik tempatan.

TAI yang merupakan kontraktor utama bagi program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” itu, dilapor akan menyiapkan sejumlah 20 buah pesawat pejuang KAAN Block 10 kepada Tentera Udara Turkiye pada tahun 2028.

Menjelang tahun 2029, TAI dijangka mengeluarkan dua buah pesawat pejuang KAAN setiap bulan, menjana perolehan kira-kira US$2.4 bilion (RM9.6 bilion) setiap tahun.

Pesawat pejuang generasi kelima KAAN itu bakal menggantikan lebih daripada 200 buah pesawat pejuang F-16 milik Tentera Udara Turkiye.

KAAN
“KAAN”.

 

Turkiye mempergiatkan usaha membangunkan pesawat pejuang generasi kelimanya sendiri, selepas ia dikeluarkan daripada program F-35 selepas berkeras meneruskan hasratnya untuk membeli sistem pertahanan udara S-400 “Triumf” buatan Russia.

Sebagai rakan pembangunan program pesawat pejuang F-35, Turkiye telah bersetuju untuk memperolehi 100 buah pesawat pejuang F-35 itu, tetapi, penyertaan Ankara dalam program pesawat pejuang generasi kelima buatan syarikat Lockheed Martin itu ditamatkan berikutan keputusannya membeli sistem pertahanan udara S-400 “Triumf” daripada Russia.

 KAAN sebelum ini hanya dikenali sebagai TF-X atau Milli Muharip Ucak (National Combat Aircraft -MMU).

Hampir 100 peratus pesawat generasi kelima Turkiye itu dibangunkan oleh industri pertahanan negara itu sendiri, kecuali beberapa bahagian pesawat seperti kerusi injal (ejection seat), enjin dan joystick (controller).

Bagaimanapun ketiga-tiga komponen asing pada pesawat KAAN tu akan digantikan dengan komponen buatan Turkiye apabila pembangunan pesawat itu memasuki fasa lebih maju.

Data-data awal menyatakan bahawa pesawat pejuang “KAAN” itu akan mempunyai Maximum Take-Off Weight (MTOW) 27,200kg  dan mampu mencapai kelajuan maksimum Mach 2. — DSA

Comments are closed.