Rafale Qatar Kena “Baham” Dengan JF-17 Pakistan Dalam Latihan Di Turkiye?
Menurut penganalisis pertahanan yang memiliki maklumat tentang latihan udara "Anatolian Eagle 2021" itu, pesawat-pesawat JF-17 "Thunder" Block II Pakistan telah berjaya "membunuh" beberapa pesawat pejuang Rafale Tentera Udara Qatar dalam simulasi pertempuran udara.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada Jun 2021, satu latihan udara disertai oleh tentera-tentera udara daripada Turki, Pakistan dan Azerbaijan serta Qatar dipanggil “Anatolian Eagle 2021 ” telah berlangsung di sebuah pangkalan udara Tentera Udara Turki di bandar pesisir pantai di Konya, Turki.
Tentera Udara Turki merupakan penganjur kepada latihan udara itu.
Antara aset-aset udara yang menyertai latihan itu adalah pesawat F-16 daripada Turki manakala Pakistan pula diwakili lima buah pesawat JF-17 “Thunder” Block II, Qatar pula empat buah pesawat Rafale, manakala Azerbaijan pula menampilkan pesawat-pesawat MiG-29 dan Su-25 “Frogfoot” yang sebelum itu telah “menunjukkan taringnya” dalam konflik di Nagorno-Karabakh.
Pihak NATO yang dianggotai oleh Turki juga telah menghantar sebuah pesawat E-3A AWACS.
Beberapa media Turki turut melaporkan bahawa Malaysia telah menghantar pegawai-pegawai tentera udaranya ke latihan itu sebagai pemerhati.
Latihan “Anatolian Eagle” ini merupakan latihan tahunan bertujuan untuk meningkatkan kemampuan dan persefahaman dikalangan tentera udara negara-negara peserta menerusi perlaksanaan pelbagai taktik yang mengaplikasikan suasana pertempuran udara.
Sistem seperti Post Mission Analysis System serta Air Combat Maneuvering System (ACMI) juga digunakan dalam latihan “Anatolian Eagle 2021” itu.
Tidak banyak yang diketahui tentang latihan udara itu, tetapi bagi sesetengah penganalisis ketenteraan yang mendakwa mereka memiliki maklumat dalaman tentang “Anatolian Eagle 2021”, latihan udara itu telah memberikan peluang kepada Tentera Udara Pakisatan untuk menguji kemampuan sebenar pesawat JF-17 “Thunder” yang dibangunkannya bersama dengan China.
Ia juga membantu mereka menilai kemampuan sebenar JF-17 “Thunder” dalam simulasi pertempuran, terutamanya dengan pesawat Dassault Rafale Tentera Udara Qatar yang turut digunakan oleh Tentera Udara India.
Apa yang penting adalah, Islamabad mahu mengetahui titik kekuatan dan kelemahan apabila pesawat JF-17 berdepan dengan pesawat Rafale yang yang diketengahkan oleh Tentera Udara Qatar dalam simulasi pertempuran udara (dogfight) latihan tahunan itu.
Latihan “Anatolian Eagle 2021” memberi peluang yang amat baik kepada Tentera Udara Pakistan untuk menguji kemampuan sebenar pesawat JF-17 yang dibangunkannya bersama dengan China terutamanya apabila berdepan dengan pesawat-pesawat Rafale yang kini dioperasikan oleh musuh tradisinya iaitu Tentera Udara India
Selain berhadapan dengan Rafale, JF-17 juga bertembung dengan pesawat MiG-29 yang dibawa oleh Tentera Udara Azerbaijan dalam latihan Anatolian Eagle itu.
Menurut beberapa laporan oleh penganalisis pertahanan yang mempunyai maklumat dalaman tentang latihan “Anatolian Eagle 2021”, pesawat JF-17 Thunder telah beraksi cukup baik dalam simulasi pertempuran udara dengan pesawat Rafale Tentera Udara Qatar itu.
Sumber-sumber mengatakan bahawa bahawa “kill ratio”” pesawat JF-17 terhadap pesawat Rafale Qatar itu adalah 6:2 bermakna pesawat-pesawat JF-17 Block II Pakistan itu telah berjaya “menembak jatuh” pesawat Rafale Qatar sebanyak 6 kali berbanding hanya dua kali tumpas dalam simulasi pertembungan udara pada latihan itu.
Itu adalah kesimpulan yang dibuat oleh penganalisis pertahanan berdasarkan sumber yang tidak dapat dipastikan.
Apakah benar, pesawat JF-17 Thunder berjaya “membunuh” pesawat-pesawat Rafale yang jauh lebih canggih dan lebih moden berbanding pesawat pejuang Pakistan/China di dalam latihan di Turki itu?
Apapun, kita tidak boleh menerima kenyataan penganalisis pertahanan itu “bulat-bulat”” kerana ia berkemungkinan hanyalah sebahagian daripada perang -psikologi daripada pihak Pakistan untuk melemah-lemahkan semangat tentera udara India yang baru sahaja menerima pesawat Rafale mereka .
Kenyataan amat positif berkenaan “prestasi baik pesawat JF-17 Thunder” itu berkemungkinan tidak lebih daripada strategi “pemasaran” menggunakan sumber-sumber dalaman untuk mewar-warkan keampuhan pesawat buatan Pakistan-China itu.
Namun terdapat juga kemungkinan ada yang diberitahu oleh sumber itu adalah benar.– DSA
DEFENCE SECURITY ASIA APPS
To advertise contact admin: [email protected]
Comments are closed.