Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Jerman Kaji Semula Permintaan Turkiye Mahu Beli Pesawat Pejuang Eurofighter Typhoon

Laporan media antarabangsa memetik sumber menyatakan bahawa kerajaan Jerman sedia mengkaji semula permintaan Turkiye itu disebabkan ketegangan yang semakin meningkat di Timur Tengah serta kemungkinan peperangan secara terbuka di antara Iran dan Israel.

0 3,804
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kerajaan Jerman dikatakan bersedia untuk menimbangkan semula permintaan Turkiye untuk membeli pesawat pejuang Eurofighter Typhoon yang dibangunkan oleh konsortium empat buah negara terdiri daripada United Kingdom, Sepanyol, Itali dan Jerman.
Laporan media antarabangsa memetik sumber menyatakan bahawa kerajaan Jerman sedia mengkaji semula permintaan Turkiye itu disebabkan ketegangan yang semakin meningkat di Timur Tengah serta kemungkinan peperangan secara terbuka di antara Iran dan Israel.
“Kami sedang melihat semula permintaan Turkiye untuk membeli pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu,” kata sumber kepada media antarabangsa itu.
Kenyataan tentang kesediaan Jerman untuk mengkaji semula permintaan Turkiye untuk membeli pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu timbul tidak lama selepas media negara itu, Der Spiegel melaporkan bahawa negara itu telah meluluskan penjualan pelbagai jenis sistem persenjataaan bernilai US$368 juta (RM1.5 billion) kepada Turkiye.
Ia termasuklah peluru berpandu anti-pesawat dan torpedo, serta alatganti untuk permodenan kapal selam dan kapal friget.
Typhoon
Pesawat pejuang Eurofighter Typhoon
Pada Jun lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Eurofighter mengesahkan bahawa Turkiye menunjukkan minat yang mendalam untuk memperolehi pesawat pejuang Eurofighter Typhoon tetapi ia telah dihalang oleh kerajaan Jerman.
Giancarlo Mezzanatto mengesahkan bahawa Turkiye mahu memperolehi di antara 40 hingga 50 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu, berkemungkinan daripada varian terkininya, tetapi usaha itu dihalang oleh Jerman.
Ketua Pegawai Eksekutif Eurofighter warga Itali itu berkata tindakan Jerman menghalang Turkiye daripada memperolehi pesawat pejuang itu berkemungkinan kerana tidak berpuashati dengan tindakan Ankara melakukan carigali gas asli di perairan Timur Mediterranean.
Tindakan Turkiye melakukan aktiviti carigali gas di perairan Timur Mediterranean telah meningkatkan ketegangan dikalangan negara-negara jirannya,terutama Greek dan Cyprus serta sekutu-sekutunya.
Jerman turut dikatakan enggan meluluskan penjualan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu kepada Turkiye kerana “bengang” dengan kritikan-kritikan keras negara Mediterranean itu terhadap tindakan ketenteraan Israel di Semenanjung Gaza yang sehingga kini telah mengorbankan 40,000 orang.
Presiden Turkiye Recep Tayyep Edrogan mendesak Canselor Jerman Olaf Scholz supaya mengugurkan tentangannya terhadap penjualan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu kepada Ankara.
Pada November tahun lepas, Turkiye menyatakan bahawa ia telah memulakan perbincangan dengan negara-negara konsortium pembuat pesawat Eurofighter Typhoon terutamanya Britain untuk memperolehi 40 buah varian terkini pesawat pejuang Eurofighter Typhoon dikenali dengan nama “Tranche 4.”
Bagaimanapun halangan daripada Jerman telah membantutkan hasrat Turkiye untuk memiliki pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu.
Walaupun Amerika Syarikat telah memberikan kelulusan Turkiye untuk membeli 40 buah pesawat pejuang F-16 Block 70 dan 80 kit permodenan bernilai US$23 billion (RM103 billion), Turkiye mengekalkan minatnya terhadap pesawat pejuang Eurofighter Typhoon.
Typhoon
Eurofighter Typhoon
Kesatuan-kesatuan sekerja di Jerman mendesak kerajaan negara itu supaya meluluskan dengan segera permohonan Turkiye untuk membeli 40 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon.
Mereka bimbang “penolakan” permohonan kerajaan Turkiye untuk membeli pesawat pejuang Eurofighter Typhoon oleh Jerman akan menyebabkan industri pertahanan negara Eropah itu kehilangan ribuan pekerjaan.
Dilengkapi dengan radar AESA “CAPTOR E”, Eurofighter Typhoon Tranche 4 dikatakan adalah varian pesawat pejuang termoden Eropah yang boleh berkhidmat sehingga ke tahun 2060. 
Jerman dikatakan telah memesan 38 buah pesawat pejuang Typhoon Tranche 4. — DSA
Comments
Loading...