Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Panglima Tinjau Perkembangan Terkini Bahagian Operasi Pasukan Khas Pertahanan

Keanggotaan BOPKP dianggotai daripada gabungan pasukan khas ATM iaitu 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK), Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan Pasukan Khas Udara (PASKAU).

0 12,334

(DEFENCE SECURITY ASIA) —  Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman telah melakukan lawatan ke Bahagian Operasi Pasukan Khas Pertahanan (BOPKP) dan telah diberikan taklimat berkaitan perkembangan terkini tentang pasukan terbabit.

BOPKP yang merupakan gabungan pasukan khas di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpangkalan di Kem Perdana, Sungai Besi.

Menurut kenyataan menerusi media sosial ATM, ketibaan Panglima Angkatan Tentera telah disambut oleh Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Pertahanan, Mejar Jeneral Dato’ Noorrul Azril Ariffin dan Ketua Pengarah BOPKP Kolonel Mohd Zairul Hisham Muhammad Ibrahim.

“Sebelum memulakan program lawatan, Panglima Angkatan Tentera telah diberi taklimat berkaitan perkembangan terkini pasukan terutamanya daripada sudut kesiapsiagaan dan dalam masa yang sama meneliti penambahbaikan yang diperlukan dalam usaha meningkatkan keupayaan selari dengan ancaman semasa,” menurut kenyataan terbabit.

Selepas taklimat, Panglima Angkatan Tentera telah dibawa ke Lapang Sasar Praktikal BOPKP bagi sesi Demonstrasi Kesiagaan BOPKP dan Speed Shooting serta Tactical Fitness Agility Shooting.

BOPKP merupakan sebuah pasukan khas gabungan daripada ketiga-tiga perkhidmatan yang boleh diaturgerak dengan pantas bagi melawan keganasan dan sebarang bentuk krisis yang boleh mengancam keselamatan negara.

BOPKP

Kekuatan BOPKP merangkumi Staf, Tim Tempur dan Tim Bantuan Tempur yang bertindak sebagai Kumpulan Tindakan Pendahuluan (KTP) atau First Responder Group (FRG).

Ia telah memulakan pengoperasian sepenuhnya pada 21 Oktober 2020.

Keanggotaan BOPKP dianggotai daripada gabungan pasukan khas ATM iaitu 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK), Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan Pasukan Khas Udara (PASKAU).

Pada Oktober tahun lepas, dilaporkan bahawa Unit Perancang Ekonomi telah meluluskan RM21.8 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) khusus bagi perolehan peralatan untuk BOPKP.

BOPKP
(ATM)

 

Perolehan itu merangkumi peralatan khas bernilai RM10 juta, peralatan komunikasi (RM7 juta), kenderaan operasi khas (RM2.8 juta) dan persenjataan (RM1.9 juta).

BOPKP ini konsepnya hampir sama seperti United States Special Operations Command (USSOCOM atau SOCOM) yang mengawalselia dan mentadbir pemerintahan berlainan pasukan-pasukan khas yang wujud dalam Angkatan Tentera Amerika Syarikat daripada Tentera Darat, Kor Marin, Tentera Laut dan Tentera Udara. — DSA

BOPKP

KESEMUA GAMBAR ADALAH KREDIT ANGKATAN TENTERA MALAYSIA (ATM)

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

To advertise contact: lulwabyadah@gmail.com

 

Comments
Loading...