Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

KAAN, Pesawat Pejuang Gen-5 “Negara Islam” Yang Pertama?

Dengan pembabitan negara-negara Islam -- Turkiye, Azerbaijan, Pakistan dan Arab Saudi, ramai dikalangan penganalisis pertahanan menyatakan bahawa “KAAN” bakal muncul sebagai “pesawat pejuang generasi kelima negara Islam” yang pertama pada akhir tahun ini apabila ia terbang buat pertama kalinya.

9,887

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pakistan dilaporkan bakal mengikut jejak langkah Azerbaijan dalam menyertai program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima Turkiye dinamakan “KAAN”, yang bakal melakukan penerbangan sulungnya pada 27 Disember tahun ini.

Selepas Pakistan dan Azerbaijan, Arab Saudi juga dikatakan berminat untuk menyertai program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima Turkiye yang sedang dilaksanakan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) pada ketika ini.

Dengan pembabitan negara-negara Islam — Turkiye, Azerbaijan, Pakistan dan Arab Saudi, ramai dikalangan penganalisis pertahanan menyatakan bahawa “KAAN” bakal muncul sebagai “pesawat pejuang generasi kelima Negara Islam” yang pertama pada akhir tahun ini apabila ia terbang buat pertama kalinya.

KAAN

Azerbaijan dan Pakistan sememangnya memiliki hubungan ketenteraan yang rapat dengan Turkiye dalam bidang pertahanan termasuk kerjasama industri berkenaan.

Ankara muncul sebagai pembekal utama pelbagai sistem persenjataan kepada Baku dan Islamabad sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Manakala hubungan diplomatik yang dingin di antara Turkiye dan Arab Saudi sebelum ini nampaknya telah pulih menerusi kunjungan Presiden Recep Tayyep Erdogan ke Riyadh baru-baru ini.

Arab Saudi dilaporkan bakal membelanjakan US$3 bilion (RM13.5 bilion) untuk memperolehi pesawat tanpa pemandu (dron) “Akinci” MALE (Medium Altitude Long Endurance) keluaran syarikat pertahanan Turkiye, Baykar Technology.

Pembelian dron Akinci MALE bernilai US$3 bilion oleh Arab Saudi merupakan kontrak pertahanan terbesar dalam sejarah Turkiye.

Riyadh sememangnya berminat untuk memperolehi pesawat pejuang kelima untuk tentera udaranya selepas percubaannya untuk mendapatkan F-35 yang dibangunkan oleh Amerika Syarikat “tidak dilayan” oleh negara Uncle Sam itu.

KAAN

Bukan sahaja minat Arab Saudi untuk memiliki F-35 itu dipandang sepi oleh Washington, tetapi usaha Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar untuk memperolehi pesawat pejuang halimunan dibangunkan oleh syarikat  Lockheed Martin itu juga tidak dilayan.

Permintaan negara-negara Arab itu untuk memiliki F-35 itu tidak dilayan oleh Amerika Syarikat kerana Washington tidak mahu keselamatan Israel diancam.

Dengan adanya “KAAN”, ia memberikan peluang atau jalan alternatif kepada negara-negara seperti Azerbaijan, Pakistan, Arab Saudi, UAE, Qatar dan negara-negara Arab lain untuk memiliki pesawat pejuang generasi kelima.

Russia juga menawarkan pesawat pejuang generasi kelimanya, Su-57 “Felon” tetapi pembeli perlu menanggung risiko dikenakan sekatan punitif dibawah CAATSA oleh Amerika Syarikat.

China pula tidak membenarkan penjualan pesawat generasi kelimanya, J-20 “Mighty Dragon” dieksport.

Kontraktor utama “KAAN”, TAI dilapor akan menyiapkan sejumlah 20 buah pesawat pejuang “KAAN” Block 10 kepada Tentera Udara Turkiye pada tahun 2028.

KAAN

Menjelang tahun 2029, TAI dijangka mengeluarkan dua buah pesawat pejuang KAAN setiap bulan, menjana perolehan kira-kira US$2.4 bilion (RM9.6 bilion) setiap tahun.

“KAAN” bakal menggantikan lebih daripada 200 buah pesawat pejuang F-16 milik Tentera Udara Turkiye.

Turkiye mempergiatkan usaha membangunkan pesawat pejuang generasi kelimanya, selepas ia dikeluarkan daripada program F-35 selepas ia bertindak membeli sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia.

“KAAN” sebelum ini hanya dikenali sebagai TF-X atau Milli Muharip Ucak (National Combat Aircraft -MMU).

Hampir 100 peratus pesawat generasi kelima Turkiye itu dibangunkan oleh industri pertahanan negara itu sendiri, kecuali beberapa bahagian pesawat seperti kerusi anjal (ejection seat), enjin dan joystick (controller).

Bagaimanapun ketiga-tiga komponen asing pada pesawat “KAAN” tu akan digantikan dengan komponen buatan Turkiye apabila pembangunan pesawat itu memasuki fasa lebih maju.

Data-data awal menyatakan bahawa pesawat pejuang “KAAN” itu akan mempunyai Maximum Take-Off Weight (MTOW) 27,200kg  dan mampu mencapai kelajuan maksimum Mach 2. — DSA

Donlod

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: [email protected]

 

 

Comments are closed.